Polisi
dan Strategi
Untuk
memastikan HSK diurus secara berkekalan, "Dasar dan Strategi Pengurusan
Hutan untuk Semenanjung Malaysia" telah dicadangkan dalam tahun 1976 dan seterusnya
diterima sebagai tambahan kepada Dasar Perhutanan Negara. Dasar tersebut
digubal bagi memastikan penggunaan sepenuhnya sumber hutan, penghasilan yang
berkekalan, faedah sosial dan ekonomi yang maksimum dan kestabilan alam
sekitar. Dasar pengurusan serta objektif-objektifnya yang telah diterima adalah
seperti berikut :
(i) Untuk mengurus dan
menggunakan sumber hutan bagi mendapatkan faedah yang maksimum berdasarkan
keupayaan semulajadi dan rancangan pengurusan serta penggunaan tanah hutan yang
menyeluruh.
(ii) Untuk menentukan
hasil yang berpotensi dengan berpandukan kepada taksiran yang mendalam dan
sistematik ke atas sumber hutan, daya ketumbuhannya dan faktor lain yang
berkaitan.
(iii) Untuk
mengusahasilkan hutan secara konservatif dengan cara tebangan memilih supaya
meninggalkan anak benih semulajadi yang mencukupi selaras dengan tebangan yang
berekonomik bagi memastikan asas sumber-sumber hutan yang berkekalan.
(iv) Untuk menggunakan
dengan sebaik-baiknya sistem pengurusan hutan yang telah dirumuskan berdasarkan
kepada maklumat yang diperolehi daripada teknik-teknik pengurusan yang
bersepadu dan kajian-kajian operasi.
(v) Untuk memulihkan
semula hutan yang telah diusahasilkan dan hutan miskin supaya dapat menghasilkan
stok minimum yang bersamaan dengan dua puluh lima (25) pokok sehektar bagi
spesies-spesies dagangan yang berperepang 45 cm pada dada untuk menjamin
pengeluaran balak yang berekonomik.
(vi) Untuk menubuhkan
ladang hutan dengan spesies-spesies dagangan yang cepat tumbesar serta
menggalakkan pelbagaigunaan hutan dan pemeliharaan alam sekitar semulajadi.
Selaras
dengan polisi dan objektif-objektif pengurusan hutan yang tersebut di atas,
strategi-strategi berikut telah dirumuskan:
(i) Tanah hutan yang akan
dibuka untuk projek pertanian hendaklah dirancang dengan teliti agar
pengeluaran balak dapat dikawal serta menjamin penggunaan yang maksimum.
Peraturan-peraturan untuk tebang habis sesuatu kawasan akan dipatuhi
sepenuhnya.
(ii) Tanah berhutan yang
tidak terlibat dengan projek-projek pertanian dan sebagainya akan dijadikan HSK
dan akan diurus supaya mendatangkan hasil yang maksimum di samping memelihara
kualiti alam sekitar.
(iii) Satu sistem
inventori hutan yang intensif dengan intensiti sekurang-kurangnya 10 peratus
akan dijalankan sebelum penebangan, terutamanya bagi hutan dara, sebagai asas
untuk menentukan sistem pengurusan hutan dan silvikultur yang paling efektif.
Keutamaan akan diberikan kepada pemulihan hutan semulajadi melalui pengekalan
tinggal untuk giliran akan datang.
(iv) Bancian anak pokok
akan dipergiatkan ke atas hutan yang telah diusahasilkan untuk menentukan
status, kandungan dan kelasnya serta rawatan silvikultur yang akan dijalankan.
(v) Kajian tanah yang
lengkap akan dijalankan bagi menentukan kawasan tanaman dan pemilihan
spesies-spesies yang bersesuaian.
(vi) Kawasan hutan yang
sesuai akan ditentukan untuk dipelbagaigunakan selaras dengan tujuan untuk
meningkatkan keperluan beriadah, pemeliharaan tanah dan air dan juga
pemeliharaan flora dan fauna.
(vii) Kajian yang mendalam
akan diteruskan ke atas produktiviti hutan serta kajian tumbesaran dan
pengeluaran dan lain-lain aspek mengenai pengurusan dan pembangunan hutan akan
juga dijalankan.
Hutan Diterokai Hutan dara atau hutan matang (climax forest)
bukanlah matlamat utama di dalam pengeluaran hasil. Pengetahuan serta kefahaman
mengenai pusingan pemulihan hutan sehingga mencapai tahap kematangan adalah
penting dalam menentukan pembangunan hutan semulajadi. Pengetahuan ini adalah
amat berguna bagi pengurusan sesuatu kawasan hutan. Matlamat yang paling
diutamakan di dalam pengurusan hutan secara berkekalan ialah bagi mendapatkan
kadar tebangan tahunan yang seimbang dengan kadar penghasilan berkekalan supaya
kenaikan min tahunan bersamaan dengan tebangan tahunan. Dalam hal yang demikian
komposisi hutan pengeluaran tidak semestinya sama dengan hutan telah matang.
Hutan
di Semenanjung Malaysia telah mula dengan sistematik sejak Jabatan Perhutanan
di tubuhkan pada tahun 1901. Amalan-amalan pemeliharaan dan pengurusan hutan
yang menitikberatkan aspek-aspek ekologi dan alam sekitar telah digubal untuk
menjamin perkhidmatan dan penghasilan yang berkekalan.
Pada
awal tahun 1920an, pengurusan sumber hutan dengan cara Departmental Improvement
Felling (DIF) telah dijalankan untuk
meningkatkan mutu kandungan dirian hutan. Spesies pokok yang kurang bermutu
dibuang secara berperingkat-peringkat bagi membantu pertumbuhan pokok-pokok
yang bernilai seperti Noebalanocarpus heimii dan pokok-pokok jaras yang
berpasaran. Amalan ini kemudian dihentikan kerana telah didapati kurang sesuai
berikutan permintaan yang meningkat terhadap kayu api dan kayu jaras di dalam
tahun1930an.
Dengan itu, di mana sesuai pengurusan hutan secara Commercial
Regeneration Felling (CRF) telah diamalkan yang melibatkan penebangan kayu
jaras secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun sebelum pengusahasilan hutan
dibenarkan. Walau bagaimanapun di kawasan yang tidak ada pasaran untuk jenis
ini, maka Departmental Regeneration Felling atau Reneration
Improvement Felling (RIF) dijalankan di mana pembukaan silara adalah lebih
ketara diikuti dengan pemotongan tumbuhan kecil.
Selepas
peperangan Pasifik, amalan Regeneration Improvement
Felling (RIF) telah dihentikan berikutan permintaan yang
meningkat terhadap bahan mentah dengan bertambahnya bilangan kilang papan serta
penggunaan jentera berat dalam pengusahasilan hutan.
Dalam pada itu didapati
bahawa kawasan- kawasan hutan yang telah musnah semasa pemerintahan Jepun dan
juga kawasan lapang akibat dilanda ribut terdapat pokok-pokok bersaiz jaras
yang mencukupi. Pokok-pokok ini telah membesar dengan cepatnya dari anak benih
yang tidak rosak semasa pembalakan dan menjadi tumbuhan unggul(dominant)
sementara spesies berpasaran yang lebih lambat pertumbuhannya menjadi tumbuhan
separa unggul (sub-dominant). Sebagai contoh, anak benih Meranti (Shorea
spp) cepat membesar sebaik sahaja naungan dibuka. Faktor-faktor ini telah
menyumbang kepada penggubalan Sistem Sebaya Malaya atau Malaya
Uniform System (MUS) di dalam tahun1948. Pada dasarnya sistem ini adalah
untuk mengubah hutan hujan pamah tropika yang kompleks dan kaya dengan pelbagai
spesies pokok dengan umur yang berbeza-beza kepada hutan yang sebaya umur.
MUS
melibatkan penebangan semua spesies pokok matang berukuran 45 cm ppd dalam
sekali tebangan serta pembebasan anak-anak pokok terpilih yang berbagai
peringkat umur dari jenis kayu keras sederhana dan ringan yang memerlukan
cahaya. Operasi tebangan ini diikuti dengan menggelang-racun semua pokok saka
dan spesies tidak berpasaran yang berukuran 15cm ppd ke atas.
Inventori Hutan
Selepas Tebangan dijalankan dalam tempuh 2 hingga 5 tahun selepas tebangan bagi
mempastikan anak-anak pokok di atas tanah adalah mencukupi dan seterusnya untuk
menentukan rawatan silvikultur yang sesuai.
Sistem
Sebaya malaya dahulunya menumpu kepada anak-anak benih yang akan menggantikan
dirian sedia ada dan rawatan silvikultur bergantung ke arah pembiakan anak-anak
benih ini dan ada kalanya mengabaikan pokok-pokok besar dan anak semulajadi.
Oleh itu pokok-pokok yang besar telah digelang- racun untuk membuka naungan
kepada anak-anak benih tersebut. Pada masa kini teknik ini kurang digunakan dan
rawatan silvikultur ditumpukan terhadap pemeliharaan sumber hutan. Aliran kerja
yang terlibat dalam modified MUS.
Sistem
pengurusan ini didapati sesuai dan berkesan di Hutan Pamah Dipterokarpa tetapi
tidak begitu bagi Hutan Bukit Dipterokarpa disebabkan ole keadaan kawasan yang
berbukit dan berkecerunan tinggi, kandungan stok yang tidak menentu, kekurangan
anak semulajadi sebelum pembalakan, kekurangan anak semulajadi selepas
pembalakan disebabkan oleh ketidaktentuan musim berbunga dan kadar kematian
yang tinggi semasa pengusahasilan hutan di kawasan curam dan bercerun serta
kadar kehidupan yang rendah khasnya bagi jenis Meranti Seraya Shorea
curtisii). Pembukaan naungan yang berleluasa terutama di kawasan tinggi
akan menambah risiko hakisan tanah dan akan menggalakkan pertumbuhan belukar
serta kelompok-kelompok Bertam (Eugeissona triste).
Kesulitan
yang timbul daripada pengurusan silvikultur dan pemuliharaan alam sekitar
didalam modified MUS di hutan bukit, didapati tidak begitu sesuai untuk
menari pelaboran besar-besaran dalam sektor perhutanan kerana pusingan tebangan
yang panjang itu berkehendakkan kepada kawasan hutan yang luas. Memandangkan
keluasan tanah yang semakin terhad, salah satu cara untuk mendapat pulangan
yang cepat ialah dengan cara menyngkatkan kadar pusingan tebangan atau menambah
tebangan dalam satu-satu pusingan. Salah satu perubahan ketara dalam pengurusan
hutan tropika di Semenanjung
Malaysia sejak kebelakangan ini ialah bahawa
dengan terdapatnya pelbagai jenis flora dan spesies kayu balak ianya tidak
semestinya mendatangkan kesan yang negatif terhadap dasar dan strategi
pengeluaran kayu-kayan negara di masa hadapan. Sebaliknya, hutan yang terdiri
daripada pelbagai jenis tumbuhan akan dapat mengawal pemeliharaan tanah dan
sumber air serta memperluaskan penggunaan spesies kayu balak di dalam industri
perkayuan di masa akan datang.
Perkembangan
teknologi pemprosesan kayu yang lebih canggih serta penggunaan kayu yang tiada
pasaran masa kini akan menghasilkan barangan yang bernilai pada masa hadapan
baik di dalam atau di luar negeri. Dengan itu, Sistem Pengurusan
Memilih (SMS) diperkenalkan
pada tahun 1978 untuk membolehkan rejim-rejim tebangan yang lebih fleksibel dan
menepati tujuan pemeliharaan alam sekitar di samping mendapatkan faedah
daripermintaan terhadap kayu-kayan. Lebih penting lagi, sistem ini tidak
menggalakkan menggelang-racun bagi pokok-pokok tiada pasaran, ini akan
memelihara kayu tersebut dan seterusnya sumber genetik untuk masa depan.
SMS
telah dirangka bagi menjamin penghasilan hutan secara berkekalan dengan
mengoptimumkan pembangunan hutan. Ia memerlukan pemilihan rejim-rejim
pengurusan (had batas tebangan) berdasarkan kepada data-data inventori hutan
sebelum tebangan untuk menjamin dirian tinggal yang mencukupi bagi pusingan
tebangan akan datang di samping mengekalkan keseimbangan ekologi dan alam
sekitar.
Untuk
menentukan had-had tebangan minimum yang paling sesuai di bawah sistem ini,
Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F) perlu dijalankan untuk mendapatkan taksiran yang tepat
mengenai parameter-parameter isi kandungan hutan yang dibanci, bagi semua jenis
pokok berperepang 5 cm ppd ke atas serta pokok-pokok berperepang kurang dari 5
cm ppd dengan ketinggian sekurang- kurangnya 15cm. Maklumat-maklumat fisiografi
seperti kecerunan, ketinggian, jenis tanah dan aliran sungai perlu direkodkan.
Berdasarkan kepada data-data inventori serta lain-lain data mengenai pasaran
dan keadaan sosio- ekonomi semasa, satu rejim pengurusan (had batas tebangan)
akan ditentukan bagi pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Peta stok
berwarna juga disediakan bagi tujuan pembahagian sesuatu kompartmen kepada
beberapa blok kecil berdasarkan isi kandungan pokok dan atau kelas kebesaran.
Dengan itu, pengurusan hutan secara konservatif ini adalah diharapkan dapat
memberi faedah- faedah berikut:-
(i) Pemeliharaan dan pengekalan sumber hutan;
(ii) Pengurangan kos kerja-kerja pemulihan hutan;
(iii) Menjamin kestabilan serta kualiti alam sekitar ;
(iv) Pengurangan pembaziran semasa pembalakan: dan
(v) Penggunaan sumber hutan secara optimum.
Dalam pengamalan SMS, untuk mempastikan tebangan kedua dapat dijalankan dalam
tempoh 25-30 tahun selepas tebangan pertama dengan pengeluaran isipadu yang
ekonomik di antara 30-40 m3/ha, langkah-langkah berikut biasanya dipatuhi:-
(i) Had batas tebangan bagi spesies-spesies dari kumpulan dipterokarpa
adalah tidak kurang dari 50 cm ppd, kecuali Chengal (Neobalanocarpus heimii)
di mana had tebangan tidak kurang daripada 60 cm.
(ii) Had batas tebangan untuk spesies-spesies dari kumpulan bukan
dipterokarpa adalah tidak kurang dari 45 cm ppd.
(iii) Stok dirian tinggal yang merupakan bakal pokok-pokok utama untuk
pusingan tebangan akan datang adalah tidak kurang dari 32 pokok sehektar yang
terdiri dari pokok-pokok komersil yang subur serta lurus dengan berperepang
diantara 30 cm - 45 cm ppd.
(iv) Perbezaan had batas tebangan di antara spesies-spesies dipterokarpa
dan bukan dipterokarpa adalah tidak kurang dari 5 cm.
(v)Jumlah peratusan dipterokarpa dalam dirian tinggal yang berukuran 30
cm-45 cm ppd hendaklah sama atau lebih tinggi dari dirian asalnya.
Pada masa kini JPSM mengamalkan SMS sebagai satu sistem pengurusan hutan yang
memberi tumpuan kepada kawasan yang besar dengan penggunaan jentera di samping
mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta memperluaskan skop pekerjaan. Operasi
yang semakin canggih ini dipergunakan oleh rakyat tempatan dalam perpindahan
teknologi dan menambah kemahiran pengurusan. Aliran kerja yang terlibat dalam
Modified MUS
Perancangan hutan dan kajian operasi bersepadu yang dijalankan di Semenanjung
malaysia setakat ini memberikan gambaran yang jelas bahawa pengusahasilan hutan
bukit dengan tempoh tebangan 25 - 40 tahun dan had tebangan yang bersesuaian
akan menghasilkan isipadu yang ekonomik serta dirian tinggal dari pokok
berpasaran bersaiz sederhana yang mencukupi untuk tebangan akan datang.
Dengan
kadar purata tumbesaran perepang 0.8 - 1.0 cm setahun dan pertumbuhan 2.0 - 2.5
m3/ha/tahun isipadu kasar komersil bagi pokok-pokok yang berperepang 30 cm dan
ke atas didapati 3/4 daripada kawasan hutan bukit berkeupayaan mengeluarkan 40
- 45 m3/ha dalam tempoh 30 tahun di mana adalah hampir setanding dengan
pengeluaran purata hutan dara masa kini. Bagaimanapun, kadar kerosakan ke atas
pokok-pokok bersaiz sederhana semasa pembalakan perlu dikawal supaya ianya tidak
melebihi 30 %.
Hutan Paya Laut
Hutan Paya Laut telah berjaya diurus dikebanyakan negeri di Semenanjung
Malaysia bagi pengeluaran arang kayu bakau, kayu jaras dan kayu api berasaskan
prinsip pengurusan secara berkekalan.
Di negeri Perak pusingan tebangan bagi
Hutan Paya Laut adalah di antara 20 hingga 30 tahun manakala bagi negeri
Selangor dan Johor masing-masing ialah 25 dan 20 tahun. Pokok yang matang
selalunya akan ditebang habis (clear-felled) mengikut kawasan tertentu.
Walau bagaimanapun hanya pokok yang bersaiz melebihi perepang 7.5 cm sahaja
yang akan dikeluarkan. Kayu bakau untuk arang dipotong sepanjang 1.6 m dan kayu
api sepanjang 1.5 m.
Tunggul dan sisa-sisa pembalakan selepas tebangan akan
ditinggalkan untuk proses pereputan. Jika selepas dua (2) tahun didapati tiada
pertumbuhan anak benih atau tidak mencukupi maka kawasan-kawasan ini akan
ditanam dengan spesies Rhizophora. Selalunya satu atau dua penjarangan
untuk kayu jaras dilakukan sebelum tebangan akhir dijalankan dan penjarangan
ini dilakukan, contohnya, di kawasan Hutan Paya Laut Matang, Perak dengan
menggunakan kayu sepanjang 1.2 m bagi hutan berumur 15 tahun dan 1.8 m bagi
hutan berumur 20 tahun.
Tahap Keberkekalan (Sustainable Level) Berdasarkan hasil penemuan
penyelidikan semasa, anggaran konservatif Tambahan Min Tahunan [ Min Annual Increment (MAI)] bagi
hutan yang diurus di bawah giliran tebangan 30 tahun (SMS) ialah 2.55
m3/ha/tahun. Dengan itu, jangkaan pengeluaran hasil kayu selepas mengambilkira
kerosakan tebangan 30% (tunggul, balak pendek dll.) ialah 53.6 m3/ha.
Bagaimanapun, bagi hutan yang diurus mengikut giliran tebangan 55 tahun (MUS),
anggaran konservatif Tambahan Min Tahunan ialah 1.75 m3/ha/tahun dan dengan itu
jangkaan pengeluaran kayu-kayan selepas mengambil kira 30% kerosakan tebangan
hutan adalah 67.4 m3/ha. Jangkaan pengeluaran ini adalah setanding dengan
pengeluaran purata balak masakini di Semenanjung Malaysia.
Adalah dipercayai,
dengan perkembangan teknologi dan inovasi pemprosesan kayu-kayan yang lebih
canggih serta perubahan dalam corak penggunaan kayu di sektor perhutanan di
masa hadapan maka kayu-kayan yang tidak berpasaran pada masakini dapat menebusi
pasaran antarabangsa dan domestik. Oleh itu, pengeluaran hasil hutan dari HSK
adalah dianggarkan sebanyak 4-5 juta m3 setiap tahun.
Untuk mengurus sumber hutan di Semenanjung Malaysia dengan lebih intensif di
bawah konsep penghasilan yang berkekalan, kawasan hutan dalam HSK diklasifikasikan
mengikut kelas kecerunan serta salah satu atau lebih dari kelas fungsi hutan
sebagaimana dikehendaki dibawah ;
Seksyen 10 (1) Akta
Perhutanan Negara, 1984: -
sumber. jabatan hutan
negeri kelantan
http://www.forestry.gov.my/kelantan/pengurusan.html
Pengkelasan Hutan Simpanan Kekal
Majlis
Perhutanan Negara telah meluluskan Dasar Perhutanan Negara pada tahun 1977 dan
telah disahkan oleh Majlis Tanah Negara pada tahun 1978. Dasar ini telah
dipinda pada November, 1992 bagi menangani isu-isu semasa yang telah
dibangkitkan oleh masyarakat antarabangsa ke atas kepentingan pemeliharaan
kepelbagaian biologi dan penggunaan sumber-sumber genetik dan juga peranan
masyarakat tempatan ke atas pembangunan sumber-sumber genetik dan juga peranan
masyarakat tempatan ke atas pembangunan hutan.
Penerimaan Dasar Perhutanan
negara ini akan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama di antara
Kerajaan-kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam pembangunan sektor perhutanan. Aspek-akpek
penting yang digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara ialah:
i.
Mengisytiharkan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) kawasan-kawasan yang
mencukupi dan strategik di seluruh negara, berasaskan kepada konsep penggunaan
tanah yang rasional. HSK diklasifikasikan di bawah empat fungsi utama dan akan
diurus sebagai:
a.
HUTAN PERLINDUNGAN untuk memastikan
kestabilan iklim dan keadaan fizikal negara, pengawalan sumber bekalan air,
kesuburan tanah, kualiti alam sekitar, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan
mengurangkan kerosakan akibat banjir dan hakisan kepada sungai dan tanah
pertanian.
b.
HUTAN BERHASIL untuk bekalan hasil
hutan yang berterusan, pada kadar yang munasabah secara ekonomi di dalam negara
untuk keperluan pertanian, domestik, perindustrian dan eksport.
c.
HUTAN LIPUR untuk mengekalkan
sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, eko-pelancongan dan
untuk menambah kesedaran masyarakat mengenai perhutanan.
d.
HUTAN PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKAN untuk menjalankan penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan
kepelbagaian biologi.
ii.
Menguruskan HSK supaya dapat memaksimumkan faedah-faedah sosial, ekonomi dan
alam sekitar bagi kepentingan negara sejajar dengan prinsip-prinsip pengurusan
secara berkekalan.
iii.
Melaksanakan program pembangunan hutan yang terancang melalui operasi
pemeliharaan dan pemuliharaan hutan berasaskan amalan-amalan silvikultur yang
sesuai.
iv.
Menggalakkan pengusahasilan serta penggunaan yang cekap dari kawasan hutan
berhasil bagi faedah ekonomi yang maksimum bagi semua jenis keluaran hutan
serta mengalakkan pembangunan perindustrian hutan bersesuaian dengan aliran
sumber dan peluang-peluang pekerjaan.
v.
Menggalakkan pembangunan perindustrian hutan yang terancang ke arah penghasilan
barangan siap dan separuh siap yang mempunyai nilai tokok bagi kegunaan
tempatan dan eksport.
vi.
Menggalakkan penyertaan bumiputra secara agresif dalam industri berasas kayu
sejajar dengan dasar kerajaan.
vii.
Menubuhkan ladang hutan dari spesies-spesies tempatan dan luar negeri bagi
menampung bekalan kayu dari hutan asli.
viii.
Meningkatkan penglibatan masyarakat tempatan secara aktif dalam pelbagai
projek-projek pembangunan perhutanan dan mengekalkan penglibatan mereka dalam
program-program hutan tani.
ix.
Meningkatkan keluaran hasil hutan bukan kayu melalui amalan-amalan pengurusan
secara saintifik dan berkekalan bagi menampung permintaan tempatan serta
keperluan industri-industri berkaitan.
x.
Melaksanakan program latihan perhutanan yang komprehensif di semua peringkat
sektor awam dan swasta bagi memastikan bilangan tenaga manusia terlatih
mencukupi bagi memenuhi keperluan bidang perhutanan dan industri berasaskan
kayu.
xi.
Menggalakkan pelaburan swasta dalam pembangunan hutan melalui penubuhan ladang
hutan kawasan persendirian.
xii.
Mengendali dan menyokong program-program penyelidikan yang intensif dalam
bidang perhutanan dan keluaran hutan bertujuan untuk meningkatkan faedah-faedah
hutan secara maksimum.
xiii.
Menggalakkan pendidikan dalam perhutanan dan mengendalikan perkhidmatan-
perkhidmatan publisiti dan pengembangan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat
terhadap pelbagai faedah hutan.
xiv.
Memberi perlindungan kepada kepelbagaian biologi dan pengekalan kawasan yang
mempunyai spesies flora dan fauna yang unik.
xv.
Membentuk satu program perhutanan masyarakat bagi menampung kehendak masyarakat
di dalam dan di luar bandar.
xvi.
Mengkhaskan kawasan khusus bagi pendidikan perhutanan dan kajian saintifik yang
lain.
xvii.
Menjalin kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam bidang perhutanan bagi
mendapat faedah melalui pemindahan teknologi dan pertukaran maklumat saintifik
HUTAN HUJAN TROPIKA DI MALAYSIA DAN
KEGUNAANNYA
CHEAH LI PHENG
KANDUNGAN
- Pengenalan
- Sumber
Kayu-Kayan
- Sumber
Bukan Kayu
- Habitat
Bagi Haiwan, Serangga Dan Tumbuhan
- Mengawal
Alir Air Dan Kualiti Air
- Mengawal
Hakisan Tanah
- Kestabilan
Cuaca
- Rekreasi
- Kesimpulam
- Rujukan
Hutan
boleh ditakrifkan sebagai satu komuniti pokok-pokok besar serta haiwan dan
serangga yang saling hidup dalam beranika cara dengan meliputi kawasan yang
sangat luas. Ia memerlukan cahaya matahari, udara, air dan tanah untuk mencapai
pertumbuhan, kematangan dan seterusnya membiak dengan baik.
Hutan amat penting
dalam alam ini, terutamanya untuk manusia dan haiwan. Hutan telah memberikan
manusia banyak faedah walaupun dari segi hasilnya ataupun
perkhidmatannya.Antara peibagai fungsi hutan yang amat memanfaatkan manusia boleh
terbahagikan kepada 3 kumpulan besar iaitu dari segi ekonomi seperti
pengeluaran balak dan hasil kayu dan bukan kayu serta haiwan liar.
Selain itu,
ia juga memberi pelindungan yang mempunyai hubungan dengan iklim atau mikro
iklim. Seterusnya, hutan juga memainkan peranan dari segi aspek-sapek rekreasi.
Hutan
di Malaysia digolongkan sebagai Hutan Hujan Tropika. Hutan Hujan Tropika
dipercayai merupakan ekosistem yang paling tua dan rumit di dunia. Hutan Hujan
Tropika amat penting dari segi ekologi. Ekologi Hutan Hujan Tropika di Malaysia
dan kawasan lain mempunyai 2 ciri yang ketara iaitu kadar pertumbuhan yang
tinggi dan kepelbagaian spesies yang sukar disaingi. Kekayaan Hutan Hujan
Tropika dari segi bilangan spesies merupakan faktor penting tarikan para pengkaji.
Sebenarnya, di seluruh dunia terdapat tiga kawasan Hutan Hujan Tropika. Kawasan
yang paling luas merupakan Hutan Hujan Tropika Amerika di Lembangan Amazon.
Hutan Hujan Tropika di Indo-Malaya yang merupakan perbincangan utama di sini
adalah kawasan hutan yang kedua luas di dunia. Di Afrika, Hutan
Hujan Tropika
terletak di Conga dan luasnya meliputi sepanjang pantai Teluk Guinea dan
beberapa kawasan di Uganda. Ini adalah kawasan Hutan Hujan Tropika yang
terkecil.
Mengikut
statistik, dianggarkan terdapat 14500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga di Hutan
Hujan Tropika Malaysia. Berdasarkan suatu penilaian yang dibuat, daripada
jumlah di atas kira-kira 9000 spesies tumbuhan berbunga terdapat di Semenanjung
Malaysia.
Antaranya merangkumi 3000 spesies pokok, 1000 spesies orkid, 300
spesies palma dan 60 spesies rumput dan buluh, 500 spesies paku-pakis dan 24
spesies konifer. Selain itu, bilangan bagi spesies lumut, lumut hati, liken dan
alga tidak dapat ditentukan dengan tepat. Tambahan lagi, daripada sejumlah 3000
spesies pokok dalam Hutan Hujan Tropika, terdapat 677 spesies balak yang
meliputi 168 genus yang mempunyai nilai dagangan.
Malaysia
adalah amat beruntung kerana masih mempunyai kawasan hutan asli. Tetapi ini
tidak bermakna bahawa kita harus berpuas hati dan mengabaikan masalah-masalah
yang sedang mengancam kawasan hutan kita. Tiada jaminan yang konkrit bahawa
sumber alam semulajadi dan warisan ini akan terus kekal pada masa hadapan. Ini
jelas kelihatan dengan tanda-tanda bahawa kawasan hutan sudah mula berkurangan
dengan cepat berdasarkan kadar eksploitasi masa kini. Sebenarnya, pemeliharaan
dan pengurusan sumber-sumber ini memerlukan tindakan wajar dan segera.
Terutamanya prihatin dan tanggungjawab masyarakat adalah amat diperlukan.
SUMBER
KAYU-KAYAN
Hutan
Hujan Tropika merupakan satu gedung spesies tumbuhan yang besar. Hanya
sebahagian kecil daripadanya yang telah ditemui atau dikenali kegunaannya pada
masa kini. Di Malaysia, sumber Hutan Hujan Tropika sering dikaitkan dengan
Hutan Tanah Pamah dan Hutan Bukit Dipterokarpa iaitu kawasan taburan pelbagai
spesies pokok balak komersial negara. Di samping itu, terdapat juga jenis-jenis
hutan lain seperti Hutan Paya Laut, Hutan Paya Gambut, Hutan Oak Gunung dan
Hutan Ericaceous Gunung. Setiap habitat hutan tersebut mempunyai
spesies-spesies kayu yang berpotensi termasuklah spesies-spesies dipterokarpa
dan spesies-spesies kayu kommersial seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas
yang bernilai tinggi.
Pada
masa sekarang, penggunaan kayu keras tropika sedunia telah meningkat. Dalam
tempoh masa 20 tahun (1970-1990), kadar pertambahan dalam pengunaan kayu adalah
sebanyak 13 kali ganda di kebanyakan negara mengimport. Sebahagian besar kayu
yang berasal dari Asia Tenggara telah dieksport ke negara Jepun untuk diproses
dan kemudiannya kayu tersebut dihantar ke Amerika Syarikat. Kadar pembalakan di
Malaysia adalah sangat tinggi. Misalnya pada 1977, kadar pembalakan di Malaysia
adalah sebanyak 10 km perseri setiap hari.
Walaupun Hutan Hujan Tropika
Malaysia terdapat pelbagai spesies tumbuhan yang nampaknya mempunyai bekalan
sumber kayu-kayan yang banyak tetapi ia semakin tidak mencukupi akibat kadar
pembalakan yang tinggi. Sejak itu, barulah kita sedar bahawa hutan yang
dahulunya nampak seperti tidak boleh dihabiskan tidak lagi mampu membekalkan
kayu yang cukup untuk pasaran dalam negara. Untuk menampung penggunaan kayu
keras tropika di Malaysia, pelbagai spesies kayu yang kurang terkenal sedang
giat digalakkan kegunaannya. Spesies-spesies tersebut termasuk pauh kijang (Irvingia
malayana), tempinis (Streblue elongatus) dan derum (Cratoxylum
sp.). Selain itu, balak yang berdiameter kecil seperti kayu getah juga
turut bertambahnya penggunaan.
Hasil
kayu-kayan ada banyak penggunaan. Hasil ini memainkan peranan penting dalam ekonomi
moden. Industri yang berasaskan hutan telah menyediakan banyak pekerjaan dan
wujudkan perdagangan antarabangsa yang berharga. Sebenarnya, pada awal tahun
1970-an balak dan papan gergaji merupakan eksport utama Malaysia untuk
pertukaran matawang asing. Kini Malaysia mula beralih kepada industri pembuatan
yang berasaskan kayu untuk meningkatkan nilai bahan kayu yang dieksport.
Contohnya venier, papan lapis, papan serpai, perabot dan lain-lain. Negara
import utama produk kayu Malaysia ialah Jepun, Taiwan, Eropah, Singapura dan
China.
Antara spesies yang sesuai untuk pembuatan perabot ialah Balak, Kembang
Semangkok, Kayu Getah, Nyatoh dan sebagainya. Spesies-spesies luar negara
seperti Oak, Maple, Walnut, Mahogany dan Jati digunakan sebagai bahan untuk meningkatkan
kualiti dan memenuhi citarasa pengguna. Tambahan lagi, kayu-kayu keras seperti
Meranti, Chengal, Merbau, Balau , Keruing dan lain-lain juga digunakan sebagai
bahan binaan. Kayu-kayu juga digunakan oleh penduduk tempatan sebagai bahan api
pada kehidupan harian. Oleh itu, hutan adalah penting untuk membekalkan
kayu-kayu yang begitu banyak mendatangkan faedah kepada kita.
SUMBER
BUKAN KAYU
Keluaran
hasil bukan kayu ialah semua keluaran hutan selain kayu balak. Ianya
termasuklah beberapa hasil keluaran hutan bernilai rendah tetapi pada umumnya
sangat meluas digunakan. Jenis-jenis hasil keluaran tidak terhad kepada hasil
keluaran tumbuh-tumbuhan sahaja tetapi juga meliputi keluaran daripada
binatang. Walaupun terdapat pelbagai jenis hasil hutan bukan kayu tetapi ia
tidak mempunyai kepentingan perdagangan yang tinggi. Jika berbanding dengan
hasil kayu hutan, pengeluaran hasil bukan kayu adalah kurang teratur. Antara
hasil-hasil hutan bukan kayu yang biasa dijumpai termasuklah rotan, buluh,
tumbuh-tumbuhan pewarna, damar, ubat-ubatan, mengkuang, pandan dan sebagainya.
Rotan
merupakan hasil hutan yang terpenting di Malaysia. Ia dikenali di seluruh dunia
kerana kecantikannya yang menyerlah apabila direkabentuk menjadi perabot.
Sebenarnya, perusahaan rotan di Malaysia pada umumnya bersifat kecil dan
tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar di mana sumber-sumber bahan mentah ini
mudah diperoleh. Rotan lazimnya tumbuh liar dengan banyaknya di kawasan-kawasan
pedalaman hutan semulajadi. Dewasa ini, rotan yang paling popular
diperdagangankan serta berharga tinggi ialah manau (Calamus manam).
Manau merupakan pilihan utama bagi pembuatan rangka dan komponen perabot rotan.
Selain rotan, terdapat juga 150 spesies jenis palma asli di dalam hutan
Malaysia.
Walau bagaimanapun, penekanan dan penggunaannya hanya terhad bagi
beberapa jenis palma yang popular seperti nipah, rumbia dan bertam sahaja.
Nipah (Nypa fruticnns) tumbuh di sepanjang tebing-tebing sungai seluruh
Semenanjung Malaysia. Daun-daunnya boleh dibuat atap dan barangan kraf manakala
daun-daun muda yang masih belum terbuka (anak daun) digunakan bagi membuat
kertas pembalut tembakau rokok. Buahnya boleh dimakan sementara tangkainya
boleh diperah bagi mendapat nira. Rumbia atau sagu (Metroxylon sagu)
ialah jenis palma yang lebih besar dan hidup di paya-paya air tawar. Ia
merupakan bahan utama dalam pembuatan tepung sagu daripada bahagian dalam
batangnya. Daunnya boleh disisir menjadi atap dan dinding rumah. Isi batangnya
juga berguna sebagai bahan makanan kepada binatang ternakan seperti ayam, itik,
babi. Bertam (Eugeissona tristis) hidup di merata hutan pedalaman.
Daunnya boleh dijadikan atap dan buahnya pula boleh dimakan sementara tangkai
jambak bungannya kadangkala diukir untuk dijadikan barang hiasan.
Buluh
merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili rumput (Gramineae).
Ia merupakan sumber bahan asli yang berkepentingan istimewa terutamanya di
kalangan masyarakat desa. Penggunaan buluh adalah lebih meluas berbanding
dengan hasil hutan bukan kayu yang lain. Dengan berkembangnya teknologi baru,
mesin-mesin pemprosesan telah digunakan. Industri barangan yang berasaskan
buluh telah dapat berkembang menjadi perusahaan yang lebih berdaya maju. Buluh
telah diproses menjadi banyak alatan penggunaan harian. Antaranya termasuk
sangkar-sangkar anyaman dan raga-raga besar untuk mengisi sayur-sayuran.
Di
kawasan luar bandar pula, terdapat pelbagai penggunaan buluh secara tradisi.
Selain daripada dinding dan lantai yang direkabentuk dengan begitu indah dab
menarik, ia juga dijadikan peralatan muzik, layang-layang, sangkar burung dan
alat sumpitan buluh. Rebung-rebung buluh terutamanya buluh betang (Dendrocalamus
aspera) dan beting (Gigantochloa levis) yang hidup liar atau ditanam
boleh dijadikan sumber makanan berzat. Batang buluh lemang (Schizostachyum
brachycladum) boleh menjadi bekas untuk memasak pulut yang dicampurkan
dengan santan kelapa. Daun-daun buluh semeliang (S.grande) boleh
digunakan untuk membungkus pulut kukus iaitu sejenis masakan kaum cina.
Di
samping itu, mengkuang dan pandan merupakan jenis-jenis tumbuhan monokotilidon
dalam famili Pandanaceae. Lazimnya tumbuh sebagai pokok berbatang
seperti spesies Pandanus odoratissimus. Biasanya ia hidup merimbun di
habitat berair, lembah-lembah, kawasan pantai dan bukit. Mengkuang mempunyai
saiz daun yang lebih besar dan panjang berbanding dengan pandan. Penggunaan
bahan-bahan mengkuang ialah bagi menghasilkan barangan seperti tikar, kajang
dan tirai. Daun-daun pandan pula dianyam menjadi tikar, topi, bag tangan dan
barangan ringan yang lain. Biasanya keluaran mengkuang adalah lebih tahan
daripada pandan.
Selain itu, tumbuh-tumbuhan pewarna yang paling berharga di
Malaysia ialah daripada spesies sepang (Caesalpinia sappan) yang
digunakan untuk mewarnakan pandan, tikar, sutera, kapas dan benang. Ia juga
digunakan sebagai pewarna bahan makanan. Tumbuh-tumbuhan pewarna lain ialah
mengkudu (Morinda sp.), merbau (Intsia sp.), sena (Pterocarpus
indicus) dan akar kunyit (Fibraurea chloroleuca). Tambahan lagi,
bayur (Pterospermum sp.), ketapang (Terminalia sp.), rhu (Casuarina
sp.) dan rengas juga boleh digunakan untuk menghasilkan bermacam-macam
pewarna.
Hutan
merupakan gedong yang penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan
terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi tumbuhan.
Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan berbeza mengikut
sifat penyakit yang diubati. Dalam kegunaan perubatan tradisional misalnya,
masyarakat melayu meminum air rebusan Tongkat Ali (Eurycoma longifolia)
dan (E.apiculata) sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas
bersalin.
Orang-orang asli pula menggunakan bahagian kulit akar Tongkat Ali
bagi mengubati demam cacar manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka
atau bisul serta bagi meredakan demam malaria. Di antara spesies-spesies
tumbuhan lain yang sering dikaitkan dengan nilai perubatan termasuklah jenis
selusuh Fatimah (Labisia sp.), mempisang (Goniothalamus sp.) dan
medang (Cinnamomum sp.). Bunga pakma (Rafflesia hasselitii) yang
dikatakan mengandungi nilai perubatan turut mendapat harga yang tinggi di
pasaran.
Hutan
juga membekalkan sumber makanan kepada manusia terutamanya bagi penduduk yang
tinggal berhampiran dengan hutan dan fauna yang tinggal dalamnya. Buah dan
biji-bijian liar hutan juga dijual di pasar-pasar tempatan. Antaranya terdiri
daripada macang (Mangifera foetida), jambu (Eugenia sp.), sentul (Sandoricum
koetjape), rambutan (Nephelium sp.), durian (Durio sp.) dan
sebagainya. Kini, sumber pemakanan dari hutan telah mendapat promosi yang
meluas dan dengan pendedahan ini, ia telah mula mendapat pasaran yang tinggi
sebagai salah satu sumber makanan tempatan. Selain makanan, hutan juga
membekalkan pelbagai bahan daripada binatang di hutan. Bahan-bahan tersebut
menjadi buruan kepada mereka yang ingin memilikinya sama ada untuk hiasan atau
sebagai sumber dagangan yang lumayan.
Antara barang yang berasaskan
haiwan-haiwan yang diburu ini termasuklah gading gajah, kulit harimau badak,
harimau bintang, tapir, burung dan sebagainya. Di samping itu, tahi atau najis
kelawar juga dipungut untuk digunakan sebagai baja asli. Lilin lebah dan sarang
burung layang-layang dipungut sama ada untuk tujuan makanan atau perubatan.
Akibatnya, pihak PERHILITAN telah menjalankan langkah kawalan agar
binatang-binatang tersebut tidak terus pupus dari habitat hutannya.
Sebenarnya,
selain hasil-hasil yang disenaraikan di atas terdapat lagi banyak hasil hutan
bukan kayu yang lain. Antaranya termasuklah kayu gaharu yang boleh menghasilkan
bau wangi apabila dibakar dan sering digunakan dalam upacara keagamaan.
Pokok-pokok pengeluaran gaharu ialah karas (Aquilaria malaccensis) dan
cendana (Wikstroemia candalleana). Selain itu, minyak-minyak daripada
sayur-sayuran terdapat secara semulajadi daripada buah-buahan dan biji-bijian
tumbuhan.
Kebanyakannya boleh dimakan dan hasil daripada pokok sengkawang dan
ketupang. Minyak daripada pokok penaga pula boleh digunakan untuk membuat
bahan-bahan seperti sabun, cat dan lilin. Di samping itu, minyak bauan asli
merupakan sejenis minyak yang meruap dan lazimnya terdapat dalam
bahagian-bahagian kulit, akar, daun, buah atau bunga tumbuhan. Minyak-minyak
ini berperisa enak dan berbau harum. Antara jenis-jenis tumbuhan yang sering
dimanfaatkan sebagai bahan dasar dalam penghasilan minyak bauan asli ialah
kenagan, bunga tanjung dan keruing gondol. Penaga dan pulasari pula digunakan
dalam pembuatan bahan perisa dan haruman bahan makanan serta penyediaan
ubat-ubatan.
Dengan
ini, boleh dikatakan hutan menyediakan banyak peluang pekerjaan bagi
usahawan-usahawan kecil yang ingin menceburkan diri dalam industri berasaskan
sumber keluaran hasil hutan bukan kayu. Kerajaan kini telah mengambil tindakan
dalam menghadkan pengeluaran bahan-bahan mentah keluaran hasil hutan supaya ia
dapat diurus bagi pengeluaran yang berkekalan.
HABITAT
BAGI HAIWAN, SERANGGA DAN TUMBUHAN
Hutan
menyediakan habitat yang semulajadi bagi beribu-ribu haiwan, serangga dan
tumbuhan yang setiap satunya mempunyai peranan dalam pengekalan ekosistem
hutan. Mengikut kajian yang dijalankan, Hutan Hujan Tropika Malaysia terdapat
1200 spesies burung, 1000 spesies rama-rama dan kupu-kupu, 147 spesies amfibia,
250 spesies ikan air tawar dan 675 spesies mamalia. Lebih daripada 8000 spesies
tumbuhan berbunga di mana antaranya ada 2500 spesies adalah spesies pokok.
Hutan turut menyediakan makanan secara langsung bagi herbivor dan secara tidak
langsung kepada karnivor. Haiwan, serangga dan tumbuhan adalah saling
bergantung untuk hidup. Peranan serangga dalam pendebungaan, burung dan kelawar
sebagai penyebar buah dan biji tidak boleh diperkecilkan. Secara kasar, Hutan
Hujan Tropika boleh dibahagikan kepada beberapa nic yang terasing antara sama
lain dari segi ruang, aktiviti atau diet haiwan.
Harrison
(1962) telah membezakan 6 komuniti burung dan mamalia dalam Hutan Hujan Tropika
berdasarkan aras kanopi yang didudukinya dan juga berdasarkan julat bahan
makanannya seperti berikut:
- Di
atas kanopi : insektivor serta burung karnivor dan kelawar.
- Kanopi
atas : burung dan mamalia pemakan daun, buah-buahan dan sebahagian kecil
yang makan nektar dan serangga.
- Haiwan
yang terbang di tengeh-tengah kanopi : Kebanyakan burung dan kelawar
insektivor.
- Haiwan
pemanjat di tengah-tengah kanopi : mamalia pemakan pelbagai jenis makanan
yang bergerak turun naik batang daripada silara pohon hingga ke tanah,
terdapat juga sejumlah kecil karnivor.
- Haiwan
besar di atas tanah : herbivor dan karnivor pngiringnya.
- Haiwan
kecil di atas tanah atau di bawah pokok : mamalia dan burung pemakan
pelbagai jenis makanan pada lantai hutan, terutamanya insektivor atau
omnivor serta beberapa jenis herbivor dan karnivor.
Dapat
dilihat bahawa kumpulan burung dan mamalia fitofaj yang utama hidup pada kanopi
atas. Sebaliknya, pada zon yang lain kurang menampung pengguna primer dan
terdapat lebih banyak pengguna sekunder, iaitu haiwan yang menjadi mangsa
kepada haiwan yang lain.
Contahnya burung yang hidup di atas kanopi termasuk
burung enggang, burung merpati dan burung-burung yang memakan buah-buahan dan
serangga. Burung pacat, burung-burung rimba dan burung kuang terdapat pada
tumbuhan bawah. Kumpulan burung yang menduduki bahagian tengah kanopi adalah
lebih sukar untuk dibezakan antaranya terdapat burung kesumbar, burung belatuk
dan burung merbah.
Dalam
Hutan Hujan Tropika terdapat populasi invertebrata yang mempunyai kepadatan
yang rendah tetapi menunjukkan taksonomi yang sangat pelbagai. Invertebrata
merupakan haiwan yang tidak bertulang belakang seperti serangga. Contohnya,
rama-rama, labah-labah, anai-anai, dan sebagainya. Tempat habitat serangga juga
dibahagikan kepada banyak aras. Contohnya aras yang lebih tinggi dalam hutan
terdapat Ceratopogonidae, Homoptera dan pemangsanya. Di bawah
tumbuhan kecil pula terdapat Psocoptera, semut, anai-anai dan
kebanyakkan famili Diptera.
Sebenarnya, komuniti invertebrata adalah
berbeza pada lurah yang bersebelahan dan pada lereng dan permatang rabung.
Lubang-lubang dalam batang pokok, batang yang reput serta tanah di bawahnya
merupakan habitat tak selanjar yang penting. Tiap-tiap habitat ini mempunyai
sekutuan dengan invertebrata yang tertentu. Selain itu, banyak invertebrata
yang terdapat dalam hutan amat berfaedah kepada manusia. Misalnya, Apis
mellifera dan Apis dorsata akan membekalkan lebah madu kepada kita.
Spesies Lepidoptera (rama-rama) pula adalah sangat penting untuk
industri pelancongan. Oecophylla sp. (kerengga) penting sebagai
pengawalan perosak secara biologi. Cambidae sp. Pula ialah sejenis
kumbang yang larvanya dimakan oleh kaum tertentu.
Di
sanping itu, hubungan antara tumbuhan dan haiwan juga jelas lihat dalam hutan.
Hutan bukan hanya merupakan suatu persekitaran yang terdapatnya haiwan yang
banyak tetapi juga tidak boleh kurangnya tumbuh-tumbuhan. Tumbuhan yang
merupakan sumber makanan haiwan yang utama juga tertakluk kepada hukum
pemilihan semulajadi. Tumbuhan juga memerlukan bantuan haiwan dalam
pendebungaan dan penyebarannya. Dengan ini, hasillah hubungan haiwan dengan
tumbuhan yang saling memerlu.
Dalam pendebungaan, bunga yang didebungakan oleh
haiwan mempunyai daya penarik untuk menarik haiwan tersebut dan mungkin ada
daya penghalang untuk mencegah peengusahahasilan yang berlebihan. Terdapat juga
gabungan kombinasi binaan, bentuk, saiz dan bauan yang disebut
"sindrom" yang ada kaitan dengan lawatan sesuatu kelas haiwan.
Contohnya, bunga yang didebungakan oleh burung tidak mempunyai bauan tetapi
berwarna terang merah, jingga, kuning dan hijau, mempunyai binaan bunga yang
kukuh dan mempunyai banyak nektar cair. Selain itu, haiwan juga memainkan
peranan yang penting dalam penyebaran biji bagi pokok-pokok di kawasan tropika.
Contoh satu ciri "sindrom" ialah penyesuaian pokok untuk sebaran biji
oleh kelawar. Buah yang disebarkan oleh kelawar berwarna lebih pucat,
kebanyakan berwarna coklat atau kekunigan dan mempunyai bau yanng hapak. Buah
yang disebarkan oleh kelawar masak di atas pokok kemudian buah akan terkeluar
daripada dedaun supaya mudah dilawati oleh kelawar. Antara kelawar yang
berperanan penting ialah Pteropus yang boleh mengangkat buah seberat 200
g.
Walaupun
hutan penting sebagai habitat haiwan, serangga dan tumbuhan, tetapi dengan
masalah pemusnahan yang semakin serius ini, sebilangan besar haiwan sedang
mengalami masalah kepupusan.
Haraplah dengan terlaksananya Akta Perlindungan
Hidupan Liar 1972, usaha ke arah pemuliharaan haiwan yang mengalami bahaya
terpupus dapat dipertingkatkan.
MENGAWAL
ALIR AIR DAN KUALITI AIR
Apabila
hujan turun dengan lebat, air hujan akan menitis ke bawah menuju ke lantai
hujan dengan pantas. Akan tetapi, pergerakan titisan air hujan dapat
dilambatkan oleh kanopi hutan dan lapisan tumbuhan di bawahnya. Struktur Hutan
Hujan Tropika yang berkanopi adalah penghalang hujan yang sangat cekap.
Mengikut pendapat para ahli ekologi, liputan hutan dapat mengurangkan kejadian
banjir pada musim hujan lebat dangan memerangkap sebahagian daripada air hujan
dan mengembalikan sebahagiannya kepada atmosfera.
Sebenarnya,
hujan yang sampai ke muka bumi akan membebaskan tenaga yang akan mengakibatkan
serakan kumin tanih. Dengan ini, untuk menitis air hujan, kanopi hutan dapat
menghasilkan perubahan kadar dan tempoh curahan air hujan ke lantai hutan. Yang
penting sekali ialah hutan dapat mengurangkan kesan titisan air hujan ke atas
tanah. Di samping itu, daun-daun yang gugur di lantai hutan juga boleh
bertindak ssebagai "kusyen" yang dapat menyerap titisan air hujan dan
seterusnya menghalang pengaliran air ke dalam tanah di bawahnya.
Justeru, peranan
hutan bukan sahaja dapat mengurangkan kesan titisan hujan ke atas tanah, tetapi
ia juga menggalakkan penyusupan air. Hal ini penting kerana penyusupan air
dapat menghalang sesuatu kawasan itu daripada digenangi air. Selain itu,
kewujudan humus dapat memperbaiki tekstur dan meningkatkan ketelapan supaya
membantu dalam penyusupan air. Oleh itu, boleh mengatakan bahawa hutan
berperanan untuk mengurangkan larian air dan meningkatkan keupayaan penyusupan
serta membantu perkolasi air.
Pada
hakikatnya, hanya sebahagian sahaja hujan yang turun dapat sampai ke lantai
tanah hutan akibat daripada pemintasan tumbuhan. Kuantiti hujan yang sampai ke
lantai hutan adalah bergantung kepada bentuk dan susunan daun dan ranting pokok
dalam hutan. Tanah hutan hujan primer dilindungi oleh beberapa lapisan kanopi.
Oleh itu, berapa banyak hujan yang dipintas oleh pelbagai lapisan kanopi
bergantung kepada keamatan hujan dan tempoh hujan turun. Sebahagian besar air
hujan yang dipintas tidak sampai ke tanah dan sebelumnya akan tersejat ke
atmosfera. Sebaliknya, air hujan yang tidak terpintas akan menjadi aliran terus
atau aliran batang dan akan mengalir secara perlahan-lahan ke anak-anak sungai.
Selain
itu, sistem saliran yang ada sekarang adalah tidak dapat menampung kesemua hujan
yang turun pada musim hujan dan mengakibatkan berlakunya banjir. Banjir berlaku
akibat daripada air yang berlebihan dalam sungai dan rangkaian sungai. Sebelum
air hujan mengalir ke sungai dan rangkaian sungai, ia akan melalui aliran
dataran, aliran dasar dan aliran subpermukaan.
Mengikut statistik, larian air
dalam hujan adalah rendah iaitu 40%-50% kerana sebahagian besarnya telah
dipintas oleh hutan. Ekosistem hutan berperanan sebagai "regulator"
air dalam mengawal kadar alirannya. Kajian Liken 1970 telah menunjukkan bahawa
kehilangan litupan hutan akan menyebabkan air hujan terus mengalir ke
sungai-sungai dan mengakibatkan kejadian banjir kilat secara tidak langsung
yang mendatangkan bencana kepada manusia. Ini dapat dilihat pada sebatang anak
sungai yang mengalir ke kawasan hutan dan berbanding dengan sebatang sungai
yang mengalir ke kawasan rancangan perumahan ketika hujan lebat. Disebabkan
oleh kurangnya air hujan yang terpintas dan tersejat, kekerapan banjir dan
kehebatannya dapat dilihat setelah pemusnahan hutan berlaku.
Hutan
adalah sangat penting sebagai satu sistem penyediaan kualiti air yang bermutu
kepada manusia. Ramai ahli ekologi bersetuju bahawa legah yang dilitupi
tumbuhan membekalkan air yang berkualiti lebih baik digunakan oleh manusia
kerana hutan bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan
kejernihan air. Penebangan hutan bukan sahaja mempengaruhi aliran sungai dan
suhu air sungai tetapi juga boleh menimbulkan perubahan keadaan kimia air
sungai. Hal ini disebabkan apabila pokok-pokok ditebang, bekalan nutrien yang
tersimpan dalam tumbuhan akan hilang.
Walaupun sebahagian daripada nutrien
boleh digunakan oleh tumbuhan lain yang ditanam oleh petani pindah tetapi
kebanyakannya akan terlarut resap dan mengalir ke sungai. Perubahan nutrien
yang banyak mungkin menimbulkan kesan yang tidak diingini seperti eutrofikasi
tasik dan kolam. Dengan ini, kemerosotan kualiti air akan berlaku.
MENGAWAL
HAKISAN TANAH
Masalah
hakisan tanah sering berlaku kebelakangan ini akibat daripada aktiviti manusia
sendiri. Kawasan hutan telah ditebang dan diusahakan untuk pertanian dan
kegiatan lain yang menguntungkan manusia pada jangka masa yang pendak. Akibat
penebangan hutan yang melampau, proses hakisan tanah telah mula berlaku secara
perlahan-lahan. Apabila hujan diturunkan dengan lebat, percikan titisan hujann
akan mempercepatkan proses hakisan. Hal ini kerana agregat tanih relai dan
liang-liang besar dalam tanih telah ditutupi atau disumbati. Dengan ini, aliran
daratan pun mula memperlihatkan kesannya dengan membawa bersama-sama
kumin-kumin tanih. Proses sedemikian dinamakan sebagai proses iring arus.
Di
kawasan tropika lembap, proses penggondolan melibatkan beberapa proses yang
penting. Antara proses-proses itu termasuklah:
Penggondolan
kimia yang berlaku apabila batuan bertindak balas dengan air dan gas yang
terlarut dalamnya.
- Eluviasi
mekanikal yang berlaku apabila kumin halus kelodak dan lampung di bawa
air.
- Basuhan
cerun akibat tindakan titisan air hujan dan larian permukaan.
- Hakisan
oleh sungai.
Antara
proses-proses tersebut ada perbezaan dari segi kepentingannya. Peranan
penggondolan kimia adalah lebih berkesan daripada hakisan mekanikal. Hakisan
ini telah memberi implikasi bahawa litupan tumbuh-tumbuhan di rantau ini
melindungi permukaan bumi daripada hakisan mekanikal.
Sebenarnya,
litupan tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai penutup bumi yang semulajadi. Ia
dapat melindungi permukaan tanah daripada hentaman titisan air hujan dan
akarnya dapat mencengkam pada tanah, pokok-pokok juga berfungsi sebagai
pengikat tanah-tanih dengan akarnya. Keupayaan ini dapat mengelakkan
butir-butir tanah daripada pecah dan dihakis oleh air. Dengan ini, enapan dalam
sungai akan berkurangan dan seterusnya terus mengurangkan pemendakan di hilir
sungai. Dengan keupayaan ini, hutan dapat memelihara kualiti alam sekitar dan
mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat daripada berlaku.
Sebenarnya
cara yang paling mudah untuk merosakkan tanih ialah dengan membasmi litupan
tumbuh-tumbuhan dan mendedahkannya kepada hujan lebat yang menghakis bahagian
atas tanah. Bahagian atas tanah kaya dengan humus dan mengandungi banyak
pengurai. Jika litupan tumbuhan dibuangkan maka ini seolah-olah menyingkirkan
sebahagian besar daripada kesuburan tanah. Tanah yang kehilangan humus tidak
akan dapat serap air hujan dengan berkesan dan membiarkannya menjadi air lari.
Hal in akan menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang serius.
Justeru,
hutan memang memainkan peranan yang tidak dapat digantikan dalam mengawal
hakisan tanah. Satu tinjauan telah dilakukan untuk mengukur larian air yang
berlaku dalam hutan. Keputusannya menunjukkan bahawa kadar larian air adalah
sebanyak 40%-50% sahaja. Ini adalah rendah di kawasan Hutan Hujan Tropika
kerana kadar pemintasan oleh kanopi hutan adalah tinggi. Selain itu,
bukit-bukit yang curam juga perlukan perlindungan daripada hutan untuk mencegah
kerosakan yang serius yang disebabkan oleh hakisan. Dengan ini, jelaslah kita
lihat peranan hutan sebagai pengawal hakisan tanah yang penting.
KESTABILAN
CUACA
Pengurangan
kawasan Hutan Hujan Tropika sejak kebelakangan ini telah disedari dengan
memberi kesan terhadap cuaca di bumi. Semasa proses fotosintesis terjadi pada
tumbuhan, tumbuh-tumbuhan akan menyerap karbon dioksida dengan mengeluarkan
oksigan. Serasah daun yang terkumpul di lantai hutan juga akan menyimpan karbon
dari atmosfera dalam proses fotosintesis. Proses karbonisasi pula telah
diimbangi oleh pernafasan tumbuhan dan haiwan dan aktiviti ungkaibina yang
mengakibatkan penggunaan oksigan dan pengeluaran karbon dioksida.
Hutan
Hujan Tropika adalah unik kerana mempunyai kadar biojisim yang tinggi. Mengikut
statistik, daripada sejumlah 8330 bilion tan organik karbon yang terkumpul
bersama-sama bahan tumbuhan, 40 % daripadannya dihasilkan di Hutan Hujan
Tropika (Whitmore 1984). Pemusnahan hutan yang berlarutan bererti semakin
berkurangnya penukaran karbon dioksida kepada organik karbon di udara. Hal ini
terjadi lebih serius lagi dengan pembakaran fosil seperti arang batu, minyak
dan gas asli untuk menampung keperluan tenaga. Yang membimbangkan kita ialah
proses ini telah mengeluarkan karbon dioksida yang banyak ke udara. Ini telah
menjejaskan suhu udara di sekitar kawasan hutan yang asalnya adalah lebih
rendah dan selesa daripada kawasan yang terbuka tanpa tumbuhan.
Kenyataan
menunjukkan bahawa pemekatan karbon dioksida di udara telah bertambah. Ini
telah kelihatan semakin jelas sejak 100 tahun kebelakangan ini. Para saintis
meramalkan bahawa hal ini akan mengakibatkan pemanasan dunia. Ianya akan
mempengaruhi pengugangan kadar gas dan secara tidak langsung juga mempengaruhi
ketebalan lapisan ozon yang terdapat di atmosfera. Kehadiran gas-gas seperti
karbon dioksida, kloroflorokarbon (CFC), nitrid oksida di atmosfera akan
menyekat pelepasan tenaga sinaran daripada permukaan bumi tetapi ia tidak
menghalang laluan tenaga haba dari matahari ke atmosfera. Ini telah menyebabkan
suhu meningkat. Fenomena ini dikenali sebagai kesan rumah hijau.
Jika
kita berjalan dalam kota raya yang penuh dengan bangunan batu dan kemudiannya
berjalan melalui jalan yang dinaungi oleh pokok-pokok, sudah pasti mendapat
jawapan betapa hutan memberi kesan terhadap cuaca persekitaran yang nyaman.
Saintis-saintis alam sekitar telah mendapati bahawa suhu pada siang hari di bandar
adalah lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar. Di kawasan bandar,
pokok-pokok berfungsi sebagai agen pembersih udara melalui proses fotosintesis
di mana gas karbon dioksida diserap dan gas oksigan dibebaskan. Wap-wap air
hasil daripada proses ini pula menolong melembap dan menyamankan udara.
Pokok-pokok yang ditanam di kawasan bandar dan di sepanjang jalan selain
daripada mempunyai fungsi tersebut juga dapat bertindak sebagai zon penyerap
bunyi di samping menambah keindahan suasana sekeliling.
REKREASI
Ahli
sains menganggap hutan sebagai satu makmal yang besar bagi mereka menjalankan
eksperimen dan kajian yang tak terhingga. Ahli masyarakat yang biasa pula telah
menganggap hutan sebagai sesuatu tempat yang cantik dan selesa untuk merehatkan
minda dan jiwa. Pada berpuluh-puluh tahun dahulu, hutan telah digunakan untuk
berehat dan bersukan. Penggunaan hutan untuk rekreasi kian berkembang sejak
kebelakangan ini. Sebab yag pertama mungkin kerana penduduk mula mempunyai masa
untuk berekreasi. Selain itu, taraf hidup penduduk juga semakin meningkat dan
mempunyai masa yang lapang untuk beristirehat. Penduduk bandar juga mula bosan
dengan kehidupan di bandar dan ingin tinggal jauh dari bandar buat seketika.
Dengan perkembangan kegiatan perindustrian, semakin ramai lagi orang yang
menuju ke hutan untuk mendapat udara yang segar dan bersih.
Oleh itu,
hutan-hutan rekreasi telah diwujudkan dengan tujuan menyediakan kawasan-kawasan
yang mempunyai ciri-ciri hutan alam semulajadi bagi aktiviti-aktiviti peristirehatan
kepada masyarakat. Dengan ini, masyarakat berkesempatan menghayati suasana
persekitaran hutan di samping mengenali pelbagai fungsi flora dan fauna hutan.
Dalam konteks ini, Hutan Hujan Tropika menepati keperluan berekreasi.
Di
samping teduhan tumbuhan dan aliran sungai, masyarakat turut disediakan dengan
pelbagai kemudahan riadah seperti kawasan perkhemahan, persiaran danai alam,
kolam mandi dan pelbagaai kemudahan rekreasi lain. Sebenarnya, hutan telah
memberikan kita banyak faedah yang secara langsung atau tidak langsung. Di
negara asing, nilai rekreasi hidupan liar dari segi ekonomi adalah lebih tinggi
daripada nilai dagangannya. Misalnya di Amerika Syarikat, terdapat lebih
daripada 30 juta penduduk menjalankan kegiatan memburu dan memencing.
Ini telah
menampung keperluan industri pelancongan dan rekreasi Amerika. Walau
bagaimanapun, masih ramai penduduk yang menganggap hidupan liar sebagai sesuatu
yang menarik untuk dilihat dan dikaji, bukannya untuk diburu. Oleh sebab itu,
kawasan hutan diperuntukan untuk tujuan rekreasi dan tempat pemeliharaan
hidupan liar. Dengan ini, Taman Negara telah diwujudkan. Dalamnya terdapat
banyak hidupan liar seperti seladang yang takutkan manusia.
Dalam
Rancangan Malaysia ke-2 dan ke-3 (1971-1980), 25 kawasan hutan rekreasi telah
ditubuhkan. Sehinggan penghujung Rancangan Malaysia ke-4 (1981-1985), sebanyak
14 kawasan lagi telah dimajukan sebagai hutan rekreasi. Langkah kerajaan dalam
menubuhkan hutan-hutan rekreasi ini telah menambahkan perkembangan kemajuan
pelancongan negara. Kawasan hutan tidak akan dimusnahkan melalui aktiviti
penebangan dan ia digunakan untuk tujuan pelancongan alam semulajadi dan
aktiviti rekreasi. Dengan cara ini, masyarakat akan menjadi lebih prihatin dan
peka terhadap kepentingan hutan dalam menyumbangkan peranannya mensejahterakan
kehidupan. Justeru, masyarakat akan menjadi lebih mencintai alam semulajadi
sejajar dengan kehendak negara bagi memelihara dan mengekalkan kualiti dan
keindahan alam sekitar. Kini, pengurusan dalam industri berorientasikan
pelancongan alam semulajadi berpotensi menghasilkan pendapatan yang lumayan
kepada ekonomi negara.
KESIMPULAN
Walaupun
kita telah menikmati banyak faedah daripada hutan, tetapi kadar eksploitasi
masa kini memberi penanda bahawa tidak banyak yang masih tinggal untuk dilihat
dan dinikmati oleh generasi akan datang. Oleh demikian, adalah penting untuk
menjadikan hutan kita sebagai sumber alam semulajadi yang tidak seharusnya
dipergunakan dengan berleluasa untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek. Sebaliknya,
kita perlu mempunyai pandangan yang jauh bahawa hutan kita akan terus memberi
kesejahteraan kepada penghidupan sejagat. Walaupun proses pembangunan terus
dijalanjkan di negara ini, ia tidak seharusnya menjejaskan sistem penampungan
penghidupan bersumberkan hasil hutan yang sedia ada.
Keperluan yang diseimbangi
dan tindakan yang teratur di dalam mengeksploitasi khazanah hutan perlulah
diuruskan bersesuaian dengan program pembangunan negara. Sebagai warganegara
yang bertanggungjuwab, kita harus mengimbangi pandangan dan mempunyai komitmen
terhadap nilai-nilai hutan serta memeliharanya demi kesejahteraan penghidupan
yang seimbang. Haruslah kita ingat bahawa segala yang ada dalam alam ini bukan
hak milik kita sahaja. Kita hanya meminjamnya daripada generasi lalu dan perlu
kembalikannya kepada generasi yang akan datang.
RUJUKAN
; Hutan Hujan Tropika Di Timur Jauh, T.C Whitmore, Dewan Bahasa Dan Pustaka
Kementerian Pendidikan Malaysia 1991
Global
Forest Resources
Alexander
S. Mather
Belhaven Press A Division of Pinter Publishers London
Tumbuh-tumbuhan
Dan Persekitaran – Satu Perspektif Geografi
Ismail
Ahmad Yaakob Mohamad Jani
Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Hutan
Hujan Tropika Semenanjung Malaysia
Khairuddin
Haji Kamaruddin
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
3.Penyediaan Kayu Untuk Pemulpaan
Penghasilan
pulpa dara merupakan siri yang bermula dari hutan, samada hutan semula jadi
atau hutan ladang dan berakhir dengan pelunturan (lihat Rajah 3.1). Kayu
merupakan bahan mentah utama untuk penghasilan pulpa dan kertas. Pokok-pokok
yang ditebang akan diangkut ke kilang pulpa atau pusat penyerpihan, proses di
tempat lain; ataupun diproses di situ juga, proses setempat. Di pusat ini
batang-batang pokok akan dibersihkan dan dipotong mengikut ukuran-ukuran yang
dikehendaki. Kayu-kayu ini akan dipulpakan. Pulpa yang dihasilkan akan
dibersihkan. Pulpa yang bersih akan dilunturkan dan dihantar ke kilang
pembuatan kertas. Pulpa-pulpa ini dihantar ke kilang kertas samada dalam bentuk
kering, lembap atau cair.
3.1 Penuaian
3.1.1 Hutan
Malaysia
Penuaian merupakan proses pengalihan pokok-pokok daripada hutan ke
pusat-pusat pemprosesan kayu. Hutan ialah satu kawasan luas yang dilitupi
dengan tebal oleh pokok-pokok berkayu. Terdapat dua kategori hutan di Malaysia,
hutan asli dan hutan ladang. Keluasan hutan asli, hutan hujan tropika, di
Malaysia pada akhir 1991 ialah 19.24 juta hektar atau 59% keluasan Malaysia.
Hutan ini boleh dikelaskan kepada lapan jenis: hutan paya laut, hutan paya,
hutan bukit pantai, hutan dipterocarp pamah, hutan dipterocarp bukit, hutan
dipterocarp atas, hutan ok gunung, dan hutan gunung ericaceous.
Di dalam hutan-hutan ini terdapat lebih daripada 8,000 jenis pokok berbunga dan
2,500 daripadanya terdiri daripada jenis pokok besar. Hutan dipterocarp pamah
dan hutan dipterocarp bukit merupakan sumber utama dalam pengeluaran kayu
balak. Antara jenis kayu yang terdapat di dalam hutan ini ialah balau,
bintangur, cengal, jelutung, kempas keruing, meranti, merbau dan resak2.
Di samping hutan asli terdapat 450,000 hektar hutan ladang dan 4.2 juta hektar ladang getah dan kelapa sawit sebagai sumber selulosa untuk penghasilan pulpa. Ladang hutan berupaya menghasilkan lebih banyak kayu
seunit kawasan dalam jangka masa yang singkat telah dimulakan dengan penanaman
pokok jati di Perlis dan Kedah dalam tahun 1957. Pokok pain jenis tropika, Pinus
carabean, Pinus merkusii dan Araucaria
spp. ditanam di Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor dalam
tahun 1960-an. Pada tahun 1982, projek Ladang Hutan Kompensatori telah dimulakan.
Pokok-pokok Acacia spp., yamane dan batai ditanam di
seluruh negara
.
3.1.2 Pembalakan
Penuaian melibatkan penebangan pokok, pembuangan dahan/ranting dan
pemotongan batang pokok kepada panjang yang sesuai. Pada tahun 1990, 921 juta m3
pokok dituai untuk pemulpaan (lihat Rajah 3.2). Jumlah ini merupakan 16% dari
5,756 juta m3 pokok dituai untuk industri kayu dan sebagai bahan api.
Penebangan pokok dapat dijalankan secara manual atau mekanik. Penebangan
secara manual ialah dengan menggunakan kapak, gergaji atau gergaji berantai.
Sementara penebangan secara mekanik dilakukan dengan jentera tuai terutama di
hutan-hutan ladang kerana saiz batangnya yang kecil, susunan pokok yang teratur
dan permukaan tanah yang lebih stabil. Jentera ini juga dapat beroperasi dalam
cuaca buruk.
Di zon sederhana penebangan di jalan secara bermusim kerana sesetengah
spesies mudah dinyahkulit pada musim bunga dan awal musim panas. Pemotongan
pada musim sejuk akan memberi kesan pada operasi penyerpihan kerana kayu sedang
membeku.
Pada musim sejuk permukaan tanah adalah keras membeku ini memudahkan
penuaian dan pengangkutan. Di kawasan tropika, penuaian dijalankan sepanjang
tahun.
Rajah 3.2: Bekalan kayu pulpa dunia pada 1990 mengikut kawasan.
Hutan-hutan ini ditebang mengikut sistem-sistem tertentu: tebangan habis,
naung, memilih, dan tompok. Pemilihan sistem penebangan bergantung kepada
faktor-faktor alam sekitar, ekonomi, geografi, dan lain-lain.
Di Malaysia,
kerja-kerja penebangan dimulakan dengan pengambilan inventori bertujuan untuk
menentukan perancangan dan kutipan hasil oleh kerajaan. Setelah memenuhi
beberapa prosedur tertentu, pengusaha kawasan akan membina jalan-jalan hutan
untuk melicinkan pengeluaran balak. Pokok-pokok yang telah ditentukan iaitu
purata 6-7 pokok sehektar ditebang, sistem tebangan memilih, dengan menggunakan
gergaji berantai. Setelah batang pokok hutan rebah ke tanah, ia dibersihkan
dari rimbunan daun dan ranting dan kemudian ditual mengikut ukuran kepanjangan
yang sesuai. Balak-balak yang telah ditual diseret keluar dengan menggunakan
jentera pengheret dan/atau ‘San-Tai-Wong’ untuk dibawa ke betau. Di betau,
balak-balak yang masih panjang akan dikerat mengikut ukuran tertentu untuk
diangkut dengan menggunakan lori trailer ke kilang-kilang.
Batang-batang
pokok/balak dipotong pada panjang tertentu untuk memudahkan pengangkutan dan
pengiraan muatan. Sebelum trailer ini sampai ke kilang, muatannya diperiksa
oleh pegawai dari Jabatan Perhutanan untuk menentukan cukai dan royalti, dan
memastikan pengusaha balak tidak menuai pokok yang tidak diluluskan untuk
tebangan.
Balak-balak diangkut ke kilang melalui jalan raya, keretapi atau air.
Pengangkutan air digunakan apabila kilang-kilang berada di tepi laut atau
sungai. Sesampai di kilang, balak boleh disimpan di dalam air atau ia boleh
juga disimpan dalam cara longgokan samada bertindih atau main longgok.
Balak-balak dibasuh untuk membuang kotoran dan benda asing supaya tidak menjadi
masa alah kepada jentera semasa pemprosesan. Balak-balak ini juga diasingkan
mengikut spesies, mutu, saiz ataupun kegunaan.
3.2 PenGUlitan
Untuk pemulpaan, cuma kayu yang dikehendaki. Kulit pokok tidak dikehendaki
kerana ia akan merendahkan mutu pulpa dan akan meningkatkan penggunaan bahan
kimia dalam pemulpaan kimia. Penyahkulit boleh dilakukan semasa di hutan lagi
tetapi selalunya dilakukan di kilang kerana kemudahan penyahkulit yang lengkap
ada di kilang. Pengulitan di hutan akan menggalakkan kitaran nutrien. Di kilang
pula, kulit-kulit ini digunakan sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga
atau diproses untuk penghasilan baja. Pengulitan ini dapat dibuat secara manual
atau menggunakan jentera.
Salah satu cara mekanik ialah derum besi
berputar yang dicondongkan. Balak-balak ini apabila dimasukkan akan bertunggang-langgang
dan bergeser di antara satu sama yang lain. Semasa bergeseran ini kulit-kulit
akan tercabut dan tertanggal dari batang balak. Di hujung derum besi berputar,
balak-balak ini akan ditembak dengan pancutan air untuk menanggalkan sisa-sisa
kulit yang masih tertinggal. Balak-balak yang telah berjaya dinyahkulitkan akan
dihantar ke pusat penyerpihan. Kalau balak-balak ini digunakan untuk pemulpaan
mekanik kayu-kisar batu, ia tidak akan diserpihkan.
3.3 Penyerpihan
Objektif penyerpihan ialah untuk menurunkan saiz balak atau kayu menjadi
kepingan-kepingan kecil yang bersaiz seragam. Penghasilan serpih kayu yang
mempunyai saiz yang betul adalah sangat kritikal dalam penghasilan pulpa yang
berkualiti tinggi serta mempunyai variasi yang kecil. Serpih-serpih yang
terlalu besar atau kecil serta kandungan pencemar akan menurunkan kualiti pulpa
dan juga merumitkan proses penghadaman. Saiz yang ideal ialah di antara 10 mm
hingga 30 mm panjang sepanjang ira dan di antara 2 mm hingga 5 mm tebal (lihat
Rajah 3.5).
Saiz adalah penting supaya serpih dapat masuk ke dalam ceper semasa
pemulpaan mekanik dan peresapan menyeluruh dan cepat oleh larutan kimia semasa
pemulpaan kimia. Ketebalan sangat penting dalam pemulpaan kimia, terlalu nipis
akan menghasilkan pulpa bermutu rendah dan terlalu tebal menyebabkan
tengah-tengah serpih tak masak.
Kebanyakan penyerpih beroperasi di atas prinsip suatu cakera yang
mengandungi pisau yang berputar yang dipasang secara tegak di atas permukaan
dan menonjol sedikit daripada satah cakera. Balak disuap ke dalam cakera
berputar ini, biasanya pada sudut 45o terhadap satah pisau.
Pisau-pisau ini akan memotong kayu menjadi serpih (lihat Rajah 3.6).
Serpih-serpih ini akan mengalir melalui lubang-lubang di dalam cakera dan akan
di hantar kepada penapis atau storan. Akhir-akhir ini penyerpih dilengkapkan
dengan pengeluar peniupan. Peniupan diperoleh dengan menambahkan suatu kipas
pada belakang cakera. Ini menghasilkan suatu tekanan udara yang cukup untuk
membawa serpih-serpih keluar daripada hud dan melalui suatu lubang untuk
dihantar kepada penapis dan storan. Serpih-serpih yang keluar daripada
penyerpih ini kemudiannya ditapis.
3.3.1 Penapisan
Penapisan ini boleh dilakukan di tempat penyerpihan atau di kilang pulpa.
Penapisan ini merupakan multi-tahap. Dalam penapisan, saiz yang dikehendaki
dipisahkan dari serpih terlalu kecil atau terlalu besar. Saiz yang terlalu
besar akan di serpih semula sementara serpih yang terlalu kecil akan dijadikan
bahan bakar. Serpihan-serpihan ini dipisahkan mengikut panjang, tetapi sekarang
ini serpihan dipisahkan mengikut ketebalan.
Penstoran
Penjagaan rapi adalah penting kerana serpih kayu mudah rosak samada
tercemar atau diserang oleh mikrob. Serpih yang tercemar atau rosak akan
menurunkan mutu pulpa dan meningkatkan kos pengeluaran. Kerosakan ini dapat
dikurangkan dengan penjagaan yang betul. Serpih-serpih distorkan kurang dari
dua minggu kerana selepas dua minggu ia akan berwarna, tetapi untuk pemulpaan
kimia sulfit, storannya agak lama diperlukan untuk menghilangkan ekstraktif.
Kerosakan serpih dapat dikurangkan dengan:
a)Pembinaan lantai konkrit atau asfalt sebelum membina
longgokan serpihan
b)Serpih yang disimpan awal, hendaklah digunakan dahulu,
supaya serpih yang telah tercemar tidak berjangkit kepada serpih baru dan berbentuk storan hendaklah dalam bentuk cincin .
www.forestry.gov.my