UKIRAN merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Ukiran kayu atau bidang seni ukir merupakan seni pertukangan tangan yang menjadi satu tradisi masyarakat Melayu sejak turun-temurun.

Seni itu sendiri sangat meluas dan mempunyai pelbagai bentuk cabang: ada seni sastra, seni lukis, seni bina, seni taman, seni muzik, seni tari, seni hias di samping seni pertukangan. Seni ukiran kayu Melayu automatik menjadi salah satu unsur budaya tradisional di Malaysia.

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi.

Selain itu, seni tersebut turut diaplikasikan dalam pembuatan perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat senjata, alat memasak, alat pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.

Pulihara seni ukir

Jabatan Muzium komited dalam memperkembangkan dan memelihara kesenian ukiran dengan menubuhkan Galeri Kebudayaan, Muzium Etnologi Dunia Melayu. Di dalamnya terkandung beberapa sudut segmenberkaitan dengan seni ukiran.

Artifak yang dipamerkan dapat membantu pengunjung mengenali pelbagai bentuk seni ukiran Melayu.

Ukiran kayu ialah hasil kerajinan tangan, kemahiran dan ketinggian ilmu yang diterjemahkan dalam pelbagai bentuk barangan seperti yang terdapat pada bangunan, perabot, senjata, alat muzik, alat permainan masa lapang, peralatan memasak, dan peralatan pertukangan.

Teknik dan proses memainkan peranan penting dalam penghasilan ukiran. Ada empat teknik ukiran iaitu teknik ukir timbul, teknik ukir tembus ,teknik ukir layang dan teknik kerawang. Kesemua teknik ukiran berkenaan menggunakan peralatan yang sama iaitu pisau wali dan pelbagai pahat.

Ukir Timbul

Teknik ukir timbul ialah ukiran yang tidak ditebuk tembus. Bahagian yang diukir ialah bahagian corak negatif. Kebiasaannya, peti kayu, daun pintu, tiang rumah Melayu tradisional adalah menggunakan teknik ukiran timbul. Terdapat ukiran Timbul Tanpa Silat dan ukiran Timbul Bersilat.

Ukiran Tebuk Tembus

Ukiran tebuk tembus pula, kayu atau papan diukir ditebuk tembus dan corak dibiarkan. Ukiran ini kebiasaannya berfungsi sebagai pengaliran udara dan pencahayaan. Ukiran ini kebiasaannya terdapat pada rumah atau bangunan Melayu tradisi seperti bahagian kekisi jendela, sekatan ruang, cucur atap dan sebagainya. Ukiran tebuk tembus ini boleh dibahagi kepada dua jenis Ukiran Tebuk Tembus Tanpa Silat dan ukiran Tebuk Tembus Bersilat.

Ukiran Tebuk Tembus Tanpa Silat

Ukiran tebuk tembus tanpa silat hampir menyerupai ukiran timbul tanpa silat cuma yang membezakannya adalah pada dasar permukaan yang kosong yang ditebuk menjadi lubang, sedangkan motif dan coraknya dibiarkan rata tanpa silat. Gaya ini biasa terdapat pada kekisi, pagar musang, sekatan ruang, perabot dan cucur atap.

Ukiran Tebuk Tembus Bersilat

Ukirannya hampir menyamai ukiran tebuk tembus tetapi diberi kesan silatan pada motif ukirannya. Biasanya terdapat pada kekisi, sekatan ruang rehat dan perabot. Motif yang seolah-olah hidup dapat dilihat pada ukiran tebuk tembus bersilat empat lapis. Ukiran ini biasanya diukir balas pada bahagian belakangnya menampakkan bunga dan daun yang menyerupai keadaan asalnya. Dahulu ukiran ini hanya terdapat di istana dan rumah bangsawan Melayu.

Ukiran Layang

Ukiran Layang dikatakan juga ukiran tidak tembus dan tidak mempunyai corak timbul pada permukaannya. Ia biasanya terdapat pada perabot almari, katil, bermotif ringkas dan menggunakan teknik guris di permukaan kayu.

Ukiran Kerawang

Bunga ukir bentuk ini adalah dalam garis yang bengkang-bengkok. Garisan bersimpang-siur seumpama akar yang berlegar. Ukiran corak ini biasanya terdapat dalam bentuk papan tebuk tidak silat.