Blog List

Wednesday 3 February 2016

TASIK KENYIR

Pokok mati yang tegak berdiri di tengah-tengah Tasik Kenyir mencetuskan keindahan yang dianggap misteri sejak 30 tahun lalu.
PEMANDANGAN pokok mati membentuk karakter Tasik Kenyir yang unik.
Kalau anda rajin membuka mana-mana album atau laman web yang menyelit kisah kembara di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara, Tasik Kenyir di Terengganu, pokok-pokok mati yang tenggelam menjadi elemen utama menghiasi gambar yang dirakam.
"Susah nak cari pokok mati di tempat lain. Ia sudah menjadi identiti Tasik Kenyir," mungkin merupakan jawapan lazim pengunjung untuk soalan tentang rakaman foto pokok mati setiap kali berkunjung ke sini.
"Pokok mati memberi lapisan pada sekeping gambar. Dengan pencahayaan daripada matahari sebagai latar, kewujudan pokok mati dapat memberi lebih karakter.
TASIK Kenyir juga kaya dengan spesies fauna.

"Disebabkan itu kebanyakan jurugambar akan menunggu 'detik emas' iaitu semasa langit berubah warna kepada jingga, terutamanya pada waktu matahari terbenam atau terbit, untuk mengambil gambar ini," ujar Presiden Kelab Komuniti Digital Fotopages Malaysia (FMDC), Abd. Rashid Md Yusop.



Abd. Rashid berkunjung ke tasik itu baru-baru ini bersama 12 lagi ahli FMDC. Menurut jurutera bio ini, pokok mati di situ berbeza berbanding yang sering ditemui di muara sungai.
"Di Tasik Kenyir pemandangan pokok matinya masih dilatari elemen air sedangkan di muara sungai, bahagian belakangnya rapat dengan tumbuhan hidup.
"Lebih menarik jika di puncak pokok mati itu ada burung hinggap atau di antaranya ada bot laju melintas. Suntikan unsur kemanusiaan seperti itu dapat memberi kelainan dan lebih nilai," kata Abd. Rashid.
RUMAH bot bagaikan bersatu dengan alam terutama semasa ia melintasi sekelompok pokok mati.
Sebanyak 340 buah pulau terbentuk selepas empangan ini dipenuhi 23 juta meter padu air, meliputi kawasan seluas 38,000 hektar.
Terdapat 30 batang anak sungai yang mengalir ke dalamnya, 25 air terjun dan sekurang-kurangnya 25 spesies ikan yang terkenal. Itulah sebabnya tasik ini ibarat syurga bagi kaki pancing.
Selain ikan, Tasik Kenyir juga dikelilingi hutan tropika dengan lebih 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies tumbuhan-tumbuhan dan 300 spesies kulat. Ini ditambah pula dengan kehadiran 800 spesies rama-rama berwarna-warni, 370 spesies orkid, 1,000 spesies burung dan 200 spesies haiwan lain.
Fenomena yang terjadi akibat air sungai yang naik melimpah ke kawasan hutan berikutan pembinaan empangan ini meninggalkan batang cengal, merbau, meranti serta beberapa spesies balak lain, berceracak tanpa daun, memberikan pemandangan yang unik dan tersendiri.
BURUNG-BURUNG bersarang di dahan yang telah kering.

Menurut sumber, ketinggian pokok mati ini ialah antara 60 hingga 80 meter, manakala kawasan paling dalam di tasik ini boleh mencecah 145 meter. Ini bermakna terdapat banyak lagi balak mati yang ada di bawah permukaan air.
Selain menyimpan unsur seni, pokok mati turut memainkan peranan penting dalam menstabilkan ekosistem alam semula jadi.Kewujudannya menjadi tempat pembiakan terbaik untuk ikan kerana alga yang tumbuh pada batang dan dahan-dahannya berguna sebagai sumber makanan ikan.
Malah hasil kajian dan pemerhatian Jabatan Perikanan menemui spesies ikan seperti lampam sungai, lalang, parang, kawang, terbul dan sebarau yang 'bersarang' di sekitar kawasan pokok mati tersebut.

website : www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...