Blog List

Thursday 26 April 2018

Cabaran Permasalahan Pelajar Politeknik Menggunakan Model Rasch

Author
Mohd. Effendi @ Ewan Mohd. Matore*, Ahmad Zamri Khairani Universiti Sains Malaysia *Corresponding author : effendi_ewa@yahoo.com

Abstrak 

Kajian ini bertujuan mengenalpasti cabaran pelajar di tujuh buah politeknik seluruh Malaysia. Seramai 252 orang pelajar politeknik dipilih melalui sebagai sampel untuk kajian ini. Instrumen yang digunakan adalah Senarai Semak Masalah Mooney (SSMM) oleh yang mengandungi 327 item. SSMP mengandungi 11 dimensi permasalahan seperti kesihatan, kewangan, rekreasi, persahabatan, sosial, peribadi, keagamaan, keluarga, kerjaya, pengajian dan pembelajaran. Data dianalisis berdasarkan kerangka Model Rasch menggunakan perisian WINSTEPS 3.69. Dapatan menunjukkan bahawa cabaran yang paling besar yang dihadapi oleh pelajar politeknik ialah dalam Dimensi pengajian (min = 0.25 logits). Dimensi pengajian meliputi pengukuran bagi aspek-aspek penyesuaian kendiri di institusi. Dimensi Peribadi yang mengukur hubungan peribadi dan personaliti merupakan komponen cabaran yang kedua penting (min = 0.24 logits). Sebaliknya, Dimensi Persahabatan yang mengukur aspek-aspek persahabatan, seks dan perkahwinan merupakan cabaran yang paling kurang signifikan (min = -0.22 logits). Daripada segi item individu, Item 326 (takut gagal dalam ujian) daripada Dimensi Pembelajaran merupakan cabaran utama dalam kalangan pelajar politeknik (ukuran = 0.94 logits) diikuti Item 292 (Dimensi Pengajian, ukuran = 0.88 logits). Implikasi kajian dan cadangan lanjut turut dibincangkan. 

Kata Kunci: Pendidikan teknikal dan vokasional, pelajar politeknik, Model Rasch, Senarai Semak Masalah Mooney, cabaran 

PENDAHULUAN 
 Hala Tuju Transformasi Politeknik telah dilaksanakan pada tahun 2009 bertujuan memperkasakan politeknik di seluruh negara. Hala tuju ini mempunyai empat objektif utama iaitu (i) melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju dalam bidang pendidikan dan latihan teknik dan vokasional; (ii) mengukuhkan kerelevanan dan responsif program pengajian di politeknik terhadap pembangunan ekonomi negara; (iii) menerajui bidang tujahan dan teknologi tertentu; (iv) membina reputasi antarabangsa; dan (v) mempelbagai dan meluaskan penawaran program (Jabatan Pengajian Politeknik, 2009). Di antara tujuan transformasi ini dilancarkan adalah untuk menghasilkan graduan kemahiran kebolehdayaan diambil bekerja serta berdaya keusahawanan yang tinggi. Impak perlaksanaan transformasi tersebut adalah setiap politeknik berazam untuk menjana modal insan melalui pendidikan dan latihan dalam persekitaran pembelajaran inovatif dan kreatif serta sentiasa merangsang pelajarnya untuk terus meningkatkan keterampilan dan hubung kaitnya dengan keperluan kemahiran terkini dalam sektor pekerjaan. Sebagai salah sebuah negara perdagangan utama di dunia, kerajaan memerlukan sistem pendidikan yang mampu membina kekuatan modal insan dalam pelbagai bidang dan memperbaiki tahap daya saing dan pembangunan negara (Nik Mustapha Abdullah, 2007). Keperluan ini meningkat lebih-lebih lagi apabila masyarakat kini sedang melalui perubahan pesat dalam persaingan menguasai cabaran globalisasi dan k-ekonomi (Abd Jalil Borham, 2008). 

 Salah satu agenda pendidikan utama negara adalah Transformasi Politeknik yang dilancarkan pada 25 Februari 2010 dan dirangka sepanjang tahun 2009 sehingga 2020 bertujuan menyumbang kepada peningkatan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada 37 peratus menjelang 2015. Perancangan menubuhkan Universiti Politeknik menjelang 2015 adalah selari dengan tujuan melestari pembangunan modal insan keluaran politeknik dan menghasilkan keupayaan baharu kepada politeknik bagi membangunkan sumber manusia negara melangkaui tahun 2020 (Jabatan Pengajian Politeknik, 2009). Transformasi ini diperkenalkan seiring dengan suasana pendidikan masa kini yang semakin mencabar dan memerlukan tindakan luar daripada kebiasaan (Norfadila Mohd Noor, Mohd Noor Hashim dan Azmi Yusoff, 2011).

 Jabatan Pengajian Politeknik secara eksplisit menegaskan bahawa kejayaan transformasi yang utama adalah apabila graduan politeknik menjadi rebutan majikan (Jabatan Pengajian Politeknik, 2009). Namun begitu, bersesuaian dengan era globalisasi dan k – ekonomi kini, majikan mempunyai sikap selektif dalam memilih individu yang akan bekerja di organisasi mereka (Noor Idahwati Mohd Noor dan Nooraini Othman, 2011). Mereka telah meningkatkan taruhan (stake) terhadap pekerja – pekerja yang ingin diambil. Sebagai contoh, majikan di Malaysia kini berhasrat melahirkan pekerja berpengetahuan (k-workers) dan bukan lagi berintensifkan buruh murah. Justeru, sudah sampai masanya untuk politeknik dan juga institusi – institusi latihan yang lain mempersiapkan pelajar dengan kemahiran khas dalam menghadapi cabaran, bukannya ilmu pekerjaan semata - mata. Tambahan lagi, cabaran getir masa kini menuntut pendidikan teknik vokasional melatih tenaga manusia yang lebih berketerampilan,berinovasi, berdaya tahan, berdaya juang dan boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi industri dan pekerjaan (Zuhaila Salleh, Mohd Safarin Nordin dan Muhammad Syukri Saud, 2012). 

 Seperti institusi pengajian tinggi yang menyediakan graduan untuk profesion yang dipilih seperti di universiti, politeknik juga perlu menyediakan budaya untuk pelajarnya membina, melatih dan juga memperkemaskan diri masing-masing dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk berjaya dalam profesion yang dipilih. Ia sejajar dengan cabaran besar kepada sistem pendidikan negara terutamanya pendidikan teknik dan vokasional (PTV) dalam membekalkan tenaga kerja berkebolehan dan berkemahiran khususnya tenaga kerja profesional, mahir dan separa mahir dalam usahanya menyahut seruan kerajaan menjelang 2020 (Nurul Nadya Abu Bakar, Rohana Hamzah dan Amirmudin Udin, 2011) sebagai negara berpendapatan tinggi. 

 Kesediaan pelajar politeknik ini penting bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan profesion yang dipilih dalam masa yang singkat dan terus dapat menyumbang kepada majikan masing – masing. Para pelajar yang tidak bersedia biasanya akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dan ia boleh merencatkan produktiviti serta menjadi bebanan kepada organisasinya. Oleh itu, mereka mesti berusaha membina, melatih dan memperkemaskan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan supaya mampu menghadapi pelbagai cabaran. Kehendak ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat membangunkan modal insan dalam menyediakan tenaga kerja berketrampilan dan berupaya menghadapi cabaran masa depan (Yahya Buntat, Muhammad Sukri Saud dan Hairul Anuar Hussain, 2008). Cabaran-cabaran ini boleh jadi dalam bentuk instrinsik dan peribadi ataupun dalam bentuk ekstrinsik seperti kewangan, pengajian ataupun persahabatan (Stoltz dan Weihenmayer, 2006). Cabaran – cabaran ini jika tidak mampu dikendalikan dengan baik, akan mempengaruhi sistem kepercayaan (belief system) seseorang pelajar tersebut dan seterusnya merencatkan perkembangan profesional mereka. 

 Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti cabaran – cabaran yang dihadapi oleh pelajar politeknik. Secara lebih spesifik, kajian ini dijalankan untuk menentukur (calibrate) cabaran – cabaran ini mengikut kesukaran masing – masing. Untuk tujuan itu, Model Rasch digunakan sebagai kerangka pengukuran memandangkan kelebihan model tersebut untuk menentukur item – item dalam satu – satu konstruk. Dalam kajian ini, instrumen yang digunakan ialah Senarai Semak Masalah Mooney (SSMM) kerana ia dilihat lebih komprehensif dalam memerihalkan cabaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar politeknik. Ia diterjemahkan daripada instrumen Mooney Problem Check List (MPCL) (Mooney dan Gordon, 1950). Instrumen ini telah diadaptasi daripada kajian lepas dan sesuai digunakan dalam konteks tempatan (Susila Pechimuthu, 2005). Banyak kajian lepas di Malaysia yang telah menggunakan SSMM untuk mengenalpasti masalah terhadap responden mereka (Susila Pechimuthu, 2005; Azizi Yahaya, et al., 2010; Hassan Hushin dan Nurfarahiyah Mahmud, 2010; Law Seet Chan, 2006; Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor dan Hairiza Othman, 2011). 

SOROTAN KAJIAN 
 Kajian lepas di politeknik menunjukkan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelajar. Ini termasuklah cabaran berkaitan rakan sebaya, bebanan tugas yang terlalu banyak, kesuntukan masa untuk menyiapkan tugasan, tidak mempunyai tempat belajar yang selesa, suasana bising semasa kuliah, keadaan bilik kuliah yang agak sempit dan kurang selesa, diberikan tugas-tugas lain serta penggunaan Bahasa Inggeris dalam proses pembelajaran (Abd. Rahman Yaacob et al., 2011). 

 Selain itu, kajian turut dijalankan berkaitan pelaksanaan pendekatan Outcome Based Education (OBE) di politeknik (Amiza Yaman, Noremy Che Azemi dan Fadzlida Shamsudin, 2010), kualiti tahap pengajaran & pembelajaran (Azahar Fauzi, Mohd Zain Abdul Rahim dan Mohd Azriman Mat Ali, 2009), tahap kebimbangan terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran (GK Mariappen et al., 2012), kos sara hidup, masalah pengangkutan, hubungan kejiranan, pergaulan bebas, menghisap rokok, pengurusan masa yang tidak baik (Jamaluddin Lantara, Ungku Ahya Ungku Mohamad dan Mustafa Kamal Surif, 2009). 

 Masalah lain merangkumi isu kemudahan yang disediakan di politeknik termasuklah tahap kepuasan pelajar di bilik kuliah, dewan kuliah, makmal, bengkel, perpustakaan, perkhidmatan di hal ehwal pelajar, perkhidmatan di pejabat pentadbiran, kokurikulum, kantin dan cafeteria (Noremy Che Azemi dan Fadilah Mat Assain, 2010), faktor pengurusan masa, kewangan dan persekitaran pembelajaran (Siti Nuur Haziratul Ghazali, 2012), kekurangan pendedahan kepada teknologi – teknologi baru, keupayaan meneroka pengetahuan baru, kekurangan peralatan dan kelengkapan untuk kerja – kerja amali (Yahya Buntat, Muhammad Sukri Saud dan Hairul Anuar Hussain, 2008), dan kemudahan perkhidmatan bas sangat terhad, tidak sistematik, tidak selesa serta jadual masa perkhidmatan awam yang tidak menentu (Zainap Lamat, Normah Jainuddi, dan Canarisa Nipi Ah Lian, 2012). Kajian lepas yang menggunakan instrumen SSMM dalam konteks sampel berbeza pula lebih menfokuskan kepada masalah utama seperti kerjaya, akademik dan kewangan (Azizi Yahaya, Noordin Yahaya dan Sabihah Sapuan, 2010), akademik, kerjaya masa depan dan kewangan (Hassan Hushin dan Nurfarahiyah Mahmud, 2010), akademik dan kerjaya, psikologi dan penyesuaian kerja (Chin Mei Keong, 2007), masalah keluarga, kesihatan,akademik dan kerja (Law Seet Chan, 2006) penyesuaian dan kerjaya masa depan, moral dan agama serta sosial dan rekreasi (Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor and Hairiza Othman, 2011), kegiatan sosial dan rekreasi (Anasrudin Ali, 2011), faktor suasana sekolah (Azizi Yahaya et al., 2010), kurikulum dan pembelajaran, aktiviti sosial dan rekreasi, hubungan peribadi dan personality (Susila Pechimuthu, 2005), pelajaran dan kerjaya masa depan, sosial dan rekreasi serta masalah moral dan agama (Welfred Bakait, 2009), pelajaran dan kerjaya masa depan, penyesuaian terhadap tugasan akademik, kurikulum dan kaedah pengajaran (Tan Hong Goon, 2004), penyesuaian kerja, moral dan agama, dan peribadi psikologikal (Asriah Sarbini, 1999) serta psikologikal, akademik dan kerjaya (Nur Azilawaty Roosli, 2009). 

 Turut membelenggu pelajar adalah penyesuaian dan kerjaya masa depan, moral dan agama serta kegiatan sosial dan rekreasi (Sanita Bulhani, 2009), faktor suasana sekolah, latar belakang keluarga yang kurang memberikan perhatian kepada pelajar, sikap pelajar, psikologi dan rakan sebaya (Faizah Idris, 2008), masalah kewangan, keadaan kehidupan dan pekerjaan, penyesuaian terhadap kerja-kerja tugasan akademik, pelajaran dan kerjaya masa depan serta perhubungan peribadi dan psikologi (emosi) (Hassan Hushin dan Vaskalista Dua Nurak Pelipos, 2008). 

 Sebagai kesimpulan, kajian lepas menunjukkan skop cabaran itu adalah besar dan pelbagai. Maka, dalam usaha untuk mengenalpasti cabaran pelajar politeknik, istilah cabaran permasalahan dalam konteks kajian ini merujuk kepada masalah yang dihadapi pelajar politeknik berdasarkan 11 dimensi dan 327 item berkaitan dalam SSMM dengan permasalahan hidup remaja seperti (i) kesihatan; (ii) kewangan, (iii) rekreasi; (iv) persahabatan; (v) sosial; (vi) peribadi; (vii) keagamaan; (viii) keluarga; (ix) kerjaya; (x) pengajian dan (xi) pembelajaran.

METODOLOGI KAJIAN 

Sampel Kajian 
 Kajian ini melibatkan 252 orang pelajar di tujuh buah politeknik di seluruh Malaysia untuk memastikan skop cabaran pelajar lebih menyeluruh. Kajian keperluan ini dijalankan di Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang, Politeknik Kota Bharu (PKB), Kelantan, Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Sabah, Politeknik Nilai (PNS), Negeri Sembilan, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor, Politeknik Premier Ibrahim Sultan (PIS), Johor dan Politeknik Metro Kuala Lumpur, (PMKL), Kuala Lumpur. Justifikasi pemilihan politeknik tersebut adalah berdasarkan zon iaitu PSP mewakili zon utara, PKB mewakili zon timur, PKK mewakili zon borneo, PNS mewakili zon selatan dan PSIS mewakili zon barat. Kajian dikukuhkan lagi dengan pemilihan PIS yang dipilih mewakili politeknik premier dan zon selatan. PMKL pula mewakili politeknik metro dan zon barat. Teknik persampelan yang digunakan adalah persampelan mudah (convenience sampling). 

Teknik ini telah digunakan secara meluas (Saunders, Lewis dan Thornhill, 2009) terutama dalam kajian pendidikan (Gay, Mills dan Airasian, 2006) dan sains tingkahlaku (Singh, 2006). Teknik persampelan ini dipilih kerana ia bersesuaian bagi kajian penerokaan, deskriptif dan bertujuan memberi gambaran kasar tentang fenomena yang wujud dalam sesuatu populasi kajian dan memandu penyelidik melalui kajian yang lebih mendalam (Creswell, 2012). Malah, kesesuaian itu dikukuhkan lagi apabila kajian ini bukan berfokuskan untuk mengumpul data pada populasi umum tetapi menggunakannya untuk menerangkan sesuatu proses sosial (Gorard, 2004). Selain itu, ia merupakan persampelan paling mudah, menjimatkan masa, tenaga dan kos (Singh, 2006). Maklumat sampel kajian diringkaskan mengikut kategori (Jadual 1). 

 Instrumen Kajian 
 Kajian ini menggunakan Senarai Semak Masalah Mooney (SSMM) untuk mengumpul maklumat berkaitan respon pelajar politeknik. SSMM merupakan instrumen senarai semak masalah pelajar yang paling banyak digunakan38 dan popular di Malaysia kerana cirinya yang sangat mudah ditadbirkan dan tidak memerlukan pengetahuan yang mendalam untuk menggunakannya. SSMM juga boleh digunakan dalam kajian keperluan mengenalpasti masalah yang dihadapi pelajar (Gorard, 2004). Oleh kerana kajian ini adalah merupakan kajian keperluan, maka SSMM adalah instrumen paling sesuai bagi mengenalpasti masalah pelajar politeknik. 

 Namun begitu, sebanyak 3 item daripada dimensi persahabatan telah dikeluarkan daripada instrumen asal kerana tidak dianggap sesuai dengan konteks budaya di Malaysia (Susila Pechimuthu, 2005). Kajian ini turut mengubah skala pengukuran kekerapan tahap masalah 1 dan 2 daripada instrumen asal kepada penggunaan skala Likert 3 poin iaitu Tidak Mengganggu (0), Mengganggu (1) dan Sangat Mengganggu (2) sepertimana dijalankan dengan kebolehpercayaan .99 dalam kajian lepas (Susila Pechimuthu, 2005). Penskalaan ini lebih relevan berbanding kaedah penskoran konvensional bagi penggunaan Model Rasch dalam kajian ini. Penukaran kepada skala Likert tidak menjadi masalah kerana SSMM bukan bertujuan menghasilkan skor untuk dibuat inferens, tetapi bertujuan mengesan jenis masalah yang utama (Mooney dan Gordon, 1950). Penggunaan skala memudahkan pengkaji mengenalpasti hingga ke paras item dengan lebih mudah selain menganalisis data bertujuan memenuhi andaian Model Rasch. 

For further details log on website :
https://educ.utm.my/wp-content/uploads/2013/11/46.pdf

No comments:

Post a Comment

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...