Blog List

Tuesday, 6 June 2017

Pendidikan Seni Visual

Menggambar

  1. 1
  2. 2
  3. 3


Pengenalan

Di sekolah rendah kandungan subjek ini boleh disesuaikan dengan pengalaman sedia ada dan pengalaman belajar murid dalam pengajaran dan pembelajaran untuk merangsang dan meningkatkan pembelajaran. Dalam aktiviti menggambar, murid dapat menggunakan pelbagai alat dan bahan untuk menghasilkan gambar mengikut cara ekspresi mereka yang tersendiri. Hal ini dapat membantu perkembangan murid dari aspek psikomotor dan emosi serta penting bagi keperluan fisiologi dan psikologi mereka. Semasa menggambar, murid dapat mengalami pengalaman langsung dengan deria mereka mengenai subjek atau perihal benda yang digambarkan. Situasi ini membantu mereka dalam memahami sesuatu idea, menghubungkaitkan antara satu idea dengan idea yang lain atau dengan pengetahuan dalam pelbagai mata pelajaran dan membina idea baru daripada benda konkrit. Aktiviti menggambar akan menjadi lebih mudah direka bentuk supaya sesuai dengan perkembangan fizikal, mental, sosial, emosi, intelek dan estetik. Penyampaian kandungan subjek atau perihal benda melalui pelbagai alat, bahan, teknik dan cara pengolahan akan memberi peluang kepada murid membuat hubung kait yang bermakna, mengembangkan imaginasi, fantasi, kreativiti dan ekspresi diri mereka. Bidang kegiatan ini meningkatkan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis dan kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:

Lukisan

Lukisan merupakan kerja-kerja peringkat awal dalam membentuk imej untuk menghasilkan karya-karya yang lebih kompleks seperti seni halus, animasi, seni bina dan sebagainya. Teknik asas sebelum menghasilkan lukisan merujuk teknik penggunaan media kering, merangkumi pandangan imaginasi bagi menghasilkan kesan pencahayaan, ruang dan ton dengan menggunakan teknik shading atau lorekan.

  LUKISAN3Catan

Teknik catan ialah cara menghasilkan karya dengan menggunakan bahan mengecat seperti cat air, cat minyak, cat acrilic, cat poster, cat emulsi, cat tempera, cat gloss dan lain-lain lagi. Pelbagai jenis berus atau alat improvisasi lain boleh digunakan untuk menyapu bahan cat di atas sesuatu permukaan. Selalunya, sapuan cat akan menonjolkan karya dan memberi pelbagai kesan kepada kandungan dan penyampaian gambar.
 CATAN2

 Kolaj

Teknik kolaj ialah cara menghasilkan karya dengan menggunakan tampalan daripada gubahan bahan-bahan seperti kertas, bahan buatan manusia dan bahan semula jadi ke atas sesuatu permukaan. Permukaan tersebut boleh terdiri daripada pelbagai bahan seperti kertas, plastik, papan, polistren dan lain-lain. Teknik ini boleh dihasilkan secara bebas atau bertindih. Selalunya bahan yang berlainan sifat atau jalinan dapat memberikan pelbagai kesan kepada kandungan dan penyampaian gambar.
KOLAJ1

 Cetakan

Teknik cetakan ialah teknik menghasilkan karya dengan cara mencetak. Pada asasnya, cetakan menggunakan sifat timbul dan tenggelam pada sesuatu blok atau skrin. Terdapat pelbagai jenis cetakan, media dan bahan yang boleh digunakan untuk menghasilkan cetakan.  Untuk jenis cetakan blok, imej pada blok cetakan disediakan dan warna atau dakwat cetakan dicetak pada permukaan kertas.  Contoh bahan cetakan blok seperti lino, strawboard dan polyfoam. Gambar boleh diukir pada permukaan lino,  strawboard atau polyfoam. Kemudian, bahan warna disapu ke atas permukaan dan dicetak di atas kertas. Polyfoam adalah bahan yang mudah diukir dan dikendalikan. Cara gambar diukir dan sifat bahan yang diukir itu akan memberi kesan yang berlainan. Misalnya, sifat garisan yang keras akan ketara pada blok kayu dan sifat jalinan yang bertitik-titik pada polyfoam.
CETAKAN1

Resis

Teknik resis menggunakan bahan yang tidak bercampur antara satu sama lain. Contohnya jika kita menggunakan warna air bersama warna lilin atau cow gum. Warna air tidak akan bercampur dengan warna lilin ataupun cow gum. Teknik ini, boleh menggunakan lilin cair atau pun pepejal. Lilin boleh digunakan untuk melukis atau memadamkan sesuatu kawasan permukaan lukisan seperti kertas apabila warna air disapukan ke atasnya. Di kawasan yang tidak berlilin, warna air akan diserap. Kawasan yang berlilin, warna air tidak akan diserap manakala kawasan berlilin warna air tidak akan diserap kerana lilin menolak warna air tersebut. Ada kalanya, titik-titik warna air sahaja yang tertinggal di atas permukaan lilin dan akan meninggalkan kesan jalinan. Krayon juga boleh digunakan di peringkat sekolah rendah. Kesan yang lembut atau kasar akan terhasil di sempadan penemuan lilin atau krayon.  Proses membuat batik adalah satu contoh teknik resis.
 RESIS1

 Gosokan

Kita boleh menggunakan krayon dan menggosokkannya pada atas kertas yang diletakkan di atas sesuatu permukaan yang kasar. Jalinan yang terdapat pada objek akan memberi kesan yang berbeza terhadap hasil gosokan. Kita boleh memilih berbagai-bagai jalinan yang berlainan dan menyusunkannya untuk menghasilkan gambar yang menarik.
 GOSOKAN1

 Stensilan

Untuk teknik stensilan, rupa pada gambar dikeluarkan dari alat stensil. Ruang yang terdapat pada stensel akan meninggalkan kesan kosong pada kertas lukisan. Apabila bahan warna disapu pada stensil yang diletakkan di atas kertas, bahan warna akan melalui ruang kosong atau lubang di atas stensil dan diserap oleh kertas.

 STENSILAN2Percikan

Percikan merupakan satu teknik yang boleh digunakan dalam menghasilkan lukisan. Teknik ini dihasilkan dengan menggunakan pelbagai alat. Misalnya warna air boleh dipercik menggunakan berus yang menghasilkan jalinan bertitik-titik. Kesan titik yang pelbagai boleh dihasilkan dengan menyelaraskan kedudukan berus lukisan. Kedudukan berus yang tinggi akan menghasilkan kesan titik yang halus, manakala kedudukan yang rendah akan menghasilkan kesan titik yang besar dan kasar. Kesan lain juga boleh dihasilkan dengan membuat renjisan yang pelbagai, misalnya renjisan menyerong, renjisan laju dan ketukan.
PERCIKAN1

Gurisan

Untuk menghasilkan karya dengan teknik gurisan, kita boleh menggunakan sesuatu alat yang tajam untuk mengguris keluar sesuatu bahan yang lembut daripada sesuatu permukaan. Permukaan kertas boleh disapu dengan warna krayon secara berlapis-lapis supaya bahan krayon yang tebal melekat di atas kertas. Alat yang keras atau tajam seperti kayu, paku atau plastik boleh digunakan untuk menguris krayon tebal itu supaya menghasilkan gambar. Penggunaan pelbagai jenis alat yang keras dan tajam akan memberi kesan yang berlainan pada garisan yang dihasilkan.
GURISAN1

Capan

Capan ialah sejenis teknik yang menggunakan bahan alam atau semula jadi yang mempunyai jalinan tertentu. Teknik capan berbeza dengan cetakan kerana ia tidak memerlukan blok cetak. Contoh bahan yang boleh digunakan adalah seperti cap jari, cap tangan, tapak kaki, bendi, bawang, peria, buah belimbing, daun dan bunga-bungaan. Pelbagai corak boleh diperoleh melalui teknik ini bergantung pada susunan dan kreativiti pengkarya.
CAPAN1

Mozek

Mozek adalah satu hasil kerja seni menggambar yang dihasilkan dengan menyusun bahan-bahan tertentu di atas permukaan rata. Teknik mozek dihasilkan dengan menyusun bahan secara bersebelahan dan rapat tetapi masih meninggalkan ruang latar. Susunan yang dihasilkan tidak bertindih atau berlapis. Bahan-bahan yang digunakan adalah daripada bahan semulajadi atau buatan manusia. Contoh bahan-bahan seperti kertas warna, plastik, kepingan jubin dan pelbagai bahan lain yang sesuai.
MOZEK1

Montaj

Montaj ialah satu aktiviti seni menggambar menggunakan potongan gambar daripada pelbagai sumber atau sumber yang sama. Aktiviti montaj menggunakan teknik memotong, menampal dan mencantum. Montaj boleh menggunakan potongan gambar-gambar yang berkaitan daripada mana-mana media cetak untuk menghasilkan satu tajuk atau tema. Komposisi gambar dicipta dengan menggunakan teknik superimpose dengan menyusun pelbagai cebisan gambar dengan cara yang kreatif untuk menghasilkan satu hasil karya montaj. Teknik tindihan (kolaj) dan teknik susunan gambar (mozek) digunakan dalam aktiviti montaj. Cantuman gambar-gambar akan menghasilkan satu imej baru.
 MONTAJ1

Poster

Poster ialah suatu bentuk rekaan grafik yang melibatkan tipografi, ilustrasi, warna dan reka letak yang digubah untuk menyampaikan maklumat secara mudah. Poster merupakan satu elemen dalam promosi, kempen  dan sebagainya. Kebiasaannya, reka bentuk poster bersifat 2D meliputi bahan yang dilukis, dicat, ditulis atau dicetak. Poster selalunya digunakan sebagai promosi produk syarikat, aktiviti masyarakat, kempen oleh pihak kerajaan dan sebagainya. Poster biasanya dipamerkan pada dinding sekolah, pejabat dan tempat awam yang lain. Poster dapat menonjolkan keistimewaan mesej kemasyarakatan dan pengiklanan untuk dihebahkan.
POSTER1

Penutup

Bidang menggambar ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan.Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kepada kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Bidang menggambar akan membolehkan murid menyelaras perkara yang dilihat dan dialami dengan perkara yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran.

Persembahan Hasil Karya

●Ekspresi Diri

Kita boleh mengikuti panduan berikut untuk mengekspresikan diri dengan lebih baik dalam penghasilan karya.
  • Pilih objek atau susunan objek yang sesuai dan menarik
  • Tentukan sudut pandangan, komposisi, perspektif, ton, bentuk dan pencahayaan
  • Pilih media yang sesuai dengan pilihan kertas
  • Lakarkan garisan datar titik lenyap
  • Bahagikan ruang tertentu bagi objek-objek dalam lukisan
  • Lukis lakaran kasar objek-objek
  • Gunakan teknik yang sesuai untuk menunjukkan kesan cahaya, bentuk dan ruang serta bayang   (chiarascuro).
  • Perincikan bahagian-bahagian objek yang dijadikan fokus supaya membentuk jalinan dan ton yang berkesan.

Kemahiran Mengaplikasi Alat, Bahan dan Teknik

Pada abad ke-17 dan ke-18, pensel dan arang merupakan media yang amat dominan dan digemari oleh pelukis-pelukis agung. Kini, media seperti pen, berus dan dakwat adalah alat atau bahan yang popular dalam kalangan pelukis. Kita boleh mengikuti panduan berikut untuk meningkatkan kemahiran mengaplikasi alat, bahan dan teknik dalam penghasilan karya, iaitu:
  • Kita perlu memahami dan mengetahui alat, bahan dan teknik kerana ini merupakan asas yang paling penting dalam kerja menggambar. Maklumat ini memudahkan proses mengekspresi diri dalam penghasilan karya.
  • Kita perlu membuat tinjauan, pemerhatian atau melihat kerja melukis oleh tokoh-tokoh kerana proses ini dapat membantu dalam kerja menggambar.
  • Pastikan anda telah mengeksplorasikan alat dan bahan mengikut teknik yang berkaitan dengan jenis gambar yang bakal dibuat sebelum menggambar.
  • Kita perlu menguasai dan mengaplikasikan kemahiran ilusi menggambar untuk mempraktikkan penguasaan berkarya dengan lebih mudah dan berkesan.
  • Kita perlu memilih sudut pandangan serta aspek-aspek pecahan ruang yang sesuai dalam kerja menggambar.
  • Kita perlu mendapatkan ukuran yang tepat hal ini menjadi kriteria penting dalam kerja menggambar.

For further information log on website :
http://psv.ipg.edu.my/menggambar/

No comments:

Post a Comment

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...