Blog List

Saturday, 2 February 2013

SISTEM PENGURUSAN HUTAN


Polisi dan Strategi

Untuk memastikan HSK diurus secara berkekalan, "Dasar dan Strategi Pengurusan Hutan untuk Semenanjung Malaysia" telah dicadangkan dalam tahun 1976 dan seterusnya diterima sebagai tambahan kepada Dasar Perhutanan Negara. Dasar tersebut digubal bagi memastikan penggunaan sepenuhnya sumber hutan, penghasilan yang berkekalan, faedah sosial dan ekonomi yang maksimum dan kestabilan alam sekitar. Dasar pengurusan serta objektif-objektifnya yang telah diterima adalah seperti berikut : 

(i) Untuk mengurus dan menggunakan sumber hutan bagi mendapatkan faedah yang maksimum berdasarkan keupayaan semulajadi dan rancangan pengurusan serta penggunaan tanah hutan yang menyeluruh. 

(ii) Untuk menentukan hasil yang berpotensi dengan berpandukan kepada taksiran yang mendalam dan sistematik ke atas sumber hutan, daya ketumbuhannya dan faktor lain yang berkaitan.

(iii) Untuk mengusahasilkan hutan secara konservatif dengan cara tebangan memilih supaya meninggalkan anak benih semulajadi yang mencukupi selaras dengan tebangan yang berekonomik bagi memastikan asas sumber-sumber hutan yang berkekalan.

(iv) Untuk menggunakan dengan sebaik-baiknya sistem pengurusan hutan yang telah dirumuskan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada teknik-teknik pengurusan yang bersepadu dan kajian-kajian operasi. 

(v) Untuk memulihkan semula hutan yang telah diusahasilkan dan hutan miskin supaya dapat menghasilkan stok minimum yang bersamaan dengan dua puluh lima (25) pokok sehektar bagi spesies-spesies dagangan yang berperepang 45 cm pada dada untuk menjamin pengeluaran balak yang berekonomik. 

(vi) Untuk menubuhkan ladang hutan dengan spesies-spesies dagangan yang cepat tumbesar serta menggalakkan pelbagaigunaan hutan dan pemeliharaan alam sekitar semulajadi.
Selaras dengan polisi dan objektif-objektif pengurusan hutan yang tersebut di atas, strategi-strategi berikut telah dirumuskan:
(i) Tanah hutan yang akan dibuka untuk projek pertanian hendaklah dirancang dengan teliti agar pengeluaran balak dapat dikawal serta menjamin penggunaan yang maksimum. Peraturan-peraturan untuk tebang habis sesuatu kawasan akan dipatuhi sepenuhnya. 

(ii) Tanah berhutan yang tidak terlibat dengan projek-projek pertanian dan sebagainya akan dijadikan HSK dan akan diurus supaya mendatangkan hasil yang maksimum di samping memelihara kualiti alam sekitar.

(iii) Satu sistem inventori hutan yang intensif dengan intensiti sekurang-kurangnya 10 peratus akan dijalankan sebelum penebangan, terutamanya bagi hutan dara, sebagai asas untuk menentukan sistem pengurusan hutan dan silvikultur yang paling efektif. Keutamaan akan diberikan kepada pemulihan hutan semulajadi melalui pengekalan tinggal untuk giliran akan datang.

(iv) Bancian anak pokok akan dipergiatkan ke atas hutan yang telah diusahasilkan untuk menentukan status, kandungan dan kelasnya serta rawatan silvikultur yang akan dijalankan.
(v) Kajian tanah yang lengkap akan dijalankan bagi menentukan kawasan tanaman dan pemilihan spesies-spesies yang bersesuaian. 

(vi) Kawasan hutan yang sesuai akan ditentukan untuk dipelbagaigunakan selaras dengan tujuan untuk meningkatkan keperluan beriadah, pemeliharaan tanah dan air dan juga pemeliharaan flora dan fauna.

(vii) Kajian yang mendalam akan diteruskan ke atas produktiviti hutan serta kajian tumbesaran dan pengeluaran dan lain-lain aspek mengenai pengurusan dan pembangunan hutan akan juga dijalankan. 

Hutan Diterokai Hutan dara atau hutan matang (climax forest) bukanlah matlamat utama di dalam pengeluaran hasil. Pengetahuan serta kefahaman mengenai pusingan pemulihan hutan sehingga mencapai tahap kematangan adalah penting dalam menentukan pembangunan hutan semulajadi. Pengetahuan ini adalah amat berguna bagi pengurusan sesuatu kawasan hutan. Matlamat yang paling diutamakan di dalam pengurusan hutan secara berkekalan ialah bagi mendapatkan kadar tebangan tahunan yang seimbang dengan kadar penghasilan berkekalan supaya kenaikan min tahunan bersamaan dengan tebangan tahunan. Dalam hal yang demikian komposisi hutan pengeluaran tidak semestinya sama dengan hutan telah matang.

Hutan di Semenanjung Malaysia telah mula dengan sistematik sejak Jabatan Perhutanan di tubuhkan pada tahun 1901. Amalan-amalan pemeliharaan dan pengurusan hutan yang menitikberatkan aspek-aspek ekologi dan alam sekitar telah digubal untuk menjamin perkhidmatan dan penghasilan yang berkekalan.

Pada awal tahun 1920an, pengurusan sumber hutan dengan cara Departmental Improvement Felling (DIF) telah dijalankan untuk meningkatkan mutu kandungan dirian hutan. Spesies pokok yang kurang bermutu dibuang secara berperingkat-peringkat bagi membantu pertumbuhan pokok-pokok yang bernilai seperti Noebalanocarpus heimii dan pokok-pokok jaras yang berpasaran. Amalan ini kemudian dihentikan kerana telah didapati kurang sesuai berikutan permintaan yang meningkat terhadap kayu api dan kayu jaras di dalam tahun1930an.

 Dengan itu, di mana sesuai pengurusan hutan secara Commercial Regeneration Felling (CRF) telah diamalkan yang melibatkan penebangan kayu jaras secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun sebelum pengusahasilan hutan dibenarkan. Walau bagaimanapun di kawasan yang tidak ada pasaran untuk jenis ini, maka Departmental Regeneration Felling atau Reneration Improvement Felling (RIF) dijalankan di mana pembukaan silara adalah lebih ketara diikuti dengan pemotongan tumbuhan kecil.


Selepas peperangan Pasifik, amalan Regeneration Improvement Felling (RIF) telah dihentikan berikutan permintaan yang meningkat terhadap bahan mentah dengan bertambahnya bilangan kilang papan serta penggunaan jentera berat dalam pengusahasilan hutan. 

Dalam pada itu didapati bahawa kawasan- kawasan hutan yang telah musnah semasa pemerintahan Jepun dan juga kawasan lapang akibat dilanda ribut terdapat pokok-pokok bersaiz jaras yang mencukupi. Pokok-pokok ini telah membesar dengan cepatnya dari anak benih yang tidak rosak semasa pembalakan dan menjadi tumbuhan unggul(dominant) sementara spesies berpasaran yang lebih lambat pertumbuhannya menjadi tumbuhan separa unggul (sub-dominant). Sebagai contoh, anak benih Meranti (Shorea spp) cepat membesar sebaik sahaja naungan dibuka. Faktor-faktor ini telah menyumbang kepada penggubalan Sistem Sebaya Malaya atau Malaya Uniform System (MUS) di dalam tahun1948. Pada dasarnya sistem ini adalah untuk mengubah hutan hujan pamah tropika yang kompleks dan kaya dengan pelbagai spesies pokok dengan umur yang berbeza-beza kepada hutan yang sebaya umur.

MUS melibatkan penebangan semua spesies pokok matang berukuran 45 cm ppd dalam sekali tebangan serta pembebasan anak-anak pokok terpilih yang berbagai peringkat umur dari jenis kayu keras sederhana dan ringan yang memerlukan cahaya. Operasi tebangan ini diikuti dengan menggelang-racun semua pokok saka dan spesies tidak berpasaran yang berukuran 15cm ppd ke atas.

 Inventori Hutan Selepas Tebangan dijalankan dalam tempuh 2 hingga 5 tahun selepas tebangan bagi mempastikan anak-anak pokok di atas tanah adalah mencukupi dan seterusnya untuk menentukan rawatan silvikultur yang sesuai.


Sistem Sebaya malaya dahulunya menumpu kepada anak-anak benih yang akan menggantikan dirian sedia ada dan rawatan silvikultur bergantung ke arah pembiakan anak-anak benih ini dan ada kalanya mengabaikan pokok-pokok besar dan anak semulajadi. Oleh itu pokok-pokok yang besar telah digelang- racun untuk membuka naungan kepada anak-anak benih tersebut. Pada masa kini teknik ini kurang digunakan dan rawatan silvikultur ditumpukan terhadap pemeliharaan sumber hutan. Aliran kerja yang terlibat dalam modified MUS.

Sistem pengurusan ini didapati sesuai dan berkesan di Hutan Pamah Dipterokarpa tetapi tidak begitu bagi Hutan Bukit Dipterokarpa disebabkan ole keadaan kawasan yang berbukit dan berkecerunan tinggi, kandungan stok yang tidak menentu, kekurangan anak semulajadi sebelum pembalakan, kekurangan anak semulajadi selepas pembalakan disebabkan oleh ketidaktentuan musim berbunga dan kadar kematian yang tinggi semasa pengusahasilan hutan di kawasan curam dan bercerun serta kadar kehidupan yang rendah khasnya bagi jenis Meranti Seraya Shorea curtisii). Pembukaan naungan yang berleluasa terutama di kawasan tinggi akan menambah risiko hakisan tanah dan akan menggalakkan pertumbuhan belukar serta kelompok-kelompok Bertam (Eugeissona triste).

Kesulitan yang timbul daripada pengurusan silvikultur dan pemuliharaan alam sekitar didalam modified MUS di hutan bukit, didapati tidak begitu sesuai untuk menari pelaboran besar-besaran dalam sektor perhutanan kerana pusingan tebangan yang panjang itu berkehendakkan kepada kawasan hutan yang luas. Memandangkan keluasan tanah yang semakin terhad, salah satu cara untuk mendapat pulangan yang cepat ialah dengan cara menyngkatkan kadar pusingan tebangan atau menambah tebangan dalam satu-satu pusingan. Salah satu perubahan ketara dalam pengurusan hutan tropika di Semenanjung 

Malaysia sejak kebelakangan ini ialah bahawa dengan terdapatnya pelbagai jenis flora dan spesies kayu balak ianya tidak semestinya mendatangkan kesan yang negatif terhadap dasar dan strategi pengeluaran kayu-kayan negara di masa hadapan. Sebaliknya, hutan yang terdiri daripada pelbagai jenis tumbuhan akan dapat mengawal pemeliharaan tanah dan sumber air serta memperluaskan penggunaan spesies kayu balak di dalam industri perkayuan di masa akan datang.

Perkembangan teknologi pemprosesan kayu yang lebih canggih serta penggunaan kayu yang tiada pasaran masa kini akan menghasilkan barangan yang bernilai pada masa hadapan baik di dalam atau di luar negeri. Dengan itu, Sistem Pengurusan Memilih (SMS) diperkenalkan pada tahun 1978 untuk membolehkan rejim-rejim tebangan yang lebih fleksibel dan menepati tujuan pemeliharaan alam sekitar di samping mendapatkan faedah daripermintaan terhadap kayu-kayan. Lebih penting lagi, sistem ini tidak menggalakkan menggelang-racun bagi pokok-pokok tiada pasaran, ini akan memelihara kayu tersebut dan seterusnya sumber genetik untuk masa depan.

SMS telah dirangka bagi menjamin penghasilan hutan secara berkekalan dengan mengoptimumkan pembangunan hutan. Ia memerlukan pemilihan rejim-rejim pengurusan (had batas tebangan) berdasarkan kepada data-data inventori hutan sebelum tebangan untuk menjamin dirian tinggal yang mencukupi bagi pusingan tebangan akan datang di samping mengekalkan keseimbangan ekologi dan alam sekitar.

Untuk menentukan had-had tebangan minimum yang paling sesuai di bawah sistem ini, 
Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F) perlu dijalankan untuk mendapatkan taksiran yang tepat mengenai parameter-parameter isi kandungan hutan yang dibanci, bagi semua jenis pokok berperepang 5 cm ppd ke atas serta pokok-pokok berperepang kurang dari 5 cm ppd dengan ketinggian sekurang- kurangnya 15cm. Maklumat-maklumat fisiografi seperti kecerunan, ketinggian, jenis tanah dan aliran sungai perlu direkodkan. 

Berdasarkan kepada data-data inventori serta lain-lain data mengenai pasaran dan keadaan sosio- ekonomi semasa, satu rejim pengurusan (had batas tebangan) akan ditentukan bagi pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Peta stok berwarna juga disediakan bagi tujuan pembahagian sesuatu kompartmen kepada beberapa blok kecil berdasarkan isi kandungan pokok dan atau kelas kebesaran.
 

Dengan itu, pengurusan hutan secara konservatif ini adalah diharapkan dapat memberi faedah- faedah berikut:- 

(i) Pemeliharaan dan pengekalan sumber hutan;
(ii) Pengurangan kos kerja-kerja pemulihan hutan;
(iii) Menjamin kestabilan serta kualiti alam sekitar ;
(iv) Pengurangan pembaziran semasa pembalakan: dan
(v) Penggunaan sumber hutan secara optimum.
 

Dalam pengamalan SMS, untuk mempastikan tebangan kedua dapat dijalankan dalam tempoh 25-30 tahun selepas tebangan pertama dengan pengeluaran isipadu yang ekonomik di antara 30-40 m3/ha, langkah-langkah berikut biasanya dipatuhi:- 

(i) Had batas tebangan bagi spesies-spesies dari kumpulan dipterokarpa adalah tidak kurang dari 50 cm ppd, kecuali Chengal (Neobalanocarpus heimii) di mana had tebangan tidak kurang daripada 60 cm. 


(ii) Had batas tebangan untuk spesies-spesies dari kumpulan bukan dipterokarpa adalah tidak kurang dari 45 cm ppd.


(iii) Stok dirian tinggal yang merupakan bakal pokok-pokok utama untuk pusingan tebangan akan datang adalah tidak kurang dari 32 pokok sehektar yang terdiri dari pokok-pokok komersil yang subur serta lurus dengan berperepang diantara 30 cm - 45 cm ppd. 


(iv) Perbezaan had batas tebangan di antara spesies-spesies dipterokarpa dan bukan dipterokarpa adalah tidak kurang dari 5 cm. 


(v)Jumlah peratusan dipterokarpa dalam dirian tinggal yang berukuran 30 cm-45 cm ppd hendaklah sama atau lebih tinggi dari dirian asalnya.


Pada masa kini JPSM mengamalkan SMS sebagai satu sistem pengurusan hutan yang memberi tumpuan kepada kawasan yang besar dengan penggunaan jentera di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta memperluaskan skop pekerjaan. Operasi yang semakin canggih ini dipergunakan oleh rakyat tempatan dalam perpindahan teknologi dan menambah kemahiran pengurusan. Aliran kerja yang terlibat dalam Modified MUS
 
Perancangan hutan dan kajian operasi bersepadu yang dijalankan di Semenanjung malaysia setakat ini memberikan gambaran yang jelas bahawa pengusahasilan hutan bukit dengan tempoh tebangan 25 - 40 tahun dan had tebangan yang bersesuaian akan menghasilkan isipadu yang ekonomik serta dirian tinggal dari pokok berpasaran bersaiz sederhana yang mencukupi untuk tebangan akan datang. 

Dengan kadar purata tumbesaran perepang 0.8 - 1.0 cm setahun dan pertumbuhan 2.0 - 2.5 m3/ha/tahun isipadu kasar komersil bagi pokok-pokok yang berperepang 30 cm dan ke atas didapati 3/4 daripada kawasan hutan bukit berkeupayaan mengeluarkan 40 - 45 m3/ha dalam tempoh 30 tahun di mana adalah hampir setanding dengan pengeluaran purata hutan dara masa kini. Bagaimanapun, kadar kerosakan ke atas pokok-pokok bersaiz sederhana semasa pembalakan perlu dikawal supaya ianya tidak melebihi 30 %.
 
Hutan Paya Laut 

Hutan Paya Laut telah berjaya diurus dikebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia bagi pengeluaran arang kayu bakau, kayu jaras dan kayu api berasaskan prinsip pengurusan secara berkekalan. 


Di negeri Perak pusingan tebangan bagi Hutan Paya Laut adalah di antara 20 hingga 30 tahun manakala bagi negeri Selangor dan Johor masing-masing ialah 25 dan 20 tahun. Pokok yang matang selalunya akan ditebang habis (clear-felled) mengikut kawasan tertentu. Walau bagaimanapun hanya pokok yang bersaiz melebihi perepang 7.5 cm sahaja yang akan dikeluarkan. Kayu bakau untuk arang dipotong sepanjang 1.6 m dan kayu api sepanjang 1.5 m. 

Tunggul dan sisa-sisa pembalakan selepas tebangan akan ditinggalkan untuk proses pereputan. Jika selepas dua (2) tahun didapati tiada pertumbuhan anak benih atau tidak mencukupi maka kawasan-kawasan ini akan ditanam dengan spesies Rhizophora. Selalunya satu atau dua penjarangan untuk kayu jaras dilakukan sebelum tebangan akhir dijalankan dan penjarangan ini dilakukan, contohnya, di kawasan Hutan Paya Laut Matang, Perak dengan menggunakan kayu sepanjang 1.2 m bagi hutan berumur 15 tahun dan 1.8 m bagi hutan berumur 20 tahun. 

Tahap Keberkekalan (Sustainable Level) Berdasarkan hasil penemuan penyelidikan semasa, anggaran konservatif Tambahan Min Tahunan [ Min Annual Increment (MAI)] bagi hutan yang diurus di bawah giliran tebangan 30 tahun (SMS) ialah 2.55 m3/ha/tahun. Dengan itu, jangkaan pengeluaran hasil kayu selepas mengambilkira kerosakan tebangan 30% (tunggul, balak pendek dll.) ialah 53.6 m3/ha. 


Bagaimanapun, bagi hutan yang diurus mengikut giliran tebangan 55 tahun (MUS), anggaran konservatif Tambahan Min Tahunan ialah 1.75 m3/ha/tahun dan dengan itu jangkaan pengeluaran kayu-kayan selepas mengambil kira 30% kerosakan tebangan hutan adalah 67.4 m3/ha. Jangkaan pengeluaran ini adalah setanding dengan pengeluaran purata balak masakini di Semenanjung Malaysia. 

Adalah dipercayai, dengan perkembangan teknologi dan inovasi pemprosesan kayu-kayan yang lebih canggih serta perubahan dalam corak penggunaan kayu di sektor perhutanan di masa hadapan maka kayu-kayan yang tidak berpasaran pada masakini dapat menebusi pasaran antarabangsa dan domestik. Oleh itu, pengeluaran hasil hutan dari HSK adalah dianggarkan sebanyak 4-5 juta m3 setiap tahun. 

Untuk mengurus sumber hutan di Semenanjung Malaysia dengan lebih intensif di bawah konsep penghasilan yang berkekalan, kawasan hutan dalam HSK diklasifikasikan mengikut kelas kecerunan serta salah satu atau lebih dari kelas fungsi hutan sebagaimana dikehendaki dibawah ;


Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara, 1984: -
sumber. jabatan hutan negeri kelantan
http://www.forestry.gov.my/kelantan/pengurusan.html

Pengkelasan Hutan Simpanan Kekal 


Majlis Perhutanan Negara telah meluluskan Dasar Perhutanan Negara pada tahun 1977 dan telah disahkan oleh Majlis Tanah Negara pada tahun 1978. Dasar ini telah dipinda pada November, 1992 bagi menangani isu-isu semasa yang telah dibangkitkan oleh masyarakat antarabangsa ke atas kepentingan pemeliharaan kepelbagaian biologi dan penggunaan sumber-sumber genetik dan juga peranan masyarakat tempatan ke atas pembangunan sumber-sumber genetik dan juga peranan masyarakat tempatan ke atas pembangunan hutan. 

Penerimaan Dasar Perhutanan negara ini akan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama di antara Kerajaan-kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam pembangunan sektor perhutanan. Aspek-akpek penting yang digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara ialah:

i. Mengisytiharkan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) kawasan-kawasan yang mencukupi dan strategik di seluruh negara, berasaskan kepada konsep penggunaan tanah yang rasional. HSK diklasifikasikan di bawah empat fungsi utama dan akan diurus sebagai: 

a. HUTAN PERLINDUNGAN untuk memastikan kestabilan iklim dan keadaan fizikal negara, pengawalan sumber bekalan air, kesuburan tanah, kualiti alam sekitar, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan mengurangkan kerosakan akibat banjir dan hakisan kepada sungai dan tanah pertanian. 

b. HUTAN BERHASIL untuk bekalan hasil hutan yang berterusan, pada kadar yang munasabah secara ekonomi di dalam negara untuk keperluan pertanian, domestik, perindustrian dan eksport. 

c. HUTAN LIPUR untuk mengekalkan sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, eko-pelancongan dan untuk menambah kesedaran masyarakat mengenai perhutanan. 

d. HUTAN PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKAN untuk menjalankan penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan kepelbagaian biologi.
ii. Menguruskan HSK supaya dapat memaksimumkan faedah-faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi kepentingan negara sejajar dengan prinsip-prinsip pengurusan secara berkekalan. 

iii. Melaksanakan program pembangunan hutan yang terancang melalui operasi pemeliharaan dan pemuliharaan hutan berasaskan amalan-amalan silvikultur yang sesuai.
iv. Menggalakkan pengusahasilan serta penggunaan yang cekap dari kawasan hutan berhasil bagi faedah ekonomi yang maksimum bagi semua jenis keluaran hutan serta mengalakkan pembangunan perindustrian hutan bersesuaian dengan aliran sumber dan peluang-peluang pekerjaan. 

v. Menggalakkan pembangunan perindustrian hutan yang terancang ke arah penghasilan barangan siap dan separuh siap yang mempunyai nilai tokok bagi kegunaan tempatan dan eksport. 

vi. Menggalakkan penyertaan bumiputra secara agresif dalam industri berasas kayu sejajar dengan dasar kerajaan. 

vii. Menubuhkan ladang hutan dari spesies-spesies tempatan dan luar negeri bagi menampung bekalan kayu dari hutan asli. 

viii. Meningkatkan penglibatan masyarakat tempatan secara aktif dalam pelbagai projek-projek pembangunan perhutanan dan mengekalkan penglibatan mereka dalam program-program hutan tani. 

ix. Meningkatkan keluaran hasil hutan bukan kayu melalui amalan-amalan pengurusan secara saintifik dan berkekalan bagi menampung permintaan tempatan serta keperluan industri-industri berkaitan. 

x. Melaksanakan program latihan perhutanan yang komprehensif di semua peringkat sektor awam dan swasta bagi memastikan bilangan tenaga manusia terlatih mencukupi bagi memenuhi keperluan bidang perhutanan dan industri berasaskan kayu. 
xi. Menggalakkan pelaburan swasta dalam pembangunan hutan melalui penubuhan ladang hutan kawasan persendirian. 

xii. Mengendali dan menyokong program-program penyelidikan yang intensif dalam bidang perhutanan dan keluaran hutan bertujuan untuk meningkatkan faedah-faedah hutan secara maksimum.
xiii. Menggalakkan pendidikan dalam perhutanan dan mengendalikan perkhidmatan- perkhidmatan publisiti dan pengembangan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai faedah hutan. 

xiv. Memberi perlindungan kepada kepelbagaian biologi dan pengekalan kawasan yang mempunyai spesies flora dan fauna yang unik. 

xv. Membentuk satu program perhutanan masyarakat bagi menampung kehendak masyarakat di dalam dan di luar bandar. 

xvi. Mengkhaskan kawasan khusus bagi pendidikan perhutanan dan kajian saintifik yang lain. 
xvii. Menjalin kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam bidang perhutanan bagi mendapat faedah melalui pemindahan teknologi dan pertukaran maklumat saintifik

HUTAN HUJAN TROPIKA DI MALAYSIA DAN KEGUNAANNYA
CHEAH LI PHENG
KANDUNGAN
  • Pengenalan
  • Sumber Kayu-Kayan
  • Sumber Bukan Kayu
  • Habitat Bagi Haiwan, Serangga Dan Tumbuhan
  • Mengawal Alir Air Dan Kualiti Air
  • Mengawal Hakisan Tanah
  • Kestabilan Cuaca
  • Rekreasi
  • Kesimpulam
  • Rujukan
Hutan boleh ditakrifkan sebagai satu komuniti pokok-pokok besar serta haiwan dan serangga yang saling hidup dalam beranika cara dengan meliputi kawasan yang sangat luas. Ia memerlukan cahaya matahari, udara, air dan tanah untuk mencapai pertumbuhan, kematangan dan seterusnya membiak dengan baik.

Hutan amat penting dalam alam ini, terutamanya untuk manusia dan haiwan. Hutan telah memberikan manusia banyak faedah walaupun dari segi hasilnya ataupun perkhidmatannya.Antara peibagai fungsi hutan yang amat memanfaatkan manusia boleh terbahagikan kepada 3 kumpulan besar iaitu dari segi ekonomi seperti pengeluaran balak dan hasil kayu dan bukan kayu serta haiwan liar.

 Selain itu, ia juga memberi pelindungan yang mempunyai hubungan dengan iklim atau mikro iklim. Seterusnya, hutan juga memainkan peranan dari segi aspek-sapek rekreasi.

Hutan di Malaysia digolongkan sebagai Hutan Hujan Tropika. Hutan Hujan Tropika dipercayai merupakan ekosistem yang paling tua dan rumit di dunia. Hutan Hujan Tropika amat penting dari segi ekologi. Ekologi Hutan Hujan Tropika di Malaysia dan kawasan lain mempunyai 2 ciri yang ketara iaitu kadar pertumbuhan yang tinggi dan kepelbagaian spesies yang sukar disaingi. Kekayaan Hutan Hujan Tropika dari segi bilangan spesies merupakan faktor penting tarikan para pengkaji. 

Sebenarnya, di seluruh dunia terdapat tiga kawasan Hutan Hujan Tropika. Kawasan yang paling luas merupakan Hutan Hujan Tropika Amerika di Lembangan Amazon. Hutan Hujan Tropika di Indo-Malaya yang merupakan perbincangan utama di sini adalah kawasan hutan yang kedua luas di dunia. Di Afrika, Hutan 

Hujan Tropika terletak di Conga dan luasnya meliputi sepanjang pantai Teluk Guinea dan beberapa kawasan di Uganda. Ini adalah kawasan Hutan Hujan Tropika yang terkecil.
Mengikut statistik, dianggarkan terdapat 14500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga di Hutan Hujan Tropika Malaysia. Berdasarkan suatu penilaian yang dibuat, daripada jumlah di atas kira-kira 9000 spesies tumbuhan berbunga terdapat di Semenanjung Malaysia. 

Antaranya merangkumi 3000 spesies pokok, 1000 spesies orkid, 300 spesies palma dan 60 spesies rumput dan buluh, 500 spesies paku-pakis dan 24 spesies konifer. Selain itu, bilangan bagi spesies lumut, lumut hati, liken dan alga tidak dapat ditentukan dengan tepat. Tambahan lagi, daripada sejumlah 3000 spesies pokok dalam Hutan Hujan Tropika, terdapat 677 spesies balak yang meliputi 168 genus yang mempunyai nilai dagangan.

Malaysia adalah amat beruntung kerana masih mempunyai kawasan hutan asli. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kita harus berpuas hati dan mengabaikan masalah-masalah yang sedang mengancam kawasan hutan kita. Tiada jaminan yang konkrit bahawa sumber alam semulajadi dan warisan ini akan terus kekal pada masa hadapan. Ini jelas kelihatan dengan tanda-tanda bahawa kawasan hutan sudah mula berkurangan dengan cepat berdasarkan kadar eksploitasi masa kini. Sebenarnya, pemeliharaan dan pengurusan sumber-sumber ini memerlukan tindakan wajar dan segera. Terutamanya prihatin dan tanggungjawab masyarakat adalah amat diperlukan.

SUMBER KAYU-KAYAN

Hutan Hujan Tropika merupakan satu gedung spesies tumbuhan yang besar. Hanya sebahagian kecil daripadanya yang telah ditemui atau dikenali kegunaannya pada masa kini. Di Malaysia, sumber Hutan Hujan Tropika sering dikaitkan dengan Hutan Tanah Pamah dan Hutan Bukit Dipterokarpa iaitu kawasan taburan pelbagai spesies pokok balak komersial negara. Di samping itu, terdapat juga jenis-jenis hutan lain seperti Hutan Paya Laut, Hutan Paya Gambut, Hutan Oak Gunung dan Hutan Ericaceous Gunung. Setiap habitat hutan tersebut mempunyai spesies-spesies kayu yang berpotensi termasuklah spesies-spesies dipterokarpa dan spesies-spesies kayu kommersial seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas yang bernilai tinggi.

Pada masa sekarang, penggunaan kayu keras tropika sedunia telah meningkat. Dalam tempoh masa 20 tahun (1970-1990), kadar pertambahan dalam pengunaan kayu adalah sebanyak 13 kali ganda di kebanyakan negara mengimport. Sebahagian besar kayu yang berasal dari Asia Tenggara telah dieksport ke negara Jepun untuk diproses dan kemudiannya kayu tersebut dihantar ke Amerika Syarikat. Kadar pembalakan di Malaysia adalah sangat tinggi. Misalnya pada 1977, kadar pembalakan di Malaysia adalah sebanyak 10 km perseri setiap hari. 

Walaupun Hutan Hujan Tropika Malaysia terdapat pelbagai spesies tumbuhan yang nampaknya mempunyai bekalan sumber kayu-kayan yang banyak tetapi ia semakin tidak mencukupi akibat kadar pembalakan yang tinggi. Sejak itu, barulah kita sedar bahawa hutan yang dahulunya nampak seperti tidak boleh dihabiskan tidak lagi mampu membekalkan kayu yang cukup untuk pasaran dalam negara. Untuk menampung penggunaan kayu keras tropika di Malaysia, pelbagai spesies kayu yang kurang terkenal sedang giat digalakkan kegunaannya. Spesies-spesies tersebut termasuk pauh kijang (Irvingia malayana), tempinis (Streblue elongatus) dan derum (Cratoxylum sp.). Selain itu, balak yang berdiameter kecil seperti kayu getah juga turut bertambahnya penggunaan.

Hasil kayu-kayan ada banyak penggunaan. Hasil ini memainkan peranan penting dalam ekonomi moden. Industri yang berasaskan hutan telah menyediakan banyak pekerjaan dan wujudkan perdagangan antarabangsa yang berharga. Sebenarnya, pada awal tahun 1970-an balak dan papan gergaji merupakan eksport utama Malaysia untuk pertukaran matawang asing. Kini Malaysia mula beralih kepada industri pembuatan yang berasaskan kayu untuk meningkatkan nilai bahan kayu yang dieksport. Contohnya venier, papan lapis, papan serpai, perabot dan lain-lain. Negara import utama produk kayu Malaysia ialah Jepun, Taiwan, Eropah, Singapura dan China.

 Antara spesies yang sesuai untuk pembuatan perabot ialah Balak, Kembang Semangkok, Kayu Getah, Nyatoh dan sebagainya. Spesies-spesies luar negara seperti Oak, Maple, Walnut, Mahogany dan Jati digunakan sebagai bahan untuk meningkatkan kualiti dan memenuhi citarasa pengguna. Tambahan lagi, kayu-kayu keras seperti Meranti, Chengal, Merbau, Balau , Keruing dan lain-lain juga digunakan sebagai bahan binaan. Kayu-kayu juga digunakan oleh penduduk tempatan sebagai bahan api pada kehidupan harian. Oleh itu, hutan adalah penting untuk membekalkan kayu-kayu yang begitu banyak mendatangkan faedah kepada kita.

SUMBER BUKAN KAYU

Keluaran hasil bukan kayu ialah semua keluaran hutan selain kayu balak. Ianya termasuklah beberapa hasil keluaran hutan bernilai rendah tetapi pada umumnya sangat meluas digunakan. Jenis-jenis hasil keluaran tidak terhad kepada hasil keluaran tumbuh-tumbuhan sahaja tetapi juga meliputi keluaran daripada binatang. Walaupun terdapat pelbagai jenis hasil hutan bukan kayu tetapi ia tidak mempunyai kepentingan perdagangan yang tinggi. Jika berbanding dengan hasil kayu hutan, pengeluaran hasil bukan kayu adalah kurang teratur. Antara hasil-hasil hutan bukan kayu yang biasa dijumpai termasuklah rotan, buluh, tumbuh-tumbuhan pewarna, damar, ubat-ubatan, mengkuang, pandan dan sebagainya.

Rotan merupakan hasil hutan yang terpenting di Malaysia. Ia dikenali di seluruh dunia kerana kecantikannya yang menyerlah apabila direkabentuk menjadi perabot. Sebenarnya, perusahaan rotan di Malaysia pada umumnya bersifat kecil dan tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar di mana sumber-sumber bahan mentah ini mudah diperoleh. Rotan lazimnya tumbuh liar dengan banyaknya di kawasan-kawasan pedalaman hutan semulajadi. Dewasa ini, rotan yang paling popular diperdagangankan serta berharga tinggi ialah manau (Calamus manam). Manau merupakan pilihan utama bagi pembuatan rangka dan komponen perabot rotan. Selain rotan, terdapat juga 150 spesies jenis palma asli di dalam hutan Malaysia. 

Walau bagaimanapun, penekanan dan penggunaannya hanya terhad bagi beberapa jenis palma yang popular seperti nipah, rumbia dan bertam sahaja. Nipah (Nypa fruticnns) tumbuh di sepanjang tebing-tebing sungai seluruh Semenanjung Malaysia. Daun-daunnya boleh dibuat atap dan barangan kraf manakala daun-daun muda yang masih belum terbuka (anak daun) digunakan bagi membuat kertas pembalut tembakau rokok. Buahnya boleh dimakan sementara tangkainya boleh diperah bagi mendapat nira. Rumbia atau sagu (Metroxylon sagu) ialah jenis palma yang lebih besar dan hidup di paya-paya air tawar. Ia merupakan bahan utama dalam pembuatan tepung sagu daripada bahagian dalam batangnya. Daunnya boleh disisir menjadi atap dan dinding rumah. Isi batangnya juga berguna sebagai bahan makanan kepada binatang ternakan seperti ayam, itik, babi. Bertam (Eugeissona tristis) hidup di merata hutan pedalaman. Daunnya boleh dijadikan atap dan buahnya pula boleh dimakan sementara tangkai jambak bungannya kadangkala diukir untuk dijadikan barang hiasan.

Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili rumput (Gramineae). Ia merupakan sumber bahan asli yang berkepentingan istimewa terutamanya di kalangan masyarakat desa. Penggunaan buluh adalah lebih meluas berbanding dengan hasil hutan bukan kayu yang lain. Dengan berkembangnya teknologi baru, mesin-mesin pemprosesan telah digunakan. Industri barangan yang berasaskan buluh telah dapat berkembang menjadi perusahaan yang lebih berdaya maju. Buluh telah diproses menjadi banyak alatan penggunaan harian. Antaranya termasuk sangkar-sangkar anyaman dan raga-raga besar untuk mengisi sayur-sayuran.

 Di kawasan luar bandar pula, terdapat pelbagai penggunaan buluh secara tradisi. Selain daripada dinding dan lantai yang direkabentuk dengan begitu indah dab menarik, ia juga dijadikan peralatan muzik, layang-layang, sangkar burung dan alat sumpitan buluh. Rebung-rebung buluh terutamanya buluh betang (Dendrocalamus aspera) dan beting (Gigantochloa levis) yang hidup liar atau ditanam boleh dijadikan sumber makanan berzat. Batang buluh lemang (Schizostachyum brachycladum) boleh menjadi bekas untuk memasak pulut yang dicampurkan dengan santan kelapa. Daun-daun buluh semeliang (S.grande) boleh digunakan untuk membungkus pulut kukus iaitu sejenis masakan kaum cina.

Di samping itu, mengkuang dan pandan merupakan jenis-jenis tumbuhan monokotilidon dalam famili Pandanaceae. Lazimnya tumbuh sebagai pokok berbatang seperti spesies Pandanus odoratissimus. Biasanya ia hidup merimbun di habitat berair, lembah-lembah, kawasan pantai dan bukit. Mengkuang mempunyai saiz daun yang lebih besar dan panjang berbanding dengan pandan. Penggunaan bahan-bahan mengkuang ialah bagi menghasilkan barangan seperti tikar, kajang dan tirai. Daun-daun pandan pula dianyam menjadi tikar, topi, bag tangan dan barangan ringan yang lain. Biasanya keluaran mengkuang adalah lebih tahan daripada pandan. 

Selain itu, tumbuh-tumbuhan pewarna yang paling berharga di Malaysia ialah daripada spesies sepang (Caesalpinia sappan) yang digunakan untuk mewarnakan pandan, tikar, sutera, kapas dan benang. Ia juga digunakan sebagai pewarna bahan makanan. Tumbuh-tumbuhan pewarna lain ialah mengkudu (Morinda sp.), merbau (Intsia sp.), sena (Pterocarpus indicus) dan akar kunyit (Fibraurea chloroleuca). Tambahan lagi, bayur (Pterospermum sp.), ketapang (Terminalia sp.), rhu (Casuarina sp.) dan rengas juga boleh digunakan untuk menghasilkan bermacam-macam pewarna.

Hutan merupakan gedong yang penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi tumbuhan. Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan berbeza mengikut sifat penyakit yang diubati. Dalam kegunaan perubatan tradisional misalnya, masyarakat melayu meminum air rebusan Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) dan (E.apiculata) sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin.

 Orang-orang asli pula menggunakan bahagian kulit akar Tongkat Ali bagi mengubati demam cacar manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka atau bisul serta bagi meredakan demam malaria. Di antara spesies-spesies tumbuhan lain yang sering dikaitkan dengan nilai perubatan termasuklah jenis selusuh Fatimah (Labisia sp.), mempisang (Goniothalamus sp.) dan medang (Cinnamomum sp.). Bunga pakma (Rafflesia hasselitii) yang dikatakan mengandungi nilai perubatan turut mendapat harga yang tinggi di pasaran.

Hutan juga membekalkan sumber makanan kepada manusia terutamanya bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan hutan dan fauna yang tinggal dalamnya. Buah dan biji-bijian liar hutan juga dijual di pasar-pasar tempatan. Antaranya terdiri daripada macang (Mangifera foetida), jambu (Eugenia sp.), sentul (Sandoricum koetjape), rambutan (Nephelium sp.), durian (Durio sp.) dan sebagainya. Kini, sumber pemakanan dari hutan telah mendapat promosi yang meluas dan dengan pendedahan ini, ia telah mula mendapat pasaran yang tinggi sebagai salah satu sumber makanan tempatan. Selain makanan, hutan juga membekalkan pelbagai bahan daripada binatang di hutan. Bahan-bahan tersebut menjadi buruan kepada mereka yang ingin memilikinya sama ada untuk hiasan atau sebagai sumber dagangan yang lumayan.

 Antara barang yang berasaskan haiwan-haiwan yang diburu ini termasuklah gading gajah, kulit harimau badak, harimau bintang, tapir, burung dan sebagainya. Di samping itu, tahi atau najis kelawar juga dipungut untuk digunakan sebagai baja asli. Lilin lebah dan sarang burung layang-layang dipungut sama ada untuk tujuan makanan atau perubatan. 


Akibatnya, pihak PERHILITAN telah menjalankan langkah kawalan agar binatang-binatang tersebut tidak terus pupus dari habitat hutannya.

Sebenarnya, selain hasil-hasil yang disenaraikan di atas terdapat lagi banyak hasil hutan bukan kayu yang lain. Antaranya termasuklah kayu gaharu yang boleh menghasilkan bau wangi apabila dibakar dan sering digunakan dalam upacara keagamaan. Pokok-pokok pengeluaran gaharu ialah karas (Aquilaria malaccensis) dan cendana (Wikstroemia candalleana). Selain itu, minyak-minyak daripada sayur-sayuran terdapat secara semulajadi daripada buah-buahan dan biji-bijian tumbuhan. 

Kebanyakannya boleh dimakan dan hasil daripada pokok sengkawang dan ketupang. Minyak daripada pokok penaga pula boleh digunakan untuk membuat bahan-bahan seperti sabun, cat dan lilin. Di samping itu, minyak bauan asli merupakan sejenis minyak yang meruap dan lazimnya terdapat dalam bahagian-bahagian kulit, akar, daun, buah atau bunga tumbuhan. Minyak-minyak ini berperisa enak dan berbau harum. Antara jenis-jenis tumbuhan yang sering dimanfaatkan sebagai bahan dasar dalam penghasilan minyak bauan asli ialah kenagan, bunga tanjung dan keruing gondol. Penaga dan pulasari pula digunakan dalam pembuatan bahan perisa dan haruman bahan makanan serta penyediaan ubat-ubatan.

Dengan ini, boleh dikatakan hutan menyediakan banyak peluang pekerjaan bagi usahawan-usahawan kecil yang ingin menceburkan diri dalam industri berasaskan sumber keluaran hasil hutan bukan kayu. Kerajaan kini telah mengambil tindakan dalam menghadkan pengeluaran bahan-bahan mentah keluaran hasil hutan supaya ia dapat diurus bagi pengeluaran yang berkekalan.

HABITAT BAGI HAIWAN, SERANGGA DAN TUMBUHAN

Hutan menyediakan habitat yang semulajadi bagi beribu-ribu haiwan, serangga dan tumbuhan yang setiap satunya mempunyai peranan dalam pengekalan ekosistem hutan. Mengikut kajian yang dijalankan, Hutan Hujan Tropika Malaysia terdapat 1200 spesies burung, 1000 spesies rama-rama dan kupu-kupu, 147 spesies amfibia, 250 spesies ikan air tawar dan 675 spesies mamalia. Lebih daripada 8000 spesies tumbuhan berbunga di mana antaranya ada 2500 spesies adalah spesies pokok. 

Hutan turut menyediakan makanan secara langsung bagi herbivor dan secara tidak langsung kepada karnivor. Haiwan, serangga dan tumbuhan adalah saling bergantung untuk hidup. Peranan serangga dalam pendebungaan, burung dan kelawar sebagai penyebar buah dan biji tidak boleh diperkecilkan. Secara kasar, Hutan Hujan Tropika boleh dibahagikan kepada beberapa nic yang terasing antara sama lain dari segi ruang, aktiviti atau diet haiwan.

Harrison (1962) telah membezakan 6 komuniti burung dan mamalia dalam Hutan Hujan Tropika berdasarkan aras kanopi yang didudukinya dan juga berdasarkan julat bahan makanannya seperti berikut:
  1. Di atas kanopi : insektivor serta burung karnivor dan kelawar.
  2. Kanopi atas : burung dan mamalia pemakan daun, buah-buahan dan sebahagian kecil yang makan nektar dan serangga.
  3. Haiwan yang terbang di tengeh-tengah kanopi : Kebanyakan burung dan kelawar insektivor.
  4. Haiwan pemanjat di tengah-tengah kanopi : mamalia pemakan pelbagai jenis makanan yang bergerak turun naik batang daripada silara pohon hingga ke tanah, terdapat juga sejumlah kecil karnivor.
  5. Haiwan besar di atas tanah : herbivor dan karnivor pngiringnya.
  6. Haiwan kecil di atas tanah atau di bawah pokok : mamalia dan burung pemakan pelbagai jenis makanan pada lantai hutan, terutamanya insektivor atau omnivor serta beberapa jenis herbivor dan karnivor.
Dapat dilihat bahawa kumpulan burung dan mamalia fitofaj yang utama hidup pada kanopi atas. Sebaliknya, pada zon yang lain kurang menampung pengguna primer dan terdapat lebih banyak pengguna sekunder, iaitu haiwan yang menjadi mangsa kepada haiwan yang lain. 

Contahnya burung yang hidup di atas kanopi termasuk burung enggang, burung merpati dan burung-burung yang memakan buah-buahan dan serangga. Burung pacat, burung-burung rimba dan burung kuang terdapat pada tumbuhan bawah. Kumpulan burung yang menduduki bahagian tengah kanopi adalah lebih sukar untuk dibezakan antaranya terdapat burung kesumbar, burung belatuk dan burung merbah.

Dalam Hutan Hujan Tropika terdapat populasi invertebrata yang mempunyai kepadatan yang rendah tetapi menunjukkan taksonomi yang sangat pelbagai. Invertebrata merupakan haiwan yang tidak bertulang belakang seperti serangga. Contohnya, rama-rama, labah-labah, anai-anai, dan sebagainya. Tempat habitat serangga juga dibahagikan kepada banyak aras. Contohnya aras yang lebih tinggi dalam hutan terdapat Ceratopogonidae, Homoptera dan pemangsanya. Di bawah tumbuhan kecil pula terdapat Psocoptera, semut, anai-anai dan kebanyakkan famili Diptera

Sebenarnya, komuniti invertebrata adalah berbeza pada lurah yang bersebelahan dan pada lereng dan permatang rabung. Lubang-lubang dalam batang pokok, batang yang reput serta tanah di bawahnya merupakan habitat tak selanjar yang penting. Tiap-tiap habitat ini mempunyai sekutuan dengan invertebrata yang tertentu. Selain itu, banyak invertebrata yang terdapat dalam hutan amat berfaedah kepada manusia. Misalnya, Apis mellifera dan Apis dorsata akan membekalkan lebah madu kepada kita. Spesies Lepidoptera (rama-rama) pula adalah sangat penting untuk industri pelancongan. Oecophylla sp. (kerengga) penting sebagai pengawalan perosak secara biologi. Cambidae sp. Pula ialah sejenis kumbang yang larvanya dimakan oleh kaum tertentu.

Di sanping itu, hubungan antara tumbuhan dan haiwan juga jelas lihat dalam hutan. Hutan bukan hanya merupakan suatu persekitaran yang terdapatnya haiwan yang banyak tetapi juga tidak boleh kurangnya tumbuh-tumbuhan. Tumbuhan yang merupakan sumber makanan haiwan yang utama juga tertakluk kepada hukum pemilihan semulajadi. Tumbuhan juga memerlukan bantuan haiwan dalam pendebungaan dan penyebarannya. Dengan ini, hasillah hubungan haiwan dengan tumbuhan yang saling memerlu. 

Dalam pendebungaan, bunga yang didebungakan oleh haiwan mempunyai daya penarik untuk menarik haiwan tersebut dan mungkin ada daya penghalang untuk mencegah peengusahahasilan yang berlebihan. Terdapat juga gabungan kombinasi binaan, bentuk, saiz dan bauan yang disebut "sindrom" yang ada kaitan dengan lawatan sesuatu kelas haiwan. 

Contohnya, bunga yang didebungakan oleh burung tidak mempunyai bauan tetapi berwarna terang merah, jingga, kuning dan hijau, mempunyai binaan bunga yang kukuh dan mempunyai banyak nektar cair. Selain itu, haiwan juga memainkan peranan yang penting dalam penyebaran biji bagi pokok-pokok di kawasan tropika. Contoh satu ciri "sindrom" ialah penyesuaian pokok untuk sebaran biji oleh kelawar. Buah yang disebarkan oleh kelawar berwarna lebih pucat, kebanyakan berwarna coklat atau kekunigan dan mempunyai bau yanng hapak. Buah yang disebarkan oleh kelawar masak di atas pokok kemudian buah akan terkeluar daripada dedaun supaya mudah dilawati oleh kelawar. Antara kelawar yang berperanan penting ialah Pteropus yang boleh mengangkat buah seberat 200 g.
Walaupun hutan penting sebagai habitat haiwan, serangga dan tumbuhan, tetapi dengan masalah pemusnahan yang semakin serius ini, sebilangan besar haiwan sedang mengalami masalah kepupusan. 

Haraplah dengan terlaksananya Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, usaha ke arah pemuliharaan haiwan yang mengalami bahaya terpupus dapat dipertingkatkan.

MENGAWAL ALIR AIR DAN KUALITI AIR

Apabila hujan turun dengan lebat, air hujan akan menitis ke bawah menuju ke lantai hujan dengan pantas. Akan tetapi, pergerakan titisan air hujan dapat dilambatkan oleh kanopi hutan dan lapisan tumbuhan di bawahnya. Struktur Hutan Hujan Tropika yang berkanopi adalah penghalang hujan yang sangat cekap. Mengikut pendapat para ahli ekologi, liputan hutan dapat mengurangkan kejadian banjir pada musim hujan lebat dangan memerangkap sebahagian daripada air hujan dan mengembalikan sebahagiannya kepada atmosfera.

Sebenarnya, hujan yang sampai ke muka bumi akan membebaskan tenaga yang akan mengakibatkan serakan kumin tanih. Dengan ini, untuk menitis air hujan, kanopi hutan dapat menghasilkan perubahan kadar dan tempoh curahan air hujan ke lantai hutan. Yang penting sekali ialah hutan dapat mengurangkan kesan titisan air hujan ke atas tanah. Di samping itu, daun-daun yang gugur di lantai hutan juga boleh bertindak ssebagai "kusyen" yang dapat menyerap titisan air hujan dan seterusnya menghalang pengaliran air ke dalam tanah di bawahnya. 

Justeru, peranan hutan bukan sahaja dapat mengurangkan kesan titisan hujan ke atas tanah, tetapi ia juga menggalakkan penyusupan air. Hal ini penting kerana penyusupan air dapat menghalang sesuatu kawasan itu daripada digenangi air. Selain itu, kewujudan humus dapat memperbaiki tekstur dan meningkatkan ketelapan supaya membantu dalam penyusupan air. Oleh itu, boleh mengatakan bahawa hutan berperanan untuk mengurangkan larian air dan meningkatkan keupayaan penyusupan serta membantu perkolasi air.

Pada hakikatnya, hanya sebahagian sahaja hujan yang turun dapat sampai ke lantai tanah hutan akibat daripada pemintasan tumbuhan. Kuantiti hujan yang sampai ke lantai hutan adalah bergantung kepada bentuk dan susunan daun dan ranting pokok dalam hutan. Tanah hutan hujan primer dilindungi oleh beberapa lapisan kanopi. Oleh itu, berapa banyak hujan yang dipintas oleh pelbagai lapisan kanopi bergantung kepada keamatan hujan dan tempoh hujan turun. Sebahagian besar air hujan yang dipintas tidak sampai ke tanah dan sebelumnya akan tersejat ke atmosfera. Sebaliknya, air hujan yang tidak terpintas akan menjadi aliran terus atau aliran batang dan akan mengalir secara perlahan-lahan ke anak-anak sungai.

Selain itu, sistem saliran yang ada sekarang adalah tidak dapat menampung kesemua hujan yang turun pada musim hujan dan mengakibatkan berlakunya banjir. Banjir berlaku akibat daripada air yang berlebihan dalam sungai dan rangkaian sungai. Sebelum air hujan mengalir ke sungai dan rangkaian sungai, ia akan melalui aliran dataran, aliran dasar dan aliran subpermukaan.

Mengikut statistik, larian air dalam hujan adalah rendah iaitu 40%-50% kerana sebahagian besarnya telah dipintas oleh hutan. Ekosistem hutan berperanan sebagai "regulator" air dalam mengawal kadar alirannya. Kajian Liken 1970 telah menunjukkan bahawa kehilangan litupan hutan akan menyebabkan air hujan terus mengalir ke sungai-sungai dan mengakibatkan kejadian banjir kilat secara tidak langsung yang mendatangkan bencana kepada manusia. Ini dapat dilihat pada sebatang anak sungai yang mengalir ke kawasan hutan dan berbanding dengan sebatang sungai yang mengalir ke kawasan rancangan perumahan ketika hujan lebat. Disebabkan oleh kurangnya air hujan yang terpintas dan tersejat, kekerapan banjir dan kehebatannya dapat dilihat setelah pemusnahan hutan berlaku.

Hutan adalah sangat penting sebagai satu sistem penyediaan kualiti air yang bermutu kepada manusia. Ramai ahli ekologi bersetuju bahawa legah yang dilitupi tumbuhan membekalkan air yang berkualiti lebih baik digunakan oleh manusia kerana hutan bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air. Penebangan hutan bukan sahaja mempengaruhi aliran sungai dan suhu air sungai tetapi juga boleh menimbulkan perubahan keadaan kimia air sungai. Hal ini disebabkan apabila pokok-pokok ditebang, bekalan nutrien yang tersimpan dalam tumbuhan akan hilang. 

Walaupun sebahagian daripada nutrien boleh digunakan oleh tumbuhan lain yang ditanam oleh petani pindah tetapi kebanyakannya akan terlarut resap dan mengalir ke sungai. Perubahan nutrien yang banyak mungkin menimbulkan kesan yang tidak diingini seperti eutrofikasi tasik dan kolam. Dengan ini, kemerosotan kualiti air akan berlaku.

MENGAWAL HAKISAN TANAH

Masalah hakisan tanah sering berlaku kebelakangan ini akibat daripada aktiviti manusia sendiri. Kawasan hutan telah ditebang dan diusahakan untuk pertanian dan kegiatan lain yang menguntungkan manusia pada jangka masa yang pendak. Akibat penebangan hutan yang melampau, proses hakisan tanah telah mula berlaku secara perlahan-lahan. Apabila hujan diturunkan dengan lebat, percikan titisan hujann akan mempercepatkan proses hakisan. Hal ini kerana agregat tanih relai dan liang-liang besar dalam tanih telah ditutupi atau disumbati. Dengan ini, aliran daratan pun mula memperlihatkan kesannya dengan membawa bersama-sama kumin-kumin tanih. Proses sedemikian dinamakan sebagai proses iring arus.

Di kawasan tropika lembap, proses penggondolan melibatkan beberapa proses yang penting. Antara proses-proses itu termasuklah: 

Penggondolan kimia yang berlaku apabila batuan bertindak balas dengan air dan gas yang terlarut dalamnya.
  1. Eluviasi mekanikal yang berlaku apabila kumin halus kelodak dan lampung di bawa air.
  2. Basuhan cerun akibat tindakan titisan air hujan dan larian permukaan.
  3. Hakisan oleh sungai.
Antara proses-proses tersebut ada perbezaan dari segi kepentingannya. Peranan penggondolan kimia adalah lebih berkesan daripada hakisan mekanikal. Hakisan ini telah memberi implikasi bahawa litupan tumbuh-tumbuhan di rantau ini melindungi permukaan bumi daripada hakisan mekanikal.

Sebenarnya, litupan tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai penutup bumi yang semulajadi. Ia dapat melindungi permukaan tanah daripada hentaman titisan air hujan dan akarnya dapat mencengkam pada tanah, pokok-pokok juga berfungsi sebagai pengikat tanah-tanih dengan akarnya. Keupayaan ini dapat mengelakkan butir-butir tanah daripada pecah dan dihakis oleh air. Dengan ini, enapan dalam sungai akan berkurangan dan seterusnya terus mengurangkan pemendakan di hilir sungai. Dengan keupayaan ini, hutan dapat memelihara kualiti alam sekitar dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat daripada berlaku.

Sebenarnya cara yang paling mudah untuk merosakkan tanih ialah dengan membasmi litupan tumbuh-tumbuhan dan mendedahkannya kepada hujan lebat yang menghakis bahagian atas tanah. Bahagian atas tanah kaya dengan humus dan mengandungi banyak pengurai. Jika litupan tumbuhan dibuangkan maka ini seolah-olah menyingkirkan sebahagian besar daripada kesuburan tanah. Tanah yang kehilangan humus tidak akan dapat serap air hujan dengan berkesan dan membiarkannya menjadi air lari. Hal in akan menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang serius.

Justeru, hutan memang memainkan peranan yang tidak dapat digantikan dalam mengawal hakisan tanah. Satu tinjauan telah dilakukan untuk mengukur larian air yang berlaku dalam hutan. Keputusannya menunjukkan bahawa kadar larian air adalah sebanyak 40%-50% sahaja. Ini adalah rendah di kawasan Hutan Hujan Tropika kerana kadar pemintasan oleh kanopi hutan adalah tinggi. Selain itu, bukit-bukit yang curam juga perlukan perlindungan daripada hutan untuk mencegah kerosakan yang serius yang disebabkan oleh hakisan. Dengan ini, jelaslah kita lihat peranan hutan sebagai pengawal hakisan tanah yang penting.

KESTABILAN CUACA

Pengurangan kawasan Hutan Hujan Tropika sejak kebelakangan ini telah disedari dengan memberi kesan terhadap cuaca di bumi. Semasa proses fotosintesis terjadi pada tumbuhan, tumbuh-tumbuhan akan menyerap karbon dioksida dengan mengeluarkan oksigan. Serasah daun yang terkumpul di lantai hutan juga akan menyimpan karbon dari atmosfera dalam proses fotosintesis. Proses karbonisasi pula telah diimbangi oleh pernafasan tumbuhan dan haiwan dan aktiviti ungkaibina yang mengakibatkan penggunaan oksigan dan pengeluaran karbon dioksida.

Hutan Hujan Tropika adalah unik kerana mempunyai kadar biojisim yang tinggi. Mengikut statistik, daripada sejumlah 8330 bilion tan organik karbon yang terkumpul bersama-sama bahan tumbuhan, 40 % daripadannya dihasilkan di Hutan Hujan Tropika (Whitmore 1984). Pemusnahan hutan yang berlarutan bererti semakin berkurangnya penukaran karbon dioksida kepada organik karbon di udara. Hal ini terjadi lebih serius lagi dengan pembakaran fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli untuk menampung keperluan tenaga. Yang membimbangkan kita ialah proses ini telah mengeluarkan karbon dioksida yang banyak ke udara. Ini telah menjejaskan suhu udara di sekitar kawasan hutan yang asalnya adalah lebih rendah dan selesa daripada kawasan yang terbuka tanpa tumbuhan.

Kenyataan menunjukkan bahawa pemekatan karbon dioksida di udara telah bertambah. Ini telah kelihatan semakin jelas sejak 100 tahun kebelakangan ini. Para saintis meramalkan bahawa hal ini akan mengakibatkan pemanasan dunia. Ianya akan mempengaruhi pengugangan kadar gas dan secara tidak langsung juga mempengaruhi ketebalan lapisan ozon yang terdapat di atmosfera. Kehadiran gas-gas seperti karbon dioksida, kloroflorokarbon (CFC), nitrid oksida di atmosfera akan menyekat pelepasan tenaga sinaran daripada permukaan bumi tetapi ia tidak menghalang laluan tenaga haba dari matahari ke atmosfera. Ini telah menyebabkan suhu meningkat. Fenomena ini dikenali sebagai kesan rumah hijau.

Jika kita berjalan dalam kota raya yang penuh dengan bangunan batu dan kemudiannya berjalan melalui jalan yang dinaungi oleh pokok-pokok, sudah pasti mendapat jawapan betapa hutan memberi kesan terhadap cuaca persekitaran yang nyaman. Saintis-saintis alam sekitar telah mendapati bahawa suhu pada siang hari di bandar adalah lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar. Di kawasan bandar, pokok-pokok berfungsi sebagai agen pembersih udara melalui proses fotosintesis di mana gas karbon dioksida diserap dan gas oksigan dibebaskan. Wap-wap air hasil daripada proses ini pula menolong melembap dan menyamankan udara. Pokok-pokok yang ditanam di kawasan bandar dan di sepanjang jalan selain daripada mempunyai fungsi tersebut juga dapat bertindak sebagai zon penyerap bunyi di samping menambah keindahan suasana sekeliling.

REKREASI

Ahli sains menganggap hutan sebagai satu makmal yang besar bagi mereka menjalankan eksperimen dan kajian yang tak terhingga. Ahli masyarakat yang biasa pula telah menganggap hutan sebagai sesuatu tempat yang cantik dan selesa untuk merehatkan minda dan jiwa. Pada berpuluh-puluh tahun dahulu, hutan telah digunakan untuk berehat dan bersukan. Penggunaan hutan untuk rekreasi kian berkembang sejak kebelakangan ini. Sebab yag pertama mungkin kerana penduduk mula mempunyai masa untuk berekreasi. Selain itu, taraf hidup penduduk juga semakin meningkat dan mempunyai masa yang lapang untuk beristirehat. Penduduk bandar juga mula bosan dengan kehidupan di bandar dan ingin tinggal jauh dari bandar buat seketika. Dengan perkembangan kegiatan perindustrian, semakin ramai lagi orang yang menuju ke hutan untuk mendapat udara yang segar dan bersih. 

Oleh itu, hutan-hutan rekreasi telah diwujudkan dengan tujuan menyediakan kawasan-kawasan yang mempunyai ciri-ciri hutan alam semulajadi bagi aktiviti-aktiviti peristirehatan kepada masyarakat. Dengan ini, masyarakat berkesempatan menghayati suasana persekitaran hutan di samping mengenali pelbagai fungsi flora dan fauna hutan. Dalam konteks ini, Hutan Hujan Tropika menepati keperluan berekreasi. 

Di samping teduhan tumbuhan dan aliran sungai, masyarakat turut disediakan dengan pelbagai kemudahan riadah seperti kawasan perkhemahan, persiaran danai alam, kolam mandi dan pelbagaai kemudahan rekreasi lain. Sebenarnya, hutan telah memberikan kita banyak faedah yang secara langsung atau tidak langsung. Di negara asing, nilai rekreasi hidupan liar dari segi ekonomi adalah lebih tinggi daripada nilai dagangannya. Misalnya di Amerika Syarikat, terdapat lebih daripada 30 juta penduduk menjalankan kegiatan memburu dan memencing. 

Ini telah menampung keperluan industri pelancongan dan rekreasi Amerika. Walau bagaimanapun, masih ramai penduduk yang menganggap hidupan liar sebagai sesuatu yang menarik untuk dilihat dan dikaji, bukannya untuk diburu. Oleh sebab itu, kawasan hutan diperuntukan untuk tujuan rekreasi dan tempat pemeliharaan hidupan liar. Dengan ini, Taman Negara telah diwujudkan. Dalamnya terdapat banyak hidupan liar seperti seladang yang takutkan manusia.

Dalam Rancangan Malaysia ke-2 dan ke-3 (1971-1980), 25 kawasan hutan rekreasi telah ditubuhkan. Sehinggan penghujung Rancangan Malaysia ke-4 (1981-1985), sebanyak 14 kawasan lagi telah dimajukan sebagai hutan rekreasi. Langkah kerajaan dalam menubuhkan hutan-hutan rekreasi ini telah menambahkan perkembangan kemajuan pelancongan negara. Kawasan hutan tidak akan dimusnahkan melalui aktiviti penebangan dan ia digunakan untuk tujuan pelancongan alam semulajadi dan aktiviti rekreasi. Dengan cara ini, masyarakat akan menjadi lebih prihatin dan peka terhadap kepentingan hutan dalam menyumbangkan peranannya mensejahterakan kehidupan. Justeru, masyarakat akan menjadi lebih mencintai alam semulajadi sejajar dengan kehendak negara bagi memelihara dan mengekalkan kualiti dan keindahan alam sekitar. Kini, pengurusan dalam industri berorientasikan pelancongan alam semulajadi berpotensi menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada ekonomi negara.

KESIMPULAN

Walaupun kita telah menikmati banyak faedah daripada hutan, tetapi kadar eksploitasi masa kini memberi penanda bahawa tidak banyak yang masih tinggal untuk dilihat dan dinikmati oleh generasi akan datang. Oleh demikian, adalah penting untuk menjadikan hutan kita sebagai sumber alam semulajadi yang tidak seharusnya dipergunakan dengan berleluasa untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek. Sebaliknya, kita perlu mempunyai pandangan yang jauh bahawa hutan kita akan terus memberi kesejahteraan kepada penghidupan sejagat. Walaupun proses pembangunan terus dijalanjkan di negara ini, ia tidak seharusnya menjejaskan sistem penampungan penghidupan bersumberkan hasil hutan yang sedia ada. 

Keperluan yang diseimbangi dan tindakan yang teratur di dalam mengeksploitasi khazanah hutan perlulah diuruskan bersesuaian dengan program pembangunan negara. Sebagai warganegara yang bertanggungjuwab, kita harus mengimbangi pandangan dan mempunyai komitmen terhadap nilai-nilai hutan serta memeliharanya demi kesejahteraan penghidupan yang seimbang. Haruslah kita ingat bahawa segala yang ada dalam alam ini bukan hak milik kita sahaja. Kita hanya meminjamnya daripada generasi lalu dan perlu kembalikannya kepada generasi yang akan datang.

RUJUKAN ; Hutan Hujan Tropika Di Timur Jauh, T.C Whitmore, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia 1991
Global Forest Resources
Alexander S. Mather
Belhaven Press A Division of Pinter Publishers London
Tumbuh-tumbuhan Dan Persekitaran – Satu Perspektif Geografi
Ismail Ahmad Yaakob Mohamad Jani
Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Hutan Hujan Tropika Semenanjung Malaysia
Khairuddin Haji Kamaruddin
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia


3.Penyediaan
Kayu Untuk Pemulpaan 
Penghasilan pulpa dara merupakan siri yang bermula dari hutan, samada hutan semula jadi atau hutan ladang dan berakhir dengan pelunturan (lihat Rajah 3.1). Kayu merupakan bahan mentah utama untuk penghasilan pulpa dan kertas. Pokok-pokok yang ditebang akan diangkut ke kilang pulpa atau pusat penyerpihan, proses di tempat lain; ataupun diproses di situ juga, proses setempat. Di pusat ini batang-batang pokok akan dibersihkan dan dipotong mengikut ukuran-ukuran yang dikehendaki. Kayu-kayu ini akan dipulpakan. Pulpa yang dihasilkan akan dibersihkan. Pulpa yang bersih akan dilunturkan dan dihantar ke kilang pembuatan kertas. Pulpa-pulpa ini dihantar ke kilang kertas samada dalam bentuk kering, lembap atau cair.

3.1 Penuaian

3.1.1 Hutan Malaysia
Penuaian merupakan proses pengalihan pokok-pokok daripada hutan ke pusat-pusat pemprosesan kayu. Hutan ialah satu kawasan luas yang dilitupi dengan tebal oleh pokok-pokok berkayu. Terdapat dua kategori hutan di Malaysia, hutan asli dan hutan ladang. Keluasan hutan asli, hutan hujan tropika, di Malaysia pada akhir 1991 ialah 19.24 juta hektar atau 59% keluasan Malaysia. Hutan ini boleh dikelaskan kepada lapan jenis: hutan paya laut, hutan paya, hutan bukit pantai, hutan dipterocarp pamah, hutan dipterocarp bukit, hutan dipterocarp atas, hutan ok gunung, dan hutan gunung ericaceous.

 Di dalam hutan-hutan ini terdapat lebih daripada 8,000 jenis pokok berbunga dan 2,500 daripadanya terdiri daripada jenis pokok besar. Hutan dipterocarp pamah dan hutan dipterocarp bukit merupakan sumber utama dalam pengeluaran kayu balak. Antara jenis kayu yang terdapat di dalam hutan ini ialah balau, bintangur, cengal, jelutung, kempas keruing, meranti, merbau dan resak2.

Di samping hutan asli terdapat 450,000 hektar hutan ladang dan 4.2 juta hektar ladang getah dan kelapa sawit sebagai sumber selulosa untuk penghasilan pulpa. Ladang hutan berupaya menghasilkan lebih banyak kayu seunit kawasan dalam jangka masa yang singkat telah dimulakan dengan penanaman pokok jati di Perlis dan Kedah dalam tahun 1957. Pokok pain jenis tropika, Pinus carabean, Pinus merkusii dan Araucaria spp. ditanam di Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor dalam tahun 1960-an. Pada tahun 1982, projek Ladang Hutan Kompensatori telah dimulakan. Pokok-pokok Acacia spp., yamane dan batai ditanam di seluruh negara 
.
3.1.2 Pembalakan
Penuaian melibatkan penebangan pokok, pembuangan dahan/ranting dan pemotongan batang pokok kepada panjang yang sesuai. Pada tahun 1990, 921 juta m3 pokok dituai untuk pemulpaan (lihat Rajah 3.2). Jumlah ini merupakan 16% dari 5,756 juta m3 pokok dituai untuk industri kayu dan sebagai bahan api.

Penebangan pokok dapat dijalankan secara manual atau mekanik. Penebangan secara manual ialah dengan menggunakan kapak, gergaji atau gergaji berantai. Sementara penebangan secara mekanik dilakukan dengan jentera tuai terutama di hutan-hutan ladang kerana saiz batangnya yang kecil, susunan pokok yang teratur dan permukaan tanah yang lebih stabil. Jentera ini juga dapat beroperasi dalam cuaca buruk.

Di zon sederhana penebangan di jalan secara bermusim kerana sesetengah spesies mudah dinyahkulit pada musim bunga dan awal musim panas. Pemotongan pada musim sejuk akan memberi kesan pada operasi penyerpihan kerana kayu sedang membeku.

Pada musim sejuk permukaan tanah adalah keras membeku ini memudahkan penuaian dan pengangkutan. Di kawasan tropika, penuaian dijalankan sepanjang tahun.
Rajah 3.2: Bekalan kayu pulpa dunia pada 1990 mengikut kawasan.

Hutan-hutan ini ditebang mengikut sistem-sistem tertentu: tebangan habis, naung, memilih, dan tompok. Pemilihan sistem penebangan bergantung kepada faktor-faktor alam sekitar, ekonomi, geografi, dan lain-lain. 

Di Malaysia, kerja-kerja penebangan dimulakan dengan pengambilan inventori bertujuan untuk menentukan perancangan dan kutipan hasil oleh kerajaan. Setelah memenuhi beberapa prosedur tertentu, pengusaha kawasan akan membina jalan-jalan hutan untuk melicinkan pengeluaran balak. Pokok-pokok yang telah ditentukan iaitu purata 6-7 pokok sehektar ditebang, sistem tebangan memilih, dengan menggunakan gergaji berantai. Setelah batang pokok hutan rebah ke tanah, ia dibersihkan dari rimbunan daun dan ranting dan kemudian ditual mengikut ukuran kepanjangan yang sesuai. Balak-balak yang telah ditual diseret keluar dengan menggunakan jentera pengheret dan/atau ‘San-Tai-Wong’ untuk dibawa ke betau. Di betau, balak-balak yang masih panjang akan dikerat mengikut ukuran tertentu untuk diangkut dengan menggunakan lori trailer ke kilang-kilang. 

Batang-batang pokok/balak dipotong pada panjang tertentu untuk memudahkan pengangkutan dan pengiraan muatan. Sebelum trailer ini sampai ke kilang, muatannya diperiksa oleh pegawai dari Jabatan Perhutanan untuk menentukan cukai dan royalti, dan memastikan pengusaha balak tidak menuai pokok yang tidak diluluskan untuk tebangan. Balak-balak diangkut ke kilang melalui jalan raya, keretapi atau air. 

Pengangkutan air digunakan apabila kilang-kilang berada di tepi laut atau sungai. Sesampai di kilang, balak boleh disimpan di dalam air atau ia boleh juga disimpan dalam cara longgokan samada bertindih atau main longgok. Balak-balak dibasuh untuk membuang kotoran dan benda asing supaya tidak menjadi masa alah kepada jentera semasa pemprosesan. Balak-balak ini juga diasingkan mengikut spesies, mutu, saiz ataupun kegunaan.

3.2 PenGUlitan

Untuk pemulpaan, cuma kayu yang dikehendaki. Kulit pokok tidak dikehendaki kerana ia akan merendahkan mutu pulpa dan akan meningkatkan penggunaan bahan kimia dalam pemulpaan kimia. Penyahkulit boleh dilakukan semasa di hutan lagi tetapi selalunya dilakukan di kilang kerana kemudahan penyahkulit yang lengkap ada di kilang. Pengulitan di hutan akan menggalakkan kitaran nutrien. Di kilang pula, kulit-kulit ini digunakan sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga atau diproses untuk penghasilan baja. Pengulitan ini dapat dibuat secara manual atau menggunakan jentera. 

Salah satu cara mekanik ialah derum besi berputar yang dicondongkan. Balak-balak ini apabila dimasukkan akan bertunggang-langgang dan bergeser di antara satu sama yang lain. Semasa bergeseran ini kulit-kulit akan tercabut dan tertanggal dari batang balak. Di hujung derum besi berputar, balak-balak ini akan ditembak dengan pancutan air untuk menanggalkan sisa-sisa kulit yang masih tertinggal. Balak-balak yang telah berjaya dinyahkulitkan akan dihantar ke pusat penyerpihan. Kalau balak-balak ini digunakan untuk pemulpaan mekanik kayu-kisar batu, ia tidak akan diserpihkan.

3.3 Penyerpihan

Objektif penyerpihan ialah untuk menurunkan saiz balak atau kayu menjadi kepingan-kepingan kecil yang bersaiz seragam. Penghasilan serpih kayu yang mempunyai saiz yang betul adalah sangat kritikal dalam penghasilan pulpa yang berkualiti tinggi serta mempunyai variasi yang kecil. Serpih-serpih yang terlalu besar atau kecil serta kandungan pencemar akan menurunkan kualiti pulpa dan juga merumitkan proses penghadaman. Saiz yang ideal ialah di antara 10 mm hingga 30 mm panjang sepanjang ira dan di antara 2 mm hingga 5 mm tebal (lihat Rajah 3.5). 

Saiz adalah penting supaya serpih dapat masuk ke dalam ceper semasa pemulpaan mekanik dan peresapan menyeluruh dan cepat oleh larutan kimia semasa pemulpaan kimia. Ketebalan sangat penting dalam pemulpaan kimia, terlalu nipis akan menghasilkan pulpa bermutu rendah dan terlalu tebal menyebabkan tengah-tengah serpih tak masak.

Kebanyakan penyerpih beroperasi di atas prinsip suatu cakera yang mengandungi pisau yang berputar yang dipasang secara tegak di atas permukaan dan menonjol sedikit daripada satah cakera. Balak disuap ke dalam cakera berputar ini, biasanya pada sudut 45o terhadap satah pisau. Pisau-pisau ini akan memotong kayu menjadi serpih (lihat Rajah 3.6). Serpih-serpih ini akan mengalir melalui lubang-lubang di dalam cakera dan akan di hantar kepada penapis atau storan. Akhir-akhir ini penyerpih dilengkapkan dengan pengeluar peniupan. Peniupan diperoleh dengan menambahkan suatu kipas pada belakang cakera. Ini menghasilkan suatu tekanan udara yang cukup untuk membawa serpih-serpih keluar daripada hud dan melalui suatu lubang untuk dihantar kepada penapis dan storan. Serpih-serpih yang keluar daripada penyerpih ini kemudiannya ditapis.

3.3.1 Penapisan

Penapisan ini boleh dilakukan di tempat penyerpihan atau di kilang pulpa. Penapisan ini merupakan multi-tahap. Dalam penapisan, saiz yang dikehendaki dipisahkan dari serpih terlalu kecil atau terlalu besar. Saiz yang terlalu besar akan di serpih semula sementara serpih yang terlalu kecil akan dijadikan bahan bakar. Serpihan-serpihan ini dipisahkan mengikut panjang, tetapi sekarang ini serpihan dipisahkan mengikut ketebalan.

Penstoran

Penjagaan rapi adalah penting kerana serpih kayu mudah rosak samada tercemar atau diserang oleh mikrob. Serpih yang tercemar atau rosak akan menurunkan mutu pulpa dan meningkatkan kos pengeluaran. Kerosakan ini dapat dikurangkan dengan penjagaan yang betul. Serpih-serpih distorkan kurang dari dua minggu kerana selepas dua minggu ia akan berwarna, tetapi untuk pemulpaan kimia sulfit, storannya agak lama diperlukan untuk menghilangkan ekstraktif. Kerosakan serpih dapat dikurangkan dengan:

a)Pembinaan lantai konkrit atau asfalt sebelum membina longgokan serpihan
b)Serpih yang disimpan awal, hendaklah digunakan dahulu, supaya serpih yang telah tercemar tidak berjangkit kepada serpih baru dan berbentuk storan hendaklah dalam bentuk cincin .

www.forestry.gov.my

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...