Industri berasaskan kayu di Malaysia terdiri daripada
- Kayu bergergaji;
- Venir dan produk panel yang termasuk papan lapis dan produk panel berasaskan kayu diguna semula seperti papan partikel/papan serpai/papan gentian;
- Kayu kumai, produk tanggam dan pertukangan (BJC) seperti pintu/tingkap dan komponen-komponennya, panel dan papan lantai/parket; dan perabot dan komponen perabot.
Industri ini kebanyakannya dimiliki oleh
rakyat Malaysia dan dianggarkan 80 peratus daripada syarikat-syarikat
berasaskan kayu terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana,
manakala bagi industri perabot, 90 peratus adalah perusahaan kecil dan
sederhana.
Kebanyakan kilang papan, venir dan papan
lapis terletak di Sabah dan Sarawak. Kilang-kilang di Sabah dan Sarawak
menggunakan spesis kayu tropika bagi pengeluaran kayu bergergaji, venir
papan lapis dan produk-produk panel bersalut venir lain. Lebih 70
peratus daripada 174 kilang papan lapis terletak di Sabah dan Sarawak,
manakala bagi kayu kumai, daripada 352 kilang yang beroperasi, 157
terletak di Sabah dan 28 di Sarawak.
Kilang-kilang pemprosesan hiliran bagi
pengeluaran kayu kumai, papan gentian, BJC serta perabot dan komponen
perabot kebanyakannya terletak di Semenanjung Malaysia. Kilang-kilang
ini terutamanya menggunakan kayu getah (Oak Malaysia) yang disumber
daripada ladang-ladang yang mapan.
Pengilang-pengilang perabot Malaysia
mengeluarkan rangkaian meluas perabot dari perabot pejabat, dapur, bilik
tidur, bilik makan, bilik keraian, bilik tamu, perabot/sofa
diupholdsteri, serta perabot luar rumah dan taman. Perabot dibuat bukan sahaja daripada
kayu, tetapi juga semua jenis bahan seperti rotan, logam, fabrik,
plastik, kaca, marmar dan bahan-bahan komposit lain.
Pengilang-pengilang perabot terletak terutamanya di Johor, Selangor,
Sarawak, Perak dan Melaka.
Prestasi Sektor
Kayu bergergaji
Industri kayu bergergaji telah lama
tertubuh di negara ini dengan 1,132 kilang papan beroperasi, iaitu 664
di Semenanjung Malaysia, Sabah (178) dan Sarawak (290). Eksport kayu
bergergaji pada 2005 berjumlah RM3.47 bilion terutama ke Thailand,
Republik Rakyat China, Belanda, Jepun dan Taiwan.
Produk Panel & Papan Lapis
Dalam sub-sektor produk panel, papan
lapis kekal menjadi penyumbang signifikan (30.3peratus) kepada jumlah
pendapatan eksport produk perkayuan. Rangkaian papan lapis yang
dikeluarkan termasuk papan lapis permukaan venir biasa, papan lapis
bersalut seperti papan lapis bersalut kertas bercetak dan poliester,
papan lapis untuk kegunaan kerjabentuk konkrit dan papan lapis aplikasi
marin. Papan lapis Malaysia menepati standard antarabangsa seperti
Standard Pertanian Jepun (JAS), Standard British (BS) dan Standard
Persatuan Produk Kayu Keras (IHPA) untuk pasaran Amerika Syarikat dan
Standard Berharmoni Eropah (EN) untuk pasaran Eropah. Ketika ini,
Malaysia adalah pengeksport terbesar papan lapis kayu tropika di dunia.
Papan Partikel
Memandangkan keperluan untuk
memaksimumkan penggunaan sumber-sumber kayu, industri ini dipelbagaikan
kepada pengeluaran produk-produk panel berasaskan kayu diguna semula
yang bernilai tambah tinggi seperti papan partikel dan papan gentian
berketumpatan sederhana. Industri papan partikel telah berkembang dan
ketika ini terdapat 16 syarikat yang beroperasi. Industri ini, sejak
beberapa tahun lalu berjaya mengeksport produk-produknya terutama untuk
kegunaan dalam industri perabot. Pada 2006, eksport berjumlah RM256.7
juta dan destinasi utama adalah Republik Rakyat China, Republik Korea,
Indonesia, Vietnam dan India. Kini, Malaysia adalah pengeksport utama
bagi papan partikel dan papan partikel keluaran Malaysia menepati
standard anatarabangsa seperti BS, EN dan Standard Perindustrian Jepun
(JIS).
Papan Gentian Berketumpatan Sederhana (MDF)
Industri MDF ketika ini terdiri daripada
13 syarikat yang beroperasi, dengan sembilan (9) terletak di Semanjung
Malaysia, tiga (3) di Sarawak dan satu di Sabah. Eksport pada 2006
berjumlah RM1 bilion, mewakili 5 peratus daripada keseluruhan pendapatan
eksport perkayuan.
Ketika ini, Malaysia adalah pengeksport papan MDF
kedua terbesar di dunia terutama ke Jepun, Republik Rakyat China, UAE,
Vietnam dan Pakistan. Papan MDF Malaysia menepati standard antarabangsa
seperti BS, standard Asia-Pasifik: Jepun, Australia dan New Zealand
(JANS), dan standard EN. Sebilangan syarikat juga telah menerokai
pengeluaran papan MDF berlamina/bercetak.
Produk Panel Bervenir
Di samping papan MDF, industri ini terus
membangunkan produk venir tereka bentuk yang lain seperti kayu venir
berlamina, jalur berpalang venir berlamina (LVB) dan sandwic venir
berlamina (LVS) bagi memenuhi permintaan aplikasi struktur dan
perindustrian. Industri ini menggabungkan teknologi moden dengan
penggunaan sumber-sumber asli yang efisen untuk menghasilkan
produk-produk ini untuk pasaran eksport. Selain faktor mesra alam,
peningkatan struktur kualiti produk-produk ini bagi memenuhi keadaan
iklim yang berbeza, menyebabkannya semakin digunakan dalam industri
pembinaan.
Kayu Kumai dan BCJ
Produk-produk dalam kategori BCJ termasuk
kayu kumai seni bina (kayu panel, kayu kambi, kayu salut, rel kerusi),
pintu/tingkap dan aksesori, lantai kayu dan bingkai kayu. Eksport kayu
kumai dan BCJ kebanyakannya ke Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan
Belanda. Pada 2006 (Nov), eksport kayu kumai berjumlah RM710 juta
manakala eksport BCJ mencatat RM936 juta. Produk-produk utama di bawah
kategori ini adalah pintu kayu dan lantai kayu yang secara terkumpul
menyumbang dua pertiga kepada eksport BCJ.
Perabot Kayu
Perabot kayu merupakan sub-sektor kedua
terbesar dalam industri berasaskan kayu selepas papan lapis dengan
menyumbang 26.6 peratus kepada pendapatan eksport sektor perkayuan bagi
tempoh Januari hingga November 2006. Dalam tempoh tersebut, Malaysia
mengeksport RM5.6 bilion perabot kayu terutama ke Amerika Syarikat,
Jepun dan United Kingdom, Australia dan UAE (jumlah eksport perabot kayu
pada 2005 adalah sebanyak RM7.5 bilion).
Industri perabot kayu
Malaysia kebanyakannya berorientasikan eksport dengan lebih 90 peratus
pengeluaran dieksport. Malaysia berada di tangga kesembilan sebagai
pengeksport terbesar perabot kayu dan ketiga di Asia selepas Republik
Rakyat China dan Indonesia, dengan eksport ke lebih 160 negara. Nilai
eksport perabot kayu diunjurkan RM10 bilion menjelang 2010.
Antara perabot yang dieksport adalah
perabot dapur, set bilik tidur, kerusi rehat dan perabot pejabat yang
mana lebih 80 peratus diperbuat daripada kayu getah, iaitu sejenis kayu
keras sederhana berwarna muda yang dikenali ‘Oak Malaysia’. Eksport
perabot taman/luar rumah daripada kayu keras tropika kebanyakannya
adalah untuk pasaran Eropah. Spesis kayu tropika keras yang digunakan
sememangnya termasyhur kerana ketahanannya di bawah keadaan iklim yang
berbeza. Di samping pasaran tradisional ini, perabot kayu Malaysia telah
berjaya menembusi pasaran-pasaran di New Zealand, Amerika Selatan,
Timur Tengah, Afrika dan Russia. Malaysia adalah pembekal utama perabot
pejabat ke pasaran Timur Tengah.
Syarikat-syarikat perabot Malaysia yang
berjumlah lebih 2,400 kebanyakannya terletak di Semenanjung Malaysia.
Tumpuan tertinggi syarikat-syarikat ini adalah di Johor (Muar dan
Kluang), Selangor (Klang dan Sungai Buloh) dan Melaka (Bukit Rambai).
Dengan cabaran globalisasi dan
liberalisasi, pengilang-pengilang perabot kayu Malaysia telah memberi
penekanan lebih terhadap kemasan, mereka bentuk dan pengeluaran produk
berkualiti tinggi di samping memperkenalkan jenama tempatan, sebahagian
besarnya untuk pasaran eksport.
Sesetengah syarikat ini telah beranjak
daripada pembekalan perabot sedia dipasang kepada pengilangan perabot
rekabentuk sendiri. Dengan menyedari keperluan untuk beranjak daripada
mereka bentuk secara manual kepada penggunaan Reka Bentuk Dibantu
Komputer (CAD), AutoCAD adalah salah satu sistem perisian popular yang
kini digunakan oleh pengilang-pengilang perabot Malaysia. Bagi
menyediakan reka bentuk yang bukan sahaja berfungsi tetapi juga
estetik, syarikat-syarikat perabot Malaysia telah meneroka penggunaan
lebih meluas bahan-bahan lain seperti logam, kaca, plastik dan
bahan-bahan komposit lain, yang digabungkan dengan kayu getah atau
spesis-spesis kayu lain, untuk pasaran dunia yang semakin canggih.
Terdapat lebih 1.6 hektar ladang-ladang
kayu getah (Oak Malaysia) di negara ini, yang dianggarkan mengeluarkan 2
juta meter padu kayu setahun untuk kegunaan terutama dari Semenanjung
Malaysia. Pengeluaran kayu bergergaji dari kayu getah di Semenanjung
Malaysia meningkat daripada 49,929 meter padu pada 1995 kepada 251,790
meter padu pada 2005. Selain kayu getah, pengeluar-pengeluar perabot
Malaysia juga menggunakan kayu balak tempatan (Balau, Kembang Semangkuk
dan Nyatoh) dan diimport (Oak, Maple, Walnut, Mahogany, Rosewood dan
Jati) bagi menawarkan pilihan yang lebih meluas.
Peluang Pelaburan Dalam Industri Berasaskan Kayu
Dalam usaha membangunkan industri
berasaskan kayunya, Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan
produk-produk hiliran nilai tambah. Ia dilaksanakan melalui pembangunan
industri secara bersepadu, dengan menggabungkan kedua-dua aktiviti
pengilangan serta penyelidikan dan pembangunan, termasuk mereka bentuk
produk dan promosi pemasaran.
Langkah ini penting dalam pembangunan
industri berasaskan kayu memandangkan persaingan semakin sengit dari
negara-negara kos rendah dan kaya sumber, yang lambat laun akan
menyinkir Malaysia dari pasaran peringkat bawahan. Bagi meningkatkan
daya saing sektor perabot, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Promosi
Perabot Malaysia (MFPC) untuk memberi fokus khusus kepada promosi sektor
perabot.
Industri berasaskan kayu adalah salah
satu industri berasaskan sumber yang berpotensi untuk berkembang. Bagi
memaksimumkan penggunaan sumber kayu, industri ini telah beranjak kepada
pengeluaran produk kayu tereka bentuk. Produk-produk kini dikeluarkan
daripada pokok-pokok kayu yang bergaris pusat lebih kecil dan kualiti
lebih rendah. Ia mesra alam sekitar, mudah digunakan dan kuat.
Produk-produk ini telah mencipta satu standard prestasi yang baru dengan
meminimumkan penggunaan sumber dan kecacatan pembuatan sambil
meningkatkan ciri-ciri struktur.
Produk-produk kayu tereka bentuk
terbahagi kepada dua kategori, iaitu produk kayu aplikasi struktur dan
bukan struktur. Produk aplikasi struktur termasuk papan lapis aplikasi
struktur, papan helaian berorientasi (OSB), bahan komposit aplikasi
struktur, balak berlamina yang digam (glulam), kayu venir berlamina
(LVL), kayu helaian ( selari atau berorientasi). Produk kayu tereka
bentuk bukan aplikasi struktur adalah papan partikel dan papan
berketumpatan sederhana (MDF). Ketika ini pengilang-pengilang kayu
Malaysia mengeluarkan papan lapis aplikasi struktur, LVL, papan partikel
dan MDF. Usaha-usaha perlu diambil untuk meneroka pengeluaran OSB dan
glulam, yang kian popular di pasaran eksport.
Memandangkan bekalan kayu semakin
merosot, industri panel berasaskan kayu diguna semula telah
dipelbagaikan kepada pembuatan produk-produk komposit berasaskan kayu
diguna semula nilai tambah seperti komposit polimer diperkuat gentian
(FRPC). Antara sumber gentian yang boleh digunakan adalah gentian
kelapa sawit, kenaf, sekam padi, gentian kayu (habuk kayu) dan sisa-sisa
gentian pertanian lain.
Selain produk kayu tereka bentuk,
produk-produk yang digalakkan untuk pembangunan dan diberikan insentif
bagi sepanjang Koridor Barat Semenanjung Malaysia termasuk:-
- pengeluaran pintu kayu padat dan pintu-pintu berfungsi khusus lain, tingkap kayu padat dan parket berbilang lapis.
- Pembangunan produk-produk panel
berasaskan diguna semula, seperti profil MDF, kulit pintu, kabinet bagi
peralatan audio visual dan lain-lain.
- perabot dan bahagian perabot
Bagi Koridor Timur Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Sarawak, industri berasaskan kayu hiliran masih belum begitu
maju. Semua produk berasaskan kayu, kecuali kayu bergergaji, venir dan
papan lapis biasa, masih digalakan secara aktif dan layak untuk
pertimbangan insentif cukai.
Penanaman kayu balak, buluh dan rotan digalakkan sebagai “industri strategik”.
Terdapat potensi yang meluas bagi
pembangunan produk-produk menggunakan gentian bukan berasaskan kayu
seperti biojisim kelapa sawit dan gentian kenaf bagi menggantikan kayu.
-Copyright© Malaysian Investment Development Authority (MIDA)
apakah cara pemprosesan kayu di malaysia dari tahun 2000-2010? dimanakah saya boleh mendapatkan sumber untuk perkara tersebut?
ReplyDeleteMencarik pokok kayu getah? 10ekar di hulu langat. Call sy 0172533257 azmer
DeleteSalam, saya editor drpd Aras Mega (M) Sdn Bhd. Saya ingin mendapatkan keizinan drpd pihak tuan untuk menjadikan article ini sebagai satu rujukan dalam buku teks kementerian yang saya sedang buat sekarang. Kerjasama dari pihak tuan amat saya hargai. Terima kasih.
ReplyDeleteWaalaikumsalam.
ReplyDeleteSilakan . Saya hanya berkongsi maklumat tambahan sebagai rujukan para Pelajar .
Saya mempunyai 17ekar tanah layu getah tua di Sabah..kawasan kawang.. kilang berminat membeli sila hubungi saya.. 0135580837 Alex.. ruding sampai jadi..
ReplyDeleteSaya kilang papan ifwat di bukit rambai melaka, membeli kayu log getah dan tropika, menjual papan kayu getah dan tropika...019-6556527
ReplyDelete