Blog List

Thursday, 31 January 2013

POTENSI HUTAN

Sektor perhutanan merupakan komponen penting ekonomi Malaysia. Pada 2005, ia menyumbang hasil sebanyak RM21.5 bilion berbanding RM19.8 bilion pada 2004.

Memandangkan kira-kira 60 peratus muka bumi negara ini masih diliputi dengan hutan asli dan kira-kira 10.6 juta hektar daripadanya ditetapkan sebagai hutan pengeluaran.
Sektor perhutanan dijangka terus memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara.
Menurut Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat sekitar 8,000 spesies pokok berbunga.

Daripada jumlah tersebut, 2,650 spesies merupakan spesies pokok dengan 890 mencapai saiz yang boleh diusahasilan melebihi 45 sm dhb (garis pusat pada paras dada).
Daripada 890 spesies itu, hanya kirakira 50 kumpulan kayukayan yang dikenali ramai dan diniagakan secara individu, sementara yang lainnya cuma diniagakan sebagai kayu keras campuran atau "chapchar".


Kayu-kayan kurang dikenali

Pengusahasilan perhutanan masih dijalankan di hutan dara yang kaya dengan spesies dipterokap yang bersaiz besar.Bagaimanapun, adalah dijangkakan seawal 2010, sebahagian besar hutan pengeluaran di Semenanjung Malaysia akan habis dieksploitasi sepenuhnya.

"Pada hakikatnya, sebahagian besar negeri telah berpaling kepada hutanhutan yang tumbuh untuk pusingan kedua atau hutan penggiliran kedua (SRF) untuk dibalak semula. Negeri-negeri lain mungkin terpaksa melakukan perkara yang sama tidak lama lagi," kata Lim Seng Choon, Ketua Cawangan Prestasi Kayu, Program Pemprosesan dan Teknologi Kayu di bawah Bahagian Produk Perhutanan FRIM dalam wawancara dengan Bernama barubaru ini.

Hutan penggiliran kedua ini berkemungkinan mengandungi apa yang disebut sebagai Kayu Kayan Kurang Dikenali atau 'Lesser Known Timber' (LKT).
Menurut Lim, nama-nama seperti merangsi, mempening, kasah, medang, kellat, kedondong, mahang, kelempayan, mempisang, mempening dan surian mungkin tidak dikenali kebanyakan orang tetapi pada tahuntahun akan datang, permintaan untuk kayu-kayan oleh industri perkayuan negara akan meningkat.

"Industri perkayuan tempatan telah pun menggunakan KayuKayan Kurang Dikenali ini tetapi mereka tidak biasa dengan namanama tersebut jadi mereka panggil sahaja kayukayan itu sebagai chapchar," jelas Lim.

Menurut beliau, memandangkan perniagaan kayukayan didominasi kaum Cina, "chapchar" yang merupakan istilah Hokkien digunakan secara meluas dan telah diterima pakai oleh mereka yang terbabit dalam industri berkenaan.

Tidak peduli

FRIM telah mula menggalakkan penggunaan LKT kira-kira 20 tahun lalu tetapi seperti yang dinyatakan oleh Lim, tidak ramai yang mempedulikan saranan tersebut secara serius. Ini, katanya memandangkan ketika itu bekalan kayu-kayan masih banyak.
"Kami sudah sekian lama memberitahu orang tentang LKT ini tetapi malangnya tak ramai yang nak mendengar kerana masa itu kita mempunyai banyak meranti, merbau, balau, keruing dan lain-lain lagi.

"Mereka hanya mula mengambil serius tentang perkara ini mungkin sejak lima tahun yang lalu. Tahun lepas kita boleh melihat banyak perkembangan khususnya di kalangan industri kayu-kayan kerana mereka semakin risau," jelas Lim lagi.

Beliau memberitahu Bernama bekalan kayukayan tempatan semakin berkurangan dan ia boleh dilihat daripada arah aliran semasa di mana lebih banyak kayu-kayan tropika dibawa masuk dari Sabah dan Sarawak selain negara-negara jiran seperti Laos dan Cambodia.

"Kita juga ada syarikat-syarikat Malaysia yang menjalankan kerjakerja pembalakan di Papua New Guinea, Guyana dan Cameroon bagi mendapatkan bekalan kayu-kayan," tambahnya.

Banyak potensi
Sejak bertahun-tahun lamanya, FRIM telah meningkatkan usaha untuk mempelajari lebih lanjut mengenai potensi LKT serta mengumpul sebanyak data teknikal yang mungkin untuk membantu dan mendidik industri kayu-kayan tempatan.

"Usaha kami adalah untuk memaklumkan kepada orang bahawa ada kayu bernama mempening dan kita mempunyai data teknikal bagi menyokong kenyataan bahawa ciri-cirinya adalah setanding dengan sesetengah kayu yang terkenal seperti keruing," jelas Lim.Menurut beliau, mempening mempunyai persamaan dengan kayu oak Eropah dan mempunyai potensi yang bagus untuk tujuan hiasan termasuk pembuatan perabot serta lantai.LKT lain yang dikatakan Lim sebagai bagus untuk tujuan hiasan ialah merangsi, kasah dan surian.

"Kasah sebagai contoh adalah kayu berwarna cerah dan orang Jepun amat gemar dengan kayu seperti ini. Ada juga pengeksport Malaysia yang telah mengeksport kayu ini ke Jepun. Kita semakin kekurangan kayu yang dipanggil ramin (kayu berwarna putih) sehinggakan ia kini diklasifikasikan sebagai spesies yang terancam," katanya.
Satu lagi LKT yang menunjukkan potensi yang baik ialah surian yang popular di Australia di mana ia mempunyai persamaan dengan kayu cedar negara tersebut.

Kayu-kayan berwarna cerah yang lain seperti ara dan cempaka mungkin boleh digunakan untuk pengeluaran venir bagi pengeluaran serta kegunaan papan lapis yang tidak memerlukan kekuatan yang banyak.

Cabaran besar

Di sebalik potensi LKT yang banyak, satu cabaran besar bagi penggunaan kayu-kayan ini ialah hakikat spesies ini tumbuh bertaburan di dalam hutan dan jumlah satu-satu spesies di satu-satu tempat pula kecil.Bekalan kayu-kayan ini yang terhad mungkin juga menyebabkan pihak industri yang terbabit masih khuatir untuk mengeksploit sepenuhnya potensi LKT ini.

"Untuk mengutip spesies kayu-kayan ini, seseorang itu perlu menghabiskan banyak masa," kata pegawai penyelidik kanan FRIM, Samsudin Musa.
Mengenai kemungkinan menanam LKT secara besar-besaran, beliau berpendapat bahawa ia merupakan seperti soalan "ayam dan telur".

"Pihak industri akan menanam apa sahaja yang tinggi permintaannya dan apa jua kayu-kayan yang boleh tumbuh dengan baik. Namun saya pasti jika terdapat permintaan tinggi untuk satu-satu spesies seperti sentang, semua akan mula menanam sentang. Tengok sahaja gaharu sebagai contoh," tambahnya.

Tiada pilihan

Kayu-kayan LKT, menurut Samsudin semakin menjadi dominan dan FRIM merancang untuk menjalankan kajian lebih terperinci, antaranya untuk melihat sama ada arah aliran tersebut boleh dikaitkan dengan semua hutan yang sudah dibalak.Beliau menjelaskan terdapat pelbagai sebab mengapa sesebuah hutan itu didominasi oleh LKT.

Salah satu puncanya ialah bagaimana pembalakan dijalankan di hutan tersebut serta jumlah kayu balak yang dikeluarkan. Satu perkara lagi yang dipersoalkan ialah sama ada keseluruhan kawasan hutan ditebang terdapat baki pokok komersil yang secukupnya ditinggalkan.

"Jadi apa yang ditebang sebelumnya menghasilkan keadaan dan kandungan hutan yang ada pada hari ini. Sesetengah kawasan hutan berada dalam keadaan yang baik kerana mereka mematuhi peraturan penebangan pokok yang betul, sesetengahnya tidak.
"Pihak industri tidak mempunyai pilihan selain daripada menyesuaikan operasi mereka mengikut perubahan ini sementara menunggu pokok yang mempunyai nilai komersil tumbuh semula," kata Samsudin.

Menurut beliau, di kawasan pembalakan di mana pembukaan silara yang keterlaluan dihasil, spesies LKT seperti mahang akan tumbuh secara berleluasa.
Spesies tersebut adalah seumpama pokok musuh yang jika keadaan yang dihasilkan selepas pembalakan adalah bersesuaian ia akan tumbuh dengan pantas dan menguasai keseluruhan hutan serta menghalang spesies komersil daripada tumbuh.

Langkah seterusnya

Memandangkan industri kayu-kayan negara kini maklum dengan kewujudan LKT ini di mana setengahnya mempunyai potensi, isu-isu yang mungkin perlu ditangani segera ialah usaha untuk menggalakkan penggunaannya di samping mencari kegunaan yang lebih baik untuk kayu-kayu tersebut.

FRIM di satu pihak yang lain juga ingin tahu langkah seterusnya yang perlu diambil selepas bertahun-tahun menjalankan penyelidikan ke atas LKT."Kami ingin tahu sama ada pihak berkuasa mahu menguruskan hutan-hutan ini dengan keadaannya sekarang atau mereka mahu hutanhutan tersebut kembali kepada keadaan asalnya sebelum ini. Jika itu yang menjadi pilihan, kita mungkin perlu menjalankan rawatan silvikultur yang lebih intensif.
"Rawatan ini bermaksud menjalankan manipulasi terhadap dirian hutan tinggal untuk mencapai objektif tertentu umpamanya campuran spesies yang dikehendaki. 

Adalah wajar kita menjamin supaya untuk pemotongan masa depan kita akan mempunyai lebih banyak kandungan spesies yang bernilai khasnya dari kumpulan dipterokap," jelas Samsudin.


Jawapan kepada persoalan-persoalan ini mungkin terjawab melalui seminar pengurusan hutan penggiliran kedua yang menurut Samsudin akan dianjurkan oleh FRIM kemungkinannya pada Disember tahun ini.  


No comments:

Post a Comment

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...