Author
Mohd. Effendi @ Ewan Mohd. Matore*, Ahmad Zamri Khairani
Universiti Sains Malaysia
*Corresponding author : effendi_ewa@yahoo.com
Abstrak
Kajian ini bertujuan mengenalpasti cabaran pelajar di tujuh buah politeknik seluruh Malaysia. Seramai 252 orang pelajar politeknik
dipilih melalui sebagai sampel untuk kajian ini. Instrumen yang digunakan adalah Senarai Semak Masalah Mooney (SSMM) oleh
yang mengandungi 327 item. SSMP mengandungi 11 dimensi permasalahan seperti kesihatan, kewangan, rekreasi, persahabatan,
sosial, peribadi, keagamaan, keluarga, kerjaya, pengajian dan pembelajaran. Data dianalisis berdasarkan kerangka Model Rasch
menggunakan perisian WINSTEPS 3.69. Dapatan menunjukkan bahawa cabaran yang paling besar yang dihadapi oleh pelajar
politeknik ialah dalam Dimensi pengajian (min = 0.25 logits). Dimensi pengajian meliputi pengukuran bagi aspek-aspek
penyesuaian kendiri di institusi. Dimensi Peribadi yang mengukur hubungan peribadi dan personaliti merupakan komponen
cabaran yang kedua penting (min = 0.24 logits). Sebaliknya, Dimensi Persahabatan yang mengukur aspek-aspek persahabatan,
seks dan perkahwinan merupakan cabaran yang paling kurang signifikan (min = -0.22 logits). Daripada segi item individu, Item
326 (takut gagal dalam ujian) daripada Dimensi Pembelajaran merupakan cabaran utama dalam kalangan pelajar politeknik (ukuran
= 0.94 logits) diikuti Item 292 (Dimensi Pengajian, ukuran = 0.88 logits). Implikasi kajian dan cadangan lanjut turut dibincangkan.
Kata Kunci: Pendidikan teknikal dan vokasional, pelajar politeknik, Model Rasch, Senarai Semak Masalah Mooney, cabaran
PENDAHULUAN
Hala Tuju Transformasi Politeknik telah dilaksanakan pada tahun 2009 bertujuan memperkasakan politeknik
di seluruh negara. Hala tuju ini mempunyai empat objektif utama iaitu (i) melonjakkan politeknik sebagai institusi
peneraju dalam bidang pendidikan dan latihan teknik dan vokasional; (ii) mengukuhkan kerelevanan dan responsif
program pengajian di politeknik terhadap pembangunan ekonomi negara; (iii) menerajui bidang tujahan dan
teknologi tertentu; (iv) membina reputasi antarabangsa; dan (v) mempelbagai dan meluaskan penawaran program
(Jabatan Pengajian Politeknik, 2009). Di antara tujuan transformasi ini dilancarkan adalah untuk menghasilkan
graduan kemahiran kebolehdayaan diambil bekerja serta berdaya keusahawanan yang tinggi. Impak perlaksanaan
transformasi tersebut adalah setiap politeknik berazam untuk menjana modal insan melalui pendidikan dan latihan
dalam persekitaran pembelajaran inovatif dan kreatif serta sentiasa merangsang pelajarnya untuk terus meningkatkan
keterampilan dan hubung kaitnya dengan keperluan kemahiran terkini dalam sektor pekerjaan. Sebagai salah sebuah
negara perdagangan utama di dunia, kerajaan memerlukan sistem pendidikan yang mampu membina kekuatan
modal insan dalam pelbagai bidang dan memperbaiki tahap daya saing dan pembangunan negara (Nik Mustapha
Abdullah, 2007). Keperluan ini meningkat lebih-lebih lagi apabila masyarakat kini sedang melalui perubahan pesat
dalam persaingan menguasai cabaran globalisasi dan k-ekonomi (Abd Jalil Borham, 2008).
Salah satu agenda pendidikan utama negara adalah Transformasi Politeknik yang dilancarkan pada 25 Februari
2010 dan dirangka sepanjang tahun 2009 sehingga 2020 bertujuan menyumbang kepada peningkatan bilangan
tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada 37 peratus menjelang 2015. Perancangan menubuhkan Universiti
Politeknik menjelang 2015 adalah selari dengan tujuan melestari pembangunan modal insan keluaran politeknik dan
menghasilkan keupayaan baharu kepada politeknik bagi membangunkan sumber manusia negara melangkaui tahun
2020 (Jabatan Pengajian Politeknik, 2009). Transformasi ini diperkenalkan seiring dengan suasana pendidikan masa
kini yang semakin mencabar dan memerlukan tindakan luar daripada kebiasaan (Norfadila Mohd Noor, Mohd Noor
Hashim dan Azmi Yusoff, 2011).
Jabatan Pengajian Politeknik secara eksplisit menegaskan bahawa kejayaan transformasi yang utama adalah
apabila graduan politeknik menjadi rebutan majikan (Jabatan Pengajian Politeknik, 2009). Namun begitu,
bersesuaian dengan era globalisasi dan k – ekonomi kini, majikan mempunyai sikap selektif dalam memilih individu
yang akan bekerja di organisasi mereka (Noor Idahwati Mohd Noor dan Nooraini Othman, 2011). Mereka telah
meningkatkan taruhan (stake) terhadap pekerja – pekerja yang ingin diambil. Sebagai contoh, majikan di Malaysia
kini berhasrat melahirkan pekerja berpengetahuan (k-workers) dan bukan lagi berintensifkan buruh murah. Justeru,
sudah sampai masanya untuk politeknik dan juga institusi – institusi latihan yang lain mempersiapkan pelajar
dengan kemahiran khas dalam menghadapi cabaran, bukannya ilmu pekerjaan semata - mata. Tambahan lagi,
cabaran getir masa kini menuntut pendidikan teknik vokasional melatih tenaga manusia yang lebih berketerampilan,berinovasi, berdaya tahan, berdaya juang dan boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi industri dan
pekerjaan (Zuhaila Salleh, Mohd Safarin Nordin dan Muhammad Syukri Saud, 2012).
Seperti institusi pengajian tinggi yang menyediakan graduan untuk profesion yang dipilih seperti di universiti,
politeknik juga perlu menyediakan budaya untuk pelajarnya membina, melatih dan juga memperkemaskan diri
masing-masing dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk berjaya dalam profesion yang dipilih. Ia sejajar
dengan cabaran besar kepada sistem pendidikan negara terutamanya pendidikan teknik dan vokasional (PTV) dalam
membekalkan tenaga kerja berkebolehan dan berkemahiran khususnya tenaga kerja profesional, mahir dan separa
mahir dalam usahanya menyahut seruan kerajaan menjelang 2020 (Nurul Nadya Abu Bakar, Rohana Hamzah dan
Amirmudin Udin, 2011) sebagai negara berpendapatan tinggi.
Kesediaan pelajar politeknik ini penting bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan profesion
yang dipilih dalam masa yang singkat dan terus dapat menyumbang kepada majikan masing – masing. Para pelajar
yang tidak bersedia biasanya akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dan ia boleh merencatkan
produktiviti serta menjadi bebanan kepada organisasinya. Oleh itu, mereka mesti berusaha membina, melatih dan
memperkemaskan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan supaya mampu menghadapi
pelbagai cabaran. Kehendak ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat
membangunkan modal insan dalam menyediakan tenaga kerja berketrampilan dan berupaya menghadapi cabaran
masa depan (Yahya Buntat, Muhammad Sukri Saud dan Hairul Anuar Hussain, 2008). Cabaran-cabaran ini boleh
jadi dalam bentuk instrinsik dan peribadi ataupun dalam bentuk ekstrinsik seperti kewangan, pengajian ataupun
persahabatan (Stoltz dan Weihenmayer, 2006). Cabaran – cabaran ini jika tidak mampu dikendalikan dengan baik,
akan mempengaruhi sistem kepercayaan (belief system) seseorang pelajar tersebut dan seterusnya merencatkan
perkembangan profesional mereka.
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti cabaran – cabaran yang dihadapi oleh pelajar
politeknik. Secara lebih spesifik, kajian ini dijalankan untuk menentukur (calibrate) cabaran – cabaran ini mengikut
kesukaran masing – masing. Untuk tujuan itu, Model Rasch digunakan sebagai kerangka pengukuran
memandangkan kelebihan model tersebut untuk menentukur item – item dalam satu – satu konstruk. Dalam kajian
ini, instrumen yang digunakan ialah Senarai Semak Masalah Mooney (SSMM) kerana ia dilihat lebih komprehensif
dalam memerihalkan cabaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar politeknik. Ia diterjemahkan daripada instrumen
Mooney Problem Check List (MPCL) (Mooney dan Gordon, 1950). Instrumen ini telah diadaptasi daripada kajian
lepas dan sesuai digunakan dalam konteks tempatan (Susila Pechimuthu, 2005). Banyak kajian lepas di Malaysia
yang telah menggunakan SSMM untuk mengenalpasti masalah terhadap responden mereka (Susila Pechimuthu,
2005; Azizi Yahaya, et al., 2010; Hassan Hushin dan Nurfarahiyah Mahmud, 2010; Law Seet Chan, 2006; Syed
Mohamed Shafeq Syed Mansor dan Hairiza Othman, 2011).
SOROTAN KAJIAN
Kajian lepas di politeknik menunjukkan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelajar. Ini termasuklah cabaran
berkaitan rakan sebaya, bebanan tugas yang terlalu banyak, kesuntukan masa untuk menyiapkan tugasan, tidak
mempunyai tempat belajar yang selesa, suasana bising semasa kuliah, keadaan bilik kuliah yang agak sempit dan
kurang selesa, diberikan tugas-tugas lain serta penggunaan Bahasa Inggeris dalam proses pembelajaran (Abd.
Rahman Yaacob et al., 2011).
Selain itu, kajian turut dijalankan berkaitan pelaksanaan pendekatan Outcome Based Education (OBE) di
politeknik (Amiza Yaman, Noremy Che Azemi dan Fadzlida Shamsudin, 2010), kualiti tahap pengajaran &
pembelajaran (Azahar Fauzi, Mohd Zain Abdul Rahim dan Mohd Azriman Mat Ali, 2009), tahap kebimbangan
terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran (GK Mariappen et al., 2012), kos
sara hidup, masalah pengangkutan, hubungan kejiranan, pergaulan bebas, menghisap rokok, pengurusan masa yang
tidak baik (Jamaluddin Lantara, Ungku Ahya Ungku Mohamad dan Mustafa Kamal Surif, 2009).
Masalah lain merangkumi isu kemudahan yang disediakan di politeknik termasuklah tahap kepuasan pelajar di
bilik kuliah, dewan kuliah, makmal, bengkel, perpustakaan, perkhidmatan di hal ehwal pelajar, perkhidmatan di
pejabat pentadbiran, kokurikulum, kantin dan cafeteria (Noremy Che Azemi dan Fadilah Mat Assain, 2010), faktor
pengurusan masa, kewangan dan persekitaran pembelajaran (Siti Nuur Haziratul Ghazali, 2012), kekurangan
pendedahan kepada teknologi – teknologi baru, keupayaan meneroka pengetahuan baru, kekurangan peralatan dan
kelengkapan untuk kerja – kerja amali (Yahya Buntat, Muhammad Sukri Saud dan Hairul Anuar Hussain, 2008),
dan kemudahan perkhidmatan bas sangat terhad, tidak sistematik, tidak selesa serta jadual masa perkhidmatan awam
yang tidak menentu (Zainap Lamat, Normah Jainuddi, dan Canarisa Nipi Ah Lian, 2012). Kajian lepas yang menggunakan instrumen SSMM dalam konteks sampel berbeza pula lebih menfokuskan
kepada masalah utama seperti kerjaya, akademik dan kewangan (Azizi Yahaya, Noordin Yahaya dan Sabihah
Sapuan, 2010), akademik, kerjaya masa depan dan kewangan (Hassan Hushin dan Nurfarahiyah Mahmud, 2010),
akademik dan kerjaya, psikologi dan penyesuaian kerja (Chin Mei Keong, 2007), masalah keluarga, kesihatan,akademik dan kerja (Law Seet Chan, 2006) penyesuaian dan kerjaya masa depan, moral dan agama serta sosial dan
rekreasi (Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor and Hairiza Othman, 2011), kegiatan sosial dan rekreasi (Anasrudin
Ali, 2011), faktor suasana sekolah (Azizi Yahaya et al., 2010), kurikulum dan pembelajaran, aktiviti sosial dan
rekreasi, hubungan peribadi dan personality (Susila Pechimuthu, 2005), pelajaran dan kerjaya masa depan, sosial
dan rekreasi serta masalah moral dan agama (Welfred Bakait, 2009), pelajaran dan kerjaya masa depan, penyesuaian
terhadap tugasan akademik, kurikulum dan kaedah pengajaran (Tan Hong Goon, 2004), penyesuaian kerja, moral
dan agama, dan peribadi psikologikal (Asriah Sarbini, 1999) serta psikologikal, akademik dan kerjaya (Nur
Azilawaty Roosli, 2009).
Turut membelenggu pelajar adalah penyesuaian dan kerjaya masa depan, moral dan agama serta kegiatan
sosial dan rekreasi (Sanita Bulhani, 2009), faktor suasana sekolah, latar belakang keluarga yang kurang memberikan
perhatian kepada pelajar, sikap pelajar, psikologi dan rakan sebaya (Faizah Idris, 2008), masalah kewangan, keadaan
kehidupan dan pekerjaan, penyesuaian terhadap kerja-kerja tugasan akademik, pelajaran dan kerjaya masa depan
serta perhubungan peribadi dan psikologi (emosi) (Hassan Hushin dan Vaskalista Dua Nurak Pelipos, 2008).
Sebagai kesimpulan, kajian lepas menunjukkan skop cabaran itu adalah besar dan pelbagai. Maka, dalam
usaha untuk mengenalpasti cabaran pelajar politeknik, istilah cabaran permasalahan dalam konteks kajian ini
merujuk kepada masalah yang dihadapi pelajar politeknik berdasarkan 11 dimensi dan 327 item berkaitan dalam
SSMM dengan permasalahan hidup remaja seperti (i) kesihatan; (ii) kewangan, (iii) rekreasi; (iv) persahabatan; (v)
sosial; (vi) peribadi; (vii) keagamaan; (viii) keluarga; (ix) kerjaya; (x) pengajian dan (xi) pembelajaran.
METODOLOGI KAJIAN
Sampel Kajian
Kajian ini melibatkan 252 orang pelajar di tujuh buah politeknik di seluruh Malaysia untuk memastikan skop
cabaran pelajar lebih menyeluruh. Kajian keperluan ini dijalankan di Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang,
Politeknik Kota Bharu (PKB), Kelantan, Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Sabah, Politeknik Nilai (PNS), Negeri
Sembilan, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor, Politeknik Premier Ibrahim Sultan (PIS), Johor dan
Politeknik Metro Kuala Lumpur, (PMKL), Kuala Lumpur. Justifikasi pemilihan politeknik tersebut adalah
berdasarkan zon iaitu PSP mewakili zon utara, PKB mewakili zon timur, PKK mewakili zon borneo, PNS mewakili
zon selatan dan PSIS mewakili zon barat. Kajian dikukuhkan lagi dengan pemilihan PIS yang dipilih mewakili
politeknik premier dan zon selatan. PMKL pula mewakili politeknik metro dan zon barat.
Teknik persampelan yang digunakan adalah persampelan mudah (convenience sampling).
Teknik ini telah
digunakan secara meluas (Saunders, Lewis dan Thornhill, 2009) terutama dalam kajian pendidikan (Gay, Mills dan
Airasian, 2006) dan sains tingkahlaku (Singh, 2006). Teknik persampelan ini dipilih kerana ia bersesuaian bagi
kajian penerokaan, deskriptif dan bertujuan memberi gambaran kasar tentang fenomena yang wujud dalam sesuatu
populasi kajian dan memandu penyelidik melalui kajian yang lebih mendalam (Creswell, 2012). Malah, kesesuaian
itu dikukuhkan lagi apabila kajian ini bukan berfokuskan untuk mengumpul data pada populasi umum tetapi
menggunakannya untuk menerangkan sesuatu proses sosial (Gorard, 2004). Selain itu, ia merupakan persampelan
paling mudah, menjimatkan masa, tenaga dan kos (Singh, 2006). Maklumat sampel kajian diringkaskan mengikut
kategori (Jadual 1).
Instrumen Kajian
Kajian ini menggunakan Senarai Semak Masalah Mooney (SSMM) untuk mengumpul maklumat berkaitan
respon pelajar politeknik. SSMM merupakan instrumen senarai semak masalah pelajar yang paling banyak
digunakan38 dan popular di Malaysia kerana cirinya yang sangat mudah ditadbirkan dan tidak memerlukan
pengetahuan yang mendalam untuk menggunakannya. SSMM juga boleh digunakan dalam kajian keperluan
mengenalpasti masalah yang dihadapi pelajar (Gorard, 2004). Oleh kerana kajian ini adalah merupakan kajian
keperluan, maka SSMM adalah instrumen paling sesuai bagi mengenalpasti masalah pelajar politeknik.
Namun begitu, sebanyak 3 item daripada dimensi persahabatan telah dikeluarkan daripada instrumen asal
kerana tidak dianggap sesuai dengan konteks budaya di Malaysia (Susila Pechimuthu, 2005). Kajian ini turut
mengubah skala pengukuran kekerapan tahap masalah 1 dan 2 daripada instrumen asal kepada penggunaan skala
Likert 3 poin iaitu Tidak Mengganggu (0), Mengganggu (1) dan Sangat Mengganggu (2) sepertimana dijalankan
dengan kebolehpercayaan .99 dalam kajian lepas (Susila Pechimuthu, 2005). Penskalaan ini lebih relevan
berbanding kaedah penskoran konvensional bagi penggunaan Model Rasch dalam kajian ini. Penukaran kepada
skala Likert tidak menjadi masalah kerana SSMM bukan bertujuan menghasilkan skor untuk dibuat inferens, tetapi
bertujuan mengesan jenis masalah yang utama (Mooney dan Gordon, 1950). Penggunaan skala memudahkan
pengkaji mengenalpasti hingga ke paras item dengan lebih mudah selain menganalisis data bertujuan memenuhi
andaian Model Rasch.
For further details log on website :
https://educ.utm.my/wp-content/uploads/2013/11/46.pdf