Ada yang mengatakan gua itu wujud berikutan pergaduhan antara Raja Muda Mambang dan putera Raja Rembau bernama Rusul kerana berebutkan puteri Datuk Indera Raja Laut. Raja Muda Mambang mencabar Rusul untuk bertarung dengannya. Rusul menyahut cabaran itu lalu menyuruh Raja Muda Mambang menikamnya, tetapi tidak berjaya.
Apabila tiba giliran Rusul, dia melepaskan keris terbangnya, lalu keris berkenaan menikam dada Raja Muda Mambang yang serta-merta membunuhnya. Darahnya dikatakan sentiasa mengalir sehingga ke hari ini melalui aliran cecair yang kelihatan di dinding Gua Kota Gelanggi berhampiran struktur batu yang menyerupai manusia terbaring.
Kebetulan pula pada masa itu, Sang Kelembai sampai di Kota Gelanggi lalu menegur pergaduhan itu. Teguran itu menyebabkan semua benda dan makhluk di situ menjadi batu. Maka terjadinya gua-gua batu dengan pelbagai bentuk struktur yang menyerupai kota, bilik, manusia, binatang, peralatan perang, peralatan kenduri serta peralatan dan perhiasan perkahwinan.
Terdapat pula versi yang menyatakan pada masa dahulu, mukim Pulau Tawar di daerah Jerantut adalah sebuah pulau yang besar. Rajanya, Raja Gelanggi mempunyai seorang puteri yang cantik dan ditunangkan dengan seorang anak raja di Rembau bernama Raja Usul.
Puteri
Kecantikan dan kebaikan puteri itu turut diketahui oleh Raja Mambang di kayangan. Raja Mambang ingin memperisterikan puteri Raja Gelanggi, lalu meminangnya. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu.
Apabila tiba hari perkahwinan, Raja Usul sampai di Kota Gelanggi dengan tujuan untuk menghantar hadiah kepada tunangnya. Kapalnya ditinggalkan di suatu tempat yang sekarang ini digelar Lanchang, dekat Kampung Masjid, Pulau Tawar. Dia naik ke darat dengan perahu lalu ke kota.
Alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan lantas berlaku peperangan antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang.
Ketika inilah, Sang Kelembai muncul dan menegur tentang perangai mereka yang sanggup berperang kerana seorang perempuan. Akhirnya semua yang ada di situ menjadi batu, kapal menjadi tanah, laut menjadi padang dan sungai menjadi lembah.
Mengikut versi seorang penyelidik bernama Cameron pula, seorang raja bernama Raja Gelanggi mempunyai seorang anak perempuan cantik dan menjadi idaman putera Raja Mambang di Lipis. Putera itu meminta ayahandanya menyunting puteri itu tetapi puteri berkenaan menolaknya.
Pada ketika yang lain, seorang putera raja kepada Raja Usul dari Bera telah keluar berburu bersama orang-orangnya berdekatan dengan Gelanggi. Putera itu telah terpandang kepada puteri Raja Gelanggi lalu menculiknya dan membawa puteri itu pulang ke Bera. Puteri Gelanggi tidak membantah kerana bencikan tunangnya, lalu bersetuju mengahwini putera Raja Usul.
Gua Sanding diantara gua yang terdapat di Gua Kota Gelanggi Jerantut
Culik
Hal penculikan itu diketahui oleh Raja Mambang. Walaupun pada mulanya Raja Gelanggi terlibat dalam peperangan dengan Raja Usul bagi mendapatkan kembali puterinya, baginda kemudian menyerahkan hal itu kepada Raja Mambang kerana puterinya hidup bahagia.
Raja Mambang turun ke Bera dan berperang dengan Raja Usul tetapi malangnya baginda sendiri yang terbunuh. Menurut Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Aripin Said, berdasarkan kajian yang dilakukan, berlaku pergaduhan antara Raja Kota Gelanggi iaitu Raja Mambang dan Raja Tasik Bera yang mahu menakluk antara satu sama lain tetapi keadaan menjadi reda apabila Raja Mambang berkahwin dengan Puteri Tasik Bera.
“Semasa persandingan, Sang Kelembai telah datang dan menegur menyebabkan kesemuanya bertukar menjadi batu. “Oleh sebab itu, ada batu yang seakan-akan menyerupai orang sedang bersanding, gajah dan singa terdapat dalam gua misteri ini.
“Dikhabarkan juga terdapat sebuah kota yang tidak ditemui tetapi hanya mereka yang bernasib baik akan terjumpa kota yang dipercayai tempat raja bersemayam.
“Keadaan di dalam tujuh kota ini juga gelap dan tidak semua pelancong yang datang akan menjelajah kesemua kota disebabkan faktor keselamatan,” jelasnya. Tambahnya, kisah misteri gua tersebut juga ada diceritakan di dalam buku Cerita-Cerita Rakyat Pahang. Seorang profesor dari Jerman juga pernah merakamkan cerita di sebalik gua ini kira-kira dua tahun lalu.
“Mengikut kajian arkeologi juga mendapati sebuah negeri pernah wujud di gua ini berdasarkan kepada beberapa penemuan. “Namun, mitos kononnya gua ini boleh dihubungkan terus ke negeri Kelantan juga tidak dapat dibuktikan lagi buat masa ini,” ujarnya. – Sumber Kosmo
AAP - Daripada cerita lisan dan daripada mulut ke mulut ada yang mendakwa... kata mereka jika anda bernasib baik dan berhati mulia mungkin anda akan diketemukan dengan perkara yang pelik-pelik dan ajaib disana, jika tidak mungkin anda langsung tidak akan menemui apa-apa sekadar muka hadapan atau pintu gua sahaja. Di antara mitos yang popular kata mereka disini wujudnya seorang Puteri yang jelita dan rupawan, serta seribu satu kisah serta mitos yang lainya.
Wassalam, Wa'allahhualam.
For further information log on website :
http://akuanakpahang.blogspot.my/2012/09/misteri-gua-gelanggi-jerantut.html
No comments:
Post a Comment