Blog List

Saturday, 14 January 2017

Kayu alternatif hasilkan gitar terbaik di dunia



BAU segar udara selepas hujan berpadu dengan panorama hijau menyapa damai tatkala menjejak kaki ke Kampung Sungai Tekali, Selangor pada pagi itu.
Siapa sangka, desa yang terletak antara Pekan Batu 14 Hulu Langat dan Empangan Semenyih, Selangor itu menjadi lokasi bengkel membuat gitar milik Jeffrey Yong.
Apatah lagi, kedudukan bengkel itu terletak di puncak bukit yang dikelilingi dusun buah-buahan. Sedikit terasing tetapi cukup strategik untuk mencari inspirasi.
Nama Yong, 58, tidak asing lagi dalam arena pembuatan gitar akustik. Malah, dia satu-satunya luthier atau pembuat instrumen bertali yang diiktiraf dunia sebagai membuat gitar bukan daripada kayu tradisional.
“Gitar berasal dari Sepanyol dan material tradisinya ialah pokok pain, rosewood, sprus, cedar dan mahogani. Kayu sedemikian banyak terdapat di Amerika Selatan, Brazil dan Australia.
“Sebelum tahun 1996, saya juga guna kayu jenis itu. Sehingga suatu hari, ketika saya ingin membeli kayu di Amerika Syarikat, penjualnya bertanya kehairanan.
“Katanya, mengapa saya cari kayu sampai ke sana sedangkan di negara sendiri juga ada banyak kayu. Sejak itu, saya sedar dan mula buat penyelidikan. Selalu juga saya keluar masuk hutan cari kayu yang sesuai,” ceritanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Pengasas Institut Gitar Malaysia (GIM) itu telah menghasilkan lebih 200 instrumen muzik bertali termasuk ukelele, kecapi dan sape sejak menyiapkan gitar pertama pada tahun 1985.
Jelasnya, berbekalkan rasa ingin tahu yang mendalam, dia berjaya menghasilkan gitar daripada kayu mangga, nyatuh, cengal, rambutan dan hujan-hujan.
“Dalam hal ini, saya mempertimbangkan persamaan karakter antara kayu asal dan kayu alternatif yang dipilih sebagai material pembuatan gitar.
“Rupa paras kayu sangat penting. Serat atau ira kayu perlu cantik. Kalau kosong sahaja tentu kurang menarik. Ia juga perlu senang dipotong dan sumbernya mestilah mudah diperoleh di tempat kita.
“Kadangkala saya guna beberapa jenis kayu untuk bahagian gitar yang berbeza seperti di bahagian badan, leher dan fret iaitu bilah penentu ruang nada dan tombol penalaan tali. Ia bergantung kepada fungsi dan apa yang kita harapkan daripada instrumen yang dihasilkan,” jelasnya.
Bunyi terbaik
Pemilihan kayu untuk menghasilkan gitar dibuatnya berdasarkan gerak hati. Penghasilan bunyi sesebuah gitar hanya dapat ditentukan selepas ia siap.

ALAT alat muzik sundatang dari Sabah ini dihasilkan oleh Yong.


“Ia macam eksperimen juga. Saya sukar hendak bagi tahu kayu yang mana menghasilkan bunyi terbaik,” jelasnya.
Hanya membuat gitar berdasarkan tempahan atau koleksi peribadi, Yong berkata, dia mengambil masa antara dua minggu hingga tiga bulan untuk menyiapkan sebuah gitar.
“Untuk mengatakan saya boleh menyiapkan jumlah gitar tertentu dalam masa sebulan, saya tidak berani. Kena tunggu ilham juga. Pernah juga gitar saya tidak siap-siap walaupun selepas dua tahun,” ujarnya sambil ketawa kecil.
Harga bagi seunit gitar bermula dari RM26,000 hingga RM110,000.
Selama tiga dekad berkecimpung dalam bidang itu, Yong pernah menerima pelbagai anugerah pada kejohanan bunyi gitar yang dianjurkan di luar negara.
Dalam satu pertandingan di Amerika Syarikat pada tahun 2006, gitarnya pernah menduduki senarai teratas dan mengalahkan 200 gitar lain, sekali gus dinobatkan sebagai gitar terbaik di dunia.
Pada tahun 2012, dia mengulangi kejayaan itu sewaktu menyertai pertandingan membuat gitar klasik di Kirov, Rusia.
“Ketika itu, lapan gitar dipilih menjadi finalis dan dimainkan satu persatu ketika juri tidak melihat gitar atau pemain yang memainkannya.
“Daripada lapan gitar itu, ia disenarai pendek kepada tiga. Dua daripadanya adalah gitar saya. Pada peringkat akhir, bunyi gitar paling epik dan merdu datang daripada kedua-dua gitar saya.
“Pada pertandingan itu, artis memainkan pelbagai lagu dalam nada tinggi dan bass rendah. Pendek kata, mereka menguji kualiti bunyi bukan lagu,” tuturnya.
Yong juga pernah mendapat Anugerah Kepimpinan Brand Laureate Grand Master Brand Icon daripada Yayasan Brands Asia Pasifik pada tahun 2014.
Bapa kepada dua cahaya mata itu merupakan penerima Ijazah Kehormat Sarjana Seni Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Ke-12 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengenang memori silam, Yong berkata, kecintaan terhadap gitar berputik sejak dia berusia 15 tahun.
Usai menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, anak kelahiran Raub, Pahang itu banyak meluangkan masa mempelajari selok-belok bermain gitar.
Guru gitar
“Waktu itu, sekolah saya ada menganjurkan pertandingan bakat. Saya mendapat tempat pertama,” ujarnya.
Sesudah tamat Tingkatan Lima pada tahun 1973, bapa kepada dua cahaya mata itu menjadi tenaga pengajar sekolah muzik Yamaha di ibu kota.
Dia meneruskan kerjaya itu sehingga tahun 1993 dan pernah menubuhkan sekolah gitar persendirian sebelum berkhidmat di Aswara sebagai pensyarah muzik dari tahun 1994 hingga 2007.
Kini, jika tidak sibuk membuat gitar atau menyertai pertandingan di luar negara, Yong turut menganjurkan kursus jangka pendek selama dua minggu untuk mengajar sesiapa sahaja menghasilkan gitar sendiri.
Anak muridnya datang dari segenap ceruk benua. Sebanyak 99 peratus daripada mereka adalah pelajar luar negara meliputi Kanada, Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat, Austria, Perancis.
Bagaimanapun, ia terhad kepada tiga pelajar bagi setiap sesi dengan bayaran AS$3,000 (RM13,432).

Ads by Kiosked

LEBIH daripada satu jenis kayu diguna untuk menghasilkan sebuah gitar.


“Sejujurnya, kita tidak boleh meletakkan harga pada sesuatu karya seni. Ia tidak ternilai harganya
“Adalah lebih bermakna jika kita dapat membuat sesuatu barang yang digemari dengan kudrat kita sendiri berbanding membelinya.
“Semasa zaman kanak-kanak, saya membuat sendiri alat mainan seperti gasing, kayu lastik dan layang-layang. Keluarga saya dahulu bukan orang senang,” katanya.
Dalam tempoh itu, pelajar bebas bereksperimen dan belajar membina gitar akustik, klasik, elektrik atau bass mereka, terpulang kepada kecenderungan minat masing-masing.
“Sewaktu bengkel saya beroperasi di Pandan Indah tidak lama dahulu, seorang pensyarah muzik dari Universiti Malaya terkejut kerana wujud tempat membuat gitar seperti ini di Malaysia.
“Hal ini kerana pensyarah itu baru sahaja membawa pelajarnya melawat bengkel membuat gitar di Jepun. Itu adalah sesuatu yang agak menyedihkan juga kerana orang tempatan lebih mengenali bakat luar berbanding di dalam negara sendiri,” katanya.
Selain gitar, Yong turut menghasilkan instrumen hibrid yang diilhamkan daripada gabungan alat muzik tribal tempatan seperti sapelele iaitu gabungan sape dan ukulele, sapetar (sape serta gitar) selain sundatang yang berasal dari Sabah.
Pernah membuat gambus khas untuk pemain gambus tersohor negara iaitu Allahyarham Farid Ali, Yong berharap dapat mencurahkan segala ilmu, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki kepada generasi muda.
Oleh kerana itu juga, dia menganjurkan Festival Gitar Malaysia selama sembilan tahun, sekali gus dianggap sebagai satu usaha mempromosi Malaysia.
“Pada saya, belajar membuat gitar ibarat memasak. Ia mungkin mempunyai pelbagai cara, teknik dan bahan berbeza daripada kategori sama tetapi matlamatnya tetap sama iaitu menghasilkan masakan yang enak,” ujarnya mengakhiri perbualan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4Vh19AVFn 
Hakcipta terpelihara 


For further information log on website :
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Post a Comment

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...