BURUK, usang, kelihatan reput dan berlubang-lubang. Itu antara perkataan yang terlintas di fikiran ketika pertama kali melihat struktur binaan pintu gerbang dan beberapa perabot seperti almari, meja solek dan meja kopi di kilang Kayuma Industry di Kampung Peragap, Kerdau, Temerloh, Pahang Darul Makmur baru-baru ini.
Pasti anda juga berkongsi pendapat yang sama tatkala memandang pada perabot yang ciri fizikalnya berlubang-lubang seolah-olah sudah parah dimamah anai-anai.
For further information log on website :
http://kheru2006.livejournal.com/356350.html
Pasti anda juga berkongsi pendapat yang sama tatkala memandang pada perabot yang ciri fizikalnya berlubang-lubang seolah-olah sudah parah dimamah anai-anai.
Dalam hati tertanya-tanya, siapakah sanggup melaburkan wang membeli perabot sedemikian yang pada pandangan mata insan khilaf seni sebagai objek yang tidak bernilai dengan harga jauh lebih tinggi daripada perabot biasa?
Namun, apabila menatap perabot tersebut dengan kemasan terakhir berkali-kali, terbuka hijab pandangan melihat keunikan pesona perabot yang diperbuat daripada kayu balau berlubang.
Seolah-olah mengerti pelbagai persoalan yang bermain di fikiran penulis, 'orang kuat' yang menerajui Kayuma Industry, Mohamad Awik, 44, tampil memberikan penjelasan.
"Perabot dan binaan struktur yang diperbuat daripada kayu balau berlubang ini kelihatan seperti bahan yang tidak berguna, namun bagi mereka yang menghargai seni dan menjadi pengumpul perabot-perabot kayu, ia dianggap antik serta unik.
"Ia seringkali dijadikan bahan koleksi disebabkan rupanya lain daripada yang lain kerana diperbuat daripada kayu balau berlubang," katanya yang memulakan pembuatan perabot balau berlubang sejak dua tahun lalu. Tahun ini Kayuma memberi tumpuan kepada pembikinan pintu gerbang.
Dimakan kumbang ambrosia
Tambahnya, lubang-lubang pada kayu tersebut bukanlah dibuat secara sengaja, tetapi motif-motif itu terjadi kerana ia dimakan oleh koloni kumbang ambrosia yang menjadikan pokok balau sebagai habitatnya.
Kumbang ambrosia merupakan sejenis kumbang perosak kayu dalam famili Platypolidae dan beberapa genus dalam famili Scolitidae dan Lymaxylidae.
Ia memakan isi pokok daripada dalam (empulur) hingga merebak ke seluruh bahagian batang pokok membentuk lubang-lubang yang unik.
Kayu balau dimakan ambrosia semasa keadaan pokoknya masih hidup, namun apabila pokoknya sudah mati tiada serangga pun yang mampu untuk memamahnya kerana sudah terlalu keras.
PERABOT kayu balau berlubang melambangkan kehebatan dan kehalusan kraf tangan Melayu yang boleh dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.
Biasanya ambrosia mula mengorek pokok balau yang berusia 10 hingga 15 tahun, tetapi tidak semua pokok balau dimamahnya.
"Jika anai-anai dikatakan perosak, kumbang ambrosia ini lebih 'gagah' daripada anai-anai. Anai-anai tidak makan pokok balau kerana ia mengandungi tanin iaitu sejenis bahan kimia yang digunakan untuk membunuh anai-anai.
"Kayu seperti ini sangat jarang dijumpai. Ia memerlukan masa 60 hingga 70 tahun barulah menghasilkan lubang-lubang sebegini," ujarnya sambil menunjukkan ribuan lubang pada pintu gerbang laman cenderawasih yang sudah mempunyai pembelinya.
Perabot dan binaan struktur pintu gerbang yang diperbuat daripada kayu balau berlubang itu punya nilai seni yang begitu tinggi.
Ilham yang diterjemahkan Mohamad dilihat berat kepada konsep Melayu lama.
Ternyata cubaannya menghidupkan semula benda yang 'mati' menjadi sesuatu yang bernilai tinggi tidak ubah seperti kata pepatah mengubah arang menjadi intan.
"Kerana keunikannya, ia mendapat permintaan yang tinggi daripada pengumpul-pengumpul perabot kayu.
"Saya menghadapi tekanan berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan mentah. Tiada jaminan saya akan mendapat bekalan setiap bulan. Adakalanya perlu menunggusehingga setahun," katanya yang mendapat bekalan dari Negeri Sembilan, Kuantan, Pahang dan Kelantan.
Gred balau berlubang
Istimewanya, setiap binaan struktur mahupun perabot mempunyai nilai eksklusif tersendiri kerana tiada pelanggan yang akan memiliki produk yang sama berikutan perbezaan lubang-lubang semula jadi buatan si tukang ukir ambrosia selama bertahun-tahun.
Sudah menjadi rutin anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor Darul Ehsan itu menjelaskan kekangan bahan mentah kepada para pelanggan yang begitu teruja untuk memiliki perabot balau berlubang.
Kayu-kayu balau berlubang dikumpulkan selama setahun bagi membolehkan Mohamad dan anak-anak buahnya membuat binaan.
KAYU balau berlubang juga boleh dijadikan perabot meja solek.
"Kadang-kadang dapat dua batang kayu balau sahaja setelah menunggu lebih setahun. Tidak semua kayu balau yang dibekalkan berkualiti untuk dijadikan perabot kerana kita membeli secara pukal. Dalam 60 tan kayu balau yang dibekalkan, 40 peratus daripadanya gred A, 20 peratus gred B dan 20 peratus gred C, selebihnya tidak boleh guna langsung," ujarnya yang mempunyai 14 hingga 15 orang pekerja tetap.
Walaupun fizikal binaan struktur dan perabot balau berlubang kelihatan seperti kayu buruk, namun ia tidak mereput dan tidak merekah. Jika cara penjagaannya betul, ia mampu bertahan selama 30 hingga 40 tahun.
Binaan struktur dan perabot yang terhasil sangat unik. Tidak hairanlah jika ada yang sanggup melabur untuk memilikinya.
Sebagai contoh harga untuk set meja kopi berharga RM3,000, bingkai cermin RM300, almari kecil RM350, lampu dinding RM250, pintu gerbang RM18,000 dan laman cenderawasih (pintu gerbang dengan laluan masuk yang dilengkapi aksesori lampu) pula mencecah RM56,000.
Lebih memberi tumpuan membuat perabot hiasan lama, Mohamad memberitahu promosi Kayuma Industry lebih kepada mulut ke mulut selain menyertai pameran perabot terutamanya yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.
Pengaruh ayah
Mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Kemahiran dan minat Mohamad dalam bidang perkayuan itu banyak dipengaruhi bapanya iaitu Awik Muri, 65.
Walaupun sudah berusia, Awik selaku penasihat Kayuma Industry sesekali turun padang memantau kerja-kerja yang dilakukan di kilang.
"Dek berkongsi minat yang sama dengan anak, kami bekerjasama dalam perniagaan ini.
SEORANG kakitangan Kayuma membuat potongan kayu balau berlubang.
"Kini, banyak produk dihasilkan daripada kayu berbanding zaman saya dahulu. Orang dulu lebih bertumpu pada pembuatan rumah kampung, tetapi kini pasarannya lebih besar," katanya yang belajar ilmu pertukangan daripada bapanya, Muri Johari ketika usia 15 tahun lagi.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi Kayuma Industry, Mohd. Affandi Yaacob, 31, memberitahu, dia sudah empat tahun berkhidmat dengan Mohamad.
Mempunyai kemahiran pertukangan dan ukiran yang dipelajari di Kota Bharu, Kelantan dan Besut, Terengganu, ternyata Mohd. Affandi memahami selok-belok pembuatan sesuatu produk yang dihasilkan daripada khazanah alam itu.
"Tidak dinafikan pembuatan perabot dan binaan struktur ini merupakan satu kerja yang berat dan rumit.
"Lebih-lebih lagi jika membuat perabot dan binaan struktur daripada kayu balau berlubang yang memerlukan kami lebih berhati-hati daripada melakukan sebarang kesilapan," katanya.
Ujar Mohd. Affandi, membina laman cenderawasih contohnya merupakan satu kerja berat yang memerlukan kekuatan tenaga kerja enam orang.
"Selain menghasilkan perabot daripada kayu balau berlubang, kami juga menerima tempahan membuat gazebo, calet, rumah kayu dan mimbar," katanya.
For further information log on website :
http://kheru2006.livejournal.com/356350.html
No comments:
Post a Comment