Author
May 9, 2016
http://wp.news365.my/?p=735824
May 9, 2016
Bagaimanapun, penglibatan golongan belia khususnya dalam bidang tersebut tidak begitu menggalakkan kerana tidak diberi pendedahan secara gambaran besar terhadap industri itu apabila membabitkan kerjaya.
Disebabkan perkara sebegitu, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) buat julung kalinya akan mengadakan pameran Wood & Lifestyle Fair 2016 iaitu sebuah pameran promosi yang berkaitan produk perkayuan dalam gaya hidup.
Menurut Ketua Pengarah MTIB, Dr. Jalaluddin Harun, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dijangka merasmikan pameran itu nanti.
“Kami mahu mempromosi kepada pengguna tempatan terhadap produk dan perkhidmatan usahawan bumiputera dalam industri perkayuan serta meningkatkan penguasaan pasaran produk dan perkhidmatan mereka di dalam industri ini.
“Pada masa sama, MTIB ingin menggalakkan kesedaran kepada pengguna mengenai manfaat produk kayu, ciri-ciri estetik dan jenis atau nilai perbandingannya dengan bahan-bahan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di ibu negara baru-baru ini.
Tambahnya, usahawan yang akan terlibat adalah seramai 30 orang terdiri daripada mereka yang mengeluarkan produk seperti kabinet dapur, perabot bilik tidur untuk kediaman dan hotel serta lain-lain produk.
Selain daripada usahawan yang mengeluarkan perabot berasaskan kayu, pameran ini akan turut mempromosikan produk berasaskan kayu untuk sektor pembinaan dan ruangan jualan yang menjual produk berasaskan kayu.
“Pameran ini juga akan menyediakan perkhidmatan dan produk Rekaan Dalaman untuk kediaman, pejabat dan premis komersial,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, tema pameran tersebut adalah inisiatif MTIB bagi menyediakan platform kepada usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan produk perkayuan keluaran mereka sejajar dengan tuntutan gaya hidup masyarakat masa kini.
“Ramai PKS perabot tidak berpeluang menyertai pameran sedia ada kerana kos penyertaan yang agak tinggi. Bagaimanapun, mereka mempunyai produk yang bermutu dan berinovasi.
“Memahami keperluan ini, MTIB mengadakan pameran ini bagi menghubungkan produk dengan keperluan pengguna Malaysia khususnya. Keyakinan MTIB dengan PKS yang menyertai pameran tersebut disokong oleh penggunaan mesin-mesin berteknologi CNC (Pengawalan Komputer Berangka) dan usaha sama usahawan dengan Tanggam iaitu reka bentuk yang ‘serba boleh’ serta produk dikeluarkan dibuat oleh mesin-mesin yang mampu memberi ‘ketepatan’ dalam potongan dan pembuatan,” katanya.
Jelasnya lagi, nama Wood & Lifestyle dipilih berdasarkan pertandingan yang telah dibuat dalam kalangan warga kerja MTIB apabila wood itu sendiri telah menggambarkan peranan MTIB sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang telah dipertanggungjawabkan dalam pembangunan industri perkayuan negara.
“Kebanyakan pengguna di negara ini berpendapat produk daripada kayu adalah mahal dan tidak mampu dimiliki. Oleh yang demikian, pameran yang julung kalinya diadakan ini akan mengubah persepsi mereka terhadap produk kayu dalam memenuhi gaya hidup sama ada bagi kediaman, pejabat, komersial, hotel, institusi pengajian dan sebagainya.
“Pameran ini akan diteruskan pada tahun hadapan dan tahun-tahun berikutnya sekiranya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Harapan MTIB supaya produk kayu PKS bumiputera dapat diterima dengan baiknya oleh semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam industri perkayuan,” ujarnya.
Katanya, bagi memastikan produk PKS Bumiputera terus bersaing di pasaran tempatan serta antarabangsa, strategi yang telah disusun oleh MTIB adalah penyertaan PKS bumiputera dalam aktiviti pemasaran.
Ia merangkumi penyertaan di pameran perabot antarabangsa, tempatan dan karnival jualan tempatan seperti Malaysian International Furniture Fair (MIFF), HOMEDEC, SMIDEX dan Karnival Jualan Perabot dan Ukiran.
“Selain itu aplikasi mesin berteknologi untuk melonjakkan tahap daya saing PKS bumiputera. Mesin ini dapat meningkatkan pengeluaran produk yang berkualiti tinggi iaitu potongan yang precise dan jointing yang kemas serta produktiviti yang tinggi dan hasilnya, produk yang dikeluarkan berkualiti, kos pengeluaran lebih rendah serta harga lebih kompetitif.
“Kami juga akan memberi bimbingan perniagaan (business coaching) bagi membentuk usahawan yang strategik dan mantap dalam menjalankan perniagaan mereka, selain pembangunan produk melalui rekabentuk bersama TANGGAM. PKS membangunkan produk yang marketable dengan jalinan kerjasama bersama kumpulan pereka bentuk TANGGAM,” jelasnya.
Selain aktiviti pameran yang dijalankan selama tiga hari itu, katanya, aktiviti lain turut diadakan seperti ceramah berkaitan reka bentuk dalaman, reka bentuk produk, produk biokomposit dan seni ukiran.
“Akan ada juga demonstrasi ukiran kayu, demonstrasi melukis batik atas kayu, demonstrasi pembuatan minyak wangi, demonstrasi ukiran kayu gaharu dan demonstrasi Timber Verification Services.
Belia ada masa depan dalam bidang pembuatan perabot
Golongan beliau digalak melibatkan diri dalam industri perkayuan kerana setakat ini negara hanya mampu melahirkan kira-kira 3,000 pekerja atau usahawan dalam sektor tersebut setiap tahun.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Jalaluddin Harun berkata, secara idealnya, negara perlu melahirkan kira-kira 7,000 pekerja atau usahawan dalam industri perkayuan setiap tahun namun kekurangan tersebut menyebabkan negara terpaksa mengambil khidmat pekerja asing.
Katanya, penglibatan masyarakat tempatan dalam industri tersebut boleh terhapus dan terhenti pada masa hadapan sekiranya golongan belia tidak didedahkan dengan bidang berkenaan.
“Secara keseluruhan, 58 peratus daripada mereka yang terlibat dalam industri perkayuan di negara ini terdiri daripada pekerja asing dan kira-kira 80 peratus daripada jumlah tersebut terlibat dalam bidang pembuatan perabot.
“Golongan belia sepatutnya melihat keadaan ini sebagai satu pencetus untuk melibatkan diri dalam industri perkayuan bagi memastikan masyarakat tempatan mendapat tempat dalam bidang tersebut dan bukannya dipelopori warga asing,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, antara faktor yang menjadi punca kepada kekurangan pekerja tempatan dalam industri itu adalah golongan belia tidak didedahkan berhubung peluang kerjaya dalam industri tersebut.
“Minat terhadap industri perkayuan ini sepatutnya dipupuk sejak kecil lagi. Bagaimanapun, tidak banyak sekolah atau institusi pengajian yang menunjukkan gambaran berhubung peluang besar kerjaya dalam bidang tersebut kepada pelajar.
“Rata-rata golongan belia ini tidak mempunyai akses untuk lebih mengenali industri perkayuan sedangkan mereka yang mempunyai kebolehan jika diasah terutama untuk menghasilkan perabot pasti akan mendatangkan manfaat kepada diri masing-masing dan negara,” jelasnya.
Sungguhpun begitu, beliau memberitahu, berdasarkan kajian yang dilakukan pihaknya, didapati bilangan golongan belia yang meminati bidang penghasilan perabot semakin bertambah.
“Perkara ini boleh dibuktikan apabila dalam sesuatu tempat misalnya sekolah vokasional, lebih ramai yang mendaftar untuk ke institusi pengajian itu berbanding tempat yang disediakan.
“Kerajaan juga kini dilihat memberi fokus untuk golongan belia yang mendapat ijazah supaya melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Untuk industri perkayuan pula, golongan belia boleh menjadi usahawan terutama dalam bidang penghasilan perabot,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, MTIB akan melaksanakan Program Latihan dan Bimbingan Vendor untuk Pasaran Eksport dalam Industri Kayu apabila peserta terdiri daripada 10 orang belia yang berumur 18 hingga 30 tahun.
“Dijangkakan program ini akan melahirkan usahawan baharu berorientasikan pasaran eksport sebagai subkontraktor kepada usahawan utama dalam industri perabot Muar melalui kerjasama dengan Muar Furniture Association (MFA),” jelasnya.
For further information log on website :http://wp.news365.my/?p=735824
No comments:
Post a Comment