- Butiran
- Kategori induk: ARCHIVE NEWS CUTTING
http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/teknologi/abs-2016-perkasa-industri-buluh-1.387423
Sumber: Utusan Malaysia
Sumber: Utusan Malaysia
Buluh merupakan sumber hutan bukan kayu yang berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai alternatif kepada balak.
Walau bagaimanapun potensinya di negara ini masih belum diteroka secara besar-besaran berikutan kurangnya pengetahuan dan pendedahan berkenaan tumbuhan tersebut.
Selain itu, buluh di negara ini hanya digunakan secara tradisional menyebabkan kadar penembusan ke peringkat antarabangsa amat kurang.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Dr. Jalaluddin Harun, jumlah eksport buluh negara hanya sekitar RM5 juta sahaja setahun berbanding RM22.1 bilion bagi keseluruhan eksport perabot.
“Angka ini menunjukkan pengusaha dalam sektor industri perkayuan kurang berminat untuk menghasilkan produk berasaskan buluh.
“Selain itu, kurangnya sumber bahan mentah juga menyebabkan pengusaha produk berasaskan buluh agak berkurangan,” katanya ketika di temui di ibu negara baru-baru ini.
Jelas Dr. Jalaluddin lagi, Malaysia ketika ini masih tidak memiliki ladang buluh secara besar-besaran untuk tujuan komersial dan eksport.
“Kita masih mengharapkan sumber semula jadi iaitu buluh yang dituai daripada hutan belantara sebagai bahan utama.
“Keadaan tersebut dilihat tidak sesuai jika kita ingin mengembangkan industri berasaskan buluh secara besar-besaran,” katanya.
Untuk memastikan industri berasaskan buluh terus berkembang seiring dengan industri perkayuan lainnya, sesuatu perlu dilakukan terutamanya kempen kesedaran dalam kalangan orang ramai sebagai pengguna dan juga pengusaha tentang potensi buluh.
“Banyak kajian dan produk berasaskan buluh telah dibuat namun di mana silapnya produk-produk tersebut tidak dapat dikomersialkan dengan baik,” katanya.
Oleh yang demikian, MTIB bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pusat Sumber Teknologi Perabot MARA (FITEC) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) mengambil inisiatif menganjurkan Simposium Buluh Asean (ABS 2016).
“Simposium ini bakal memupuk kesedaran berkenaan buluh sebagai suatu sumber lestari serta meningkatkan kerjasama pelbagai hala berkaitan teknologi buluh dalam
kalangan negara rantau Asean untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan.
“Selain itu, program ini juga dapat mempertingkatkan kadar pengkomersialan produk buluh selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam industri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar dan pengeksport utama produk-produk kayu. Pada tahun 2015, nilai eksport kayu dan produk kayu adalah RM22.14 bilion iaitu 18.91 peratus daripada keseluruhan eksport produk komoditi bernilai RM117 bilion.
Tiga produk utama kayu-kayan yang dieksport terdiri daripada perabot, papan lapis dan kayu gergaji.
Keluaran kayu-kayan tersebut dieksport ke lebih 150 negara termasuklah antaranya Jepun, Amerika Syarikat dan selain rantau Kesatuan Eropah.
Di samping pasaran eksport, pasaran domestik produk kayu tidak kurang pentingnya, dengan anggaran saiz pasaran bernilai RM13 bilion setahun.
Permintaan domestik tertumpu kepada sektor pembinaan, hiasan dalaman dan perabot.
Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP) telah menyediakan rangka untuk memaju dan memantapkan pembangunan industri tersebut menjelang tahun 2020.
Di bawah NATIP, pendapatan nilai eksport produk perkayuan disasarkan mencapai RM53 bilion menjelang tahun 2020.
Jumlah tersebut boleh dinisbahkan dengan komposisi produk hiliran bernilai tambah sebanyak 60 peratus berbanding dengan produk huluan sebanyak 40 peratus.
Bagi merealisasikan sasaran tersebut, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh industri perkayuan tempatan yang perlu ditangani.
Antaranya adalah kekangan bahan mentah, tenaga kerja mahir, persaingan dari negara pengeluar lain, inovasi dan teknologi pemprosesan.
Di dalam hal tersebut, kementerian telah pun menubuhkan Jawatankuasa Induk Perlaksanaan NATIP bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh industri perkayuan tempatan.
MTIB rangka Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh
Buluh merupakan sumber bukan kayu yang penting sebagai penyumbang pendapatan eksport negara selain bertindak sebagai sumber pendapatan untuk penduduk luar bandar.
Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP) menekankan bahawa industri tersebut perlu diberi sokongan untuk terus berkembang.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Dr. Jalaluddin Harun, Malaysia memiliki hampir 70 spesies buluh.
Jelasnya, 45 spesies daripada jumlah tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan asli atau hutan selepas pembalakan.
“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sebanyak 31 peratus buluh didapati berada di Semenanjung Malaysia.
“Selebihnya iaitu, 45 peratus di Sarawak dan 24 peratus lagi boleh didapati di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan keluasan di Semenanjung Malaysia yang ditumbuhi buluh adalah 329,000 hektar. Selain tumbuh secara liar di dalam hutan, buluh juga sesuai ditanam secara ladang berdasarkan tempoh matang yang singkat iaitu antara tiga hingga lima tahun.
Berbanding pokok berkayu lembut dan cepat membesar sekalipun mengambil masa sekurang-kurangnya antara 10 hingga 15 tahun.
“Sekiranya diurus dengan kaedah silvikultur yang terancang, penghasilan buluh secara mapan boleh dihasilkan daripada sekali proses penanaman sahaja,” katanya.
Pada ketika ini, negara menghadapi masalah hutan yang kian mengecil akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.
Jika pembangunan ladang buluh diusahakan, satu sumber baharu pendapatan negara dapat dijana.
Keadaan tersebut melibatkan industri hiliran dan huluan dan boleh menjadi pemain utama bagi pasaran global yang kini dikuasai oleh China, Thailand dan Indonesia.
Saiz pasaran eksport buluh pada masa ini masih rendah berbanding produk berasaskan kayu lain.
Secara purata eksport produk buluh untuk tempoh 10 tahun kebelakangan ini adalah sebanyak RM250,000 sahaja berbanding dengan pengimportan buluh yang dianggarkan antara RM1.5 hingga RM2 juta setahun.
Produk utama yang dieksport adalah produk asas seperti bakul, pencucuk sate, kayu penyepit, colok dan sebagainya.
Terdapat lebih 100 bengkel atau kilang pemprosesan buluh di Malaysia dan kebanyakannya merupakan industri kecil dan sederhana (IKS).
Kebanyakan kilang tersebut didirikan berhampiran kawasan yang memiliki sumber buluh yang banyak.
“Industri buluh berpotensi besar untuk dipertimbangkan ke peringkat antarabangsa.
“Jumlah permintaan buluh Malaysia juga semakin meningkat berdasarkan statistik eksport yang diperoleh pada tahun 2014 iaitu sekitar RM22,545 kepada RM276,090 pada tahun 2015,” katanya.
Itu menunjukkan bahawa industri buluh berpotensi untuk dibangunkan jika strategi yang sesuai digunakan.
Oleh yang demikian, MTIB telah merangka Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia untuk dilaksanakan dari tahun 2011 hingga 2020.
Dalam pelan tersebut, MTIB telah menggariskan beberapa teras strategi iaitu penubuhan ladang buluh dan melestarikan sumber asli yang sedia ada.
Seterusnya pembangunan modal insan, pembangunan aktiviti hiliran, penyelidikan dan pembangunan serta promosi dan perdagangan.
Dalam setiap teras, strategi tersebut telah siap dirangka bagi setiap aktiviti yang akan dijalankan oleh MTIB dengan kerjasama pelbagai pihak meliputi agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan swasta.
Setiap aktiviti yang dirangka telah dibincangkan dengan teliti agar setiap agensi dapat memainkan peranan yang penting dalam membangunkan industri buluh seperti yang disasarkan oleh NATIP.
For further information log on website :
http://www.kppk.gov.my/mpic/index.php/rss-content-malay/1838-kayu-abs-2016-perkasa-industri-buluh
No comments:
Post a Comment