Blog List

Friday 5 May 2017

Antara Lepa Dan Lepa-lepa

Author
By Nurul Halawati Azhari 

SEMPORNA, 22 Nov (Bernama) -- Perahu besar bersaiz 30 kaki itu adalah kebanggaan suku kaum Bajau dari daerah ini. Ia warisan tradisi bagi menunjukkan mereka adalah suku yang handal menguasai laut.

Sungguhpun tidak digunakan dengan begitu meluas kini, permintaan terhadapnya masih lagi tinggi.

Menurut salah seorang pengusaha perahu besar yang disebut 'lepa' itu, Musari Abbeh, 65, dari Kampung Kabimbangan Tengah, Pulau Bum Bum, permintaan terhadap sebuah lepa tidak pernah putus kerana adanya Pesta Regatta Lepa yang diadakan pada setiap tahun.

Musari turut menerangkan proses membuat perahu besar tersebut. Menyiapkan sebuah lepa memakan masa hampir sebulan lamanya bagi seorang yang pakar.

"Bermula daripada proses mencari dan menebang pokok, menipis serta mengetam hinggalah ke proses mengukirnya, semuanya dilakukan oleh tenaga manusia.

"Harganya boleh mencecah daripada RM 8,000 hingga RM 12,000 atau lebih bergantung kepada kehalusan serta kekemasan buatannya," jelas Musari.

Beliau mula bergiat serius dalam pertukangan lepa yang diwarisi daripada ayahnya sejak usianya 35 tahun.

Usahanya ini turut mendapat bantuan daripada dua anaknya yang berminat dengan kerja-kerja pertukangan lepa.

SEJARAH LEPA 

Perahu Lepa adalah pengangkutan dan perhubungan bagi suku kaum Bajau Semporna yang paling penting pada masa dahulu.

Lepa digunakan sebagai alat pengangkutan untuk mengunjungi sanak saudara yang tinggal berjauhan di Kepulauan Semporna seperti pulau Timbun Mata, Pulau Mataking, Pulau Bohecuz, Pulau Denawan, Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Lahad Datu.

Penggunaannya diperkenalkan oleh Panglima Malabih Masama dan digunakan untuk pelayaran ke Filipina.

Dinyatakan juga bahawa selain menjadi alat pengangkutan, Lepa juga dijadikan sebagai tempat kediaman bagi orang-orang laut.

Malah, keadaan ini masih lagi wujud hingga ke hari ini di daerah Semporna. Orang-orang laut yang dikenali sebagai Pala'u masih lagi mengekalkan tradisi menjadikan perahu sebagai tempat kediaman utama mereka.

Selain Panglima Malabih Masama, pengasas Lepa Semporna termasuklah juga Japaludin Anak Salih Ngungsu Ayak dan datuk kepada bekas TYT Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai iaitu panglima Uddang yang pada waktu itu menetap di Tong Taalun, pekan Semporna.

TOKOH KRAF 

Menurut Pengarah Kraftangan Sabah, Yusak Mahmud, selain Musari, seorang lagi pengusaha lepa ukir, Latun Ubnu, 65, dari Kampung Anjung Keramat, Kunak turut dipilih oleh pihak Kraftangan sebagai Tokoh Kraf. Mereka adalah pakar mahir yang masih tinggal mengusahakan pembuatan Perahu Lepa Ukir bersaiz besar.

"Kedua-dua usahawan ini telah menerima geran peruntukan bengkel dan aktiviti yang diserahkan sendiri oleh Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa), Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim pada April tahun ini.

"Sebagai Tokoh Kraf, masing-masing menerima lima orang pelatih sejak Mac lalu dan akan berakhir pada Disember ini.

"Mereka turut menerima bantuan bengkel lengkap dengan peralatan mesin bagi memudahkan pengeluaran bersaiz 30' x 40'," jelas beliau yang turut mengikuti lawatan media ke Semporna baru-baru ini.

KRAFTANGAN LEPA-LEPA 

Di Pulau Bum Bum, selain pertukangan Lepa, terdapat satu lagi projek ukiran perahu tetapi dibuat dalam saiz kecil dijadikan perhiasan dan cenderamata. Perahu mini ini disebut Lepa-lepa.

Projek Ukiran Halus Lepa-lepa di Kampung Look Sisarah, Pulau Bum Bum, pada asalnya hanyalah sebuah perusahaan kecil-kecilan.

Namun, sejak tahun 2004, ia telah dinaiktaraf dan diangkat sebagai projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) memandangkan jumlah pengusahanya yang semakin ramai dan potensinya yang besar.

Ketua Kelompok bagi projek ini ialah Haji Alpaka Hamaah, 56, dan dibantu oleh dua orang pakar iaitu Mohd Sarang Majalang dan Mohd Rafi Barahim.

Kesempatan melihat ketekunan mereka menjayakan projek ini menyelitkan satu perasaan bangga kerana mereka mampu menjadikan perusahaan kecil-kecilan ini menjadi lebih komersil.

"Walaupun nampak kecil, prosesnya tetap rumit. Lepa-lepa tetap memerlukan lamak atau layar sepertimana sebuah lepa. Ukurannya juga perlu tepat agar lepa-lepa tersebut seimbang dan berdiri tegak apabila diletakkan di atas permukaan yang rata," jelas Alpaka.

Difahamkan jumlah peruntukan yang disalurkan untuk projek ini sejak 2003-2007 ialah RM 339,848. Dalam tempoh tersebut, seramai 127 orang telah diberi bimbingan teknikal dan 18 orang diambil menjalani Latihan Tenaga Kerja (LKTK).

Memandangkan potensinya yang besar, program SDSI di bawah KeKKWA ini telah menerima peruntukan bagi membina tiga buah bengkel pengeluaran Lepa-lepa iaitu saiz 18' x 20' untuk Alpaka manakala saiz 16' x 18' kepada Muhd Sarang dan Mohd Rafi.

Bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam ukiran mereka, Mohd Rafi telah dihantar mengikuti latihan ukir di Pahang bagi mendalami teknik-teknik ukiran yang lebih berkualiti dan halus.

Dengan kualiti serta ukirannya yang halus, harga Lepa-lepa yang boleh diperoleh di pameran-pameran kraftangan dan juga dijual di sekitar pusat pelancongan di Sabah boleh dibeli pada harga RM 35 hingga RM 7,000 setiap satu.

Sekaligus menunjukkan bahawa tradisi pembuatan lepa tidak akan tenggelam dan terus dikenali dengan adanya produk lepa mini ini.

-- BERNAMA 

For further information log on website :
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=297775

No comments:

Post a Comment

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...