Blog List

Friday 5 May 2017

Miniatur Perahu Panjang Popularkan Sarawak


Miniatur perahu panjang popularkan Sarawak

KUCHING - Perahu tambang, pengangkutan air popular di Sungai Sarawak sejak ratusan tahun, berhadapan kemungkinan menjadi bahan warisan.  Perahu tambang iaitu sampan kayu sepanjang kira-kira lima meter, yang berbumbung dengan dua barisan tempat duduk penumpang di dalamnya, digerakkan mengguna enjin diesel yang kecil.  Bagaimanapun perkembangan pesat sektor pengangkutan di Sarawak kian menyingkirkan peranan perahu tambang yang selama ini mewarnai landskap Kuching.Bagi memastikan perahu tambang itu terus wujud di hati masyarakat, seorang pengusaha kraftangan, Mohammad bin Julaihi, 44, mencipta miniatur perahu itu untuk dijual sebagai cenderahati.  


BAWA HARAPAN BARU  

Ilham itu hadir pada 2009 itu bagi meningkatkan lagi kegiatan perniagaan kraftangan yang diusahakannya sejak 2007.  Segalanya bermula apabila Muhammad berada di Tebingan Sungai Kuching, sebuah lokasi tumpuan pelancong bagi menenangkan fikirannya yang berkecamuk akibat perniagaan kraftangannya yang goyah.  Ketika melihat perahu tambang yang tidak putus dengan penumpangnya itu, beliau juga yakin bahawa rezekinya juga tidak akan putus jika perahu itu dijadikan sebagai bahan kenangan.  


MINIATUR PERAHU TAMBANG JADI PERHIASAN  

Sebagaimana ikon Bumi Kenyalang lain seperti kek lapis, ikan terubok, pasu dan tikar yang boleh dibawa pulang, beliau juga mahu perahu tambang menjadi bahan kenangan yang unik.  Selepas lima tahun berlalu, Mohammad kini berbangga kerana syarikat perniagaan Manita Enterprise yang diusahakan bersama isteri, Hamsiah Kadir, 40, muncul satu-satunya perusahaan miniatur berkaitan ikon negeri Sarawak.  Mengimbau kembali percubaan pertama menyiapkan miniatur perahu tambang, beliau mengakui ia amat sukar dan mengambil masa seminggu untuk menyiapkan hanya sebuah miniatur.  Selepas itu, kemahirannya semakin menyerlah dengan percubaan kali kedua dapat disiapkan dalam masa dua hari.  "Sebaik berjaya menghasilkan miniatur perahu tambang itu, saya dan isteri tidak menoleh ke belakang lagi, ikon Sarawak terus menjadi keutamaan produk hasil keluaran perusahaan kami," katanya.


IKON SARAWAK DARI KAMPUNG BINTAWA TENGAHTerletak di Kampung Bintawa Tengah, rumah pasangan suami isteri itu turut menjadi bengkel bagi perusahaan itu.  Di bengkel itu, empat buah mesin, masing-masing berfungsi untuk menebuk, memotong, membelah dan mengecat disusun kemas dan turut kelihatan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan miniatur seperti papan lapis kayu jelutong, kayu nyatoh dan timbunan buluh pelbagai saiz.  Ketika penulis berkunjung ke bengkel itu, Mohammad sedang menyiapkan miniatur perahu tambang.  Proses bermula dengan papan lapis dipotong mengikut ukuran seperti untuk menyediakan bahagian dinding, tiang dan bumbung yang kemudian digam sebelum proses memantapkan miniatur itu.  Berpengalaman hampir lima tahun membuat miniatur, bapa kepada dua anak itu yang menerima latihan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Jitra, Kedah berkata perusahaan mereka kini sudah berkembang dan mempelbagaikan miniatur ikon Sarawak.  Selain perahu tambang, beliau turut mengusahakan miniatur perahu bidar, rumah panjang dan baruk dalam pelbagai saiz dengan setiap unit dijual mengikut saiz bermula dengan harga RM25 hingga RM550.  


PERUSAHAAN KELUARGA

"Isteri yang beri idea untuk penambah baik miniatur yang saya buat, sebagai contoh, isteri beri idea untuk letak spring di bahagian bawah miniatur perahu tambang dan kemudian diletak atas papan (sebagai tapak)," kata Mohammad.  Hamsiah pula melihat keperluan untuk membantu suami menjalankan perusahaan itu kerana berdasar kepada pengalaman kaedah menggaji pekerja tidak mampu bertahan lama.  "Pernah anak saudara membantu, tapi bila sampai ke bahagian yang rumit, mereka hilang minat," katanya sambil menambah ketika ini adiknya Rohaya Kadir, 35, sudah mula menunjukkan minat dan membantu kerja-kerja menghasilkan miniatur.  Selain pasangan suami isteri itu, anak mereka, Samsu Zaman, 22, dan Safri Zaman, 15, turut menunjukkan minat dan sama-sama membantu menghasilkan miniatur ikon Sarawak itu.  Bagi Samsu Zaman, dia banyak membantu di bengkel selain menjaga premis jualan yang disediakan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC)di Tebingan Kampung Gersik.  Adiknya pula, Safri Zaman lebih berkemahiran membantu menyiapkan miniatur rumah panjang.  


PENGALAMAN MANIS

Sepanjang menjalankan perniagaan itu, pasangan itu mempunyai pelbagai kisahmenarik untuk dikongsi bersama termasuk menerima tempahan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan untuk miniatur perahu tambang semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia di Kampung Budaya Sarawak pada 2009.Katanya, pelanggan istimewa itu tidak mahu membeli miniatur yang telah siap tetapi mahu membeli yang sedang diproses dan sanggup menunggu sehingga miniatur itu siap dan sempurna kerana ingin melihat proses pembuatannya.  Miniatur perahu tambang yang dihasilkan mereka turut dipilih sebagai cenderahati untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena Jambori Pengakap Malaysia ke-12 dan Jambori Antarabangsa Terengganu 2011.  Sempena jambori itu juga, sebanyak 30 miniatur perahu tambang turut ditempah sebagai cenderahati kepada ketua-ketua kontinjen jambori itu.  Miniatur yang mereka hasilkan turut mendapat tempat dalam kalangan pelancong asing semasa satu perhimpunan politik di Kuching Oktober tahun lepas.  Kerana tertarik dengan keindahan seni pembuatan miniatur itu, sepasang pelancong Eropah membeli miniatur perahu tambang, rumah panjang dan baruk dan kemudian menerima kehadiran sepasang lagi pelancong Eropah yang membeli dua unit miniatur perahu tambang," kata usahawan kelahiran Mukah itu.


REZEKI TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014

Sempena program Tahun Melawat Malaysia 2014, pasangan itu menyertai pameran Hari kraf Kebangsaan 2014 bermula 26 Feb hingga 10 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.  "Saya harap penyertaan ini dapat memperkenalkan lagi miniatur ikon Sarawak kepada orang ramai," katanya.  Selain kraf utama itu, mereka turut menghasilkan produk rantai kunci dan kotak tisu. Pembabitan Mohammad dan Hamsiah dalam pembuatan kraftangan bukan sekadar membawa harapan baru dalam kehidupan mereka tetapi turut memperkenalkan banyak warisan Sarawak melalui miniatur ciptaan mereka. - BernamaFor further information log on website :http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/miniatur-perahu-panjang-popularkan-sarawak-1.257826


For further information log on website :
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/miniatur-perahu-panjang-popularkan-sarawak-1.257826

No comments:

Post a Comment

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...